Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in ,

Ini Sebab Fasha Sandha Mahu Bantu Benjy di Penjara

Tiga kali bekerjasama bersama Allahyarham seniwati Azean Irdawaty, pelakon popular Fasha Sandha berkongsi kenangan bersama ratu drama itu selain meminta orang ramai membantu anak seniwati tersebut yang sedang mengalami masalah kesihatan.

Fasha turut menyatakan kekesalannya kerana tidak berkesempatan melawat arwah Azean Irdawaty ketika beliau sedang bergelut dengan penyakitnya.

“Tiga kali dapat bekerjasama dengan arwah, ketika itu saya paling kerdil, arwah adalah seniwati yang disanjung tinggi. Arwah sering menasihati saya agar jangan lupa makan vitamin, supaya sihat selalu dan arwah juga selalu mengajar saya tentang lakonan.

“Saya hanya sempat mengirimkan sedikit sumbangan ketika arwah sedang berperang dengan kanser selama beberapa tahun.

“Saya berasa amat bersalah kerana tidak berkesempatan melawat arwah dan memberikan bantuan ketika masih hidup dan ketika itu arwah juga tertekan kerana kes yang melibatkan Benjy.

“Kesibukan saya pada ketika itu membuatkan saya ‘lupa’ tentang tanggungjwb saya sebagai rakan artis yang rapat dengan arwah sejak filem Anak Mami kembali,” tulisnya di Instagram miliknya.

Fasha berharap orang ramai tidak mempersoalkan tindakan Persatuan Seniman Malaysia untuk memberi bantuan kepada Benjy yang kini berada di Penjara Tanjung Gusta Medan, Indonesia kerana sedang menjalani hukuman terhadap pertuduhan memiliki dadah seberat 4.5 gram.

“Hari ini saya terbaca di berita tentang Benjy yang sedang sakit dan memerlukan pertolongan. Jika ada rezeki lebih, marilah kita sama-sama membantu Benjy. Tidak salah membantu mereka yang memerlukan dan janganlah kita mempersoal atau menghina dia, kerana kita tidak tahu apa akan jadi di masa akan datang.

“Dugaan setiap manusia datang bermacam cara. Kita tidak tahu apa akan jadi pada kita atau mungkin keluarga di masa akan datang. Membantu tidak merugikan malah mengajar kita tentang nilai kemanusiaan sesama insan.

“Kita sendiri tidak tahu bila dia akan berubah atau mungkin kali ini dia telah benar-benar berubah, jadi hari ini saya menulis kerana Benjy adalah anak seniwati yang kita semua sayangi.

“Saya amat bersimpati, saya mendoakan agar Benjy diberikan kesihatan yang baik di sana dan semoga Benjy belajar daripada semua kesilapan yang telah dilalui.

“Semoga ini juga dapat memberikan pengajaran kepada kita semua. Kepada mereka yang ingin membantu, sila hubungi @persatuansenimanmalaysia atau 012-260075,” luahnya.

Sumber: Instagram Fasha & MHE TV

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version