in ,

Inteam Lancar Persembahan Atas Talian

Dalam situasi pandemik Covid-19 di mana hampir seluruh dunia mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan, kumpulan nasyid Inteam tetap aktif meneruskan aktiviti kesenian mereka dengan mengadakan persembahan Nasyid atas talian.

“Alhamdulillah, kami baru saja melancarkan perkhidmatan persembahan Nasyid secara atas talian bagi mengisi acara di dalam program-program tertutup mahupun terbuka yang diadakan, terutamanya untuk sambutan Aidilfitri nanti.

Setakat ini, kami telah mendapat 2 jemputan untuk mengadakan persembahan Aidilfitri bagi komuniti Muslim di Kanada serta satu persembahan bulan Ramadan bagi Komuniti Muslim dari organisasi NPO Cesam dari Perancis” menurut Syah, ketua kumpulan Inteam.

“Kami faham, ramai di kalangan artis serta pengurus acara sedia maklum berkemungkinan penganjuran acara secara perkumpulan ramai mungkin tidak akan dapat diadakan untuk tempoh yang lama, tapi kami tidak mahu mengalah dan cuba menggunakan teknologi terkini untuk terus menyampaikan persembahan kami, dan kami sangat berharap cara baru ini akan mendapat sokongan ramai pihak,”

– Rahim Inteam

Kumpulan Inteam yang baru sahaja menghasilkan single baru berjudul Setanggi Syurga 2020 berkolaborasi dengan artis Khai Bahar, menyatakan bahawa semua pihak harus saling sokong menyokong dan cuba menyesuaikan diri dengan norma baharu selagi wabak ini belum berakhir.

“Alhamdulillah, sejak single baru kami Setanggi Syurga 2020 bersama Khai Bahar menjadi sohor kini di dalam YouTube, jadual kami agak penuh dengan sesi temuramah bersama radio dan tv yang turut diadakan secara atas talian.

Apabila kami mula mendapat pertanyaan berkenaan persembahan, kami mencadangkan kepada beberapa penganjur acara untuk mengadakan persembahan secara atas talian dan mereka menerima baik cadangan ini” tambah Hazamin Inteam.

Menurut Inteam lagi, persembahan mereka itu nanti bakal diadakan secara pilihan samada menggunakan muzik minus one atau secara muzik langsung bersama beberapa orang pemuzik.

“Kami cuba memikirkan untuk turut sama melibatkan rakan-rakan pemuzik dalam persembahan ini kerana pendapatan mereka juga pasti terkesan dengan keadaan PKP sekarang yang mungkin akan terus berlanjutan,”

“Kami akan memastikan sesi persembahan kami nanti akan mengikuti SOP yang ditetapkan seperti penjarakkan sosial dan perkumpulan tidak lebih dari 10 orang” tambah mereka lagi.

– Syam Inteam

Inteam boleh dihubungi melalui laman web Inteam.my atau Facebook dan Instagram Official Inteam atau melalui talian 0176681885.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Inisiatif Amal TV3 & #IAMFAITHMEN Menyuntik Semangat Positif 

Suria Kongsi Kegembiraan Dengan Seleksi Program Hiburan