in ,

Impak Pandemik Covid-19 Terhadap Penggiat Industri Kreatif, Tonton Diskusi FDAM Live

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) meneruskan agenda mendekati ahli mereka ketika pandemik COVID-19 menerusi program bual bicara secara dalam talian, FDAM Live.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim berkata program FDAM Live yang julung kali diadakan ini bertujuan bertemu dengan ahli untuk bersembang dan memberi apresiasi kepada pengarah yang mencapai kejayaan di dalam dan luar negara menerusi penyertaan di festival filem.

“Sejak 2020 hingga 2021, kita mempunyai ramai pengarah tempatan yang mencapai kejayaan dan FDAM berasa ia amat membanggakan sama ada di dalam dan luar negara.

“Kejayaan ini diraih menerusi festival filem yang mereka sertai yang dihantar ke luar negara yang tanpa diduga ditayangkan dan mendapat tempat di luar negara atas usaha mereka sendiri dengan dorongan FDAM,” katanya pada program FDAM Live yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Page, FDAM @FDAMOFFICIAL, baru-baru ini.

Mat London

Menurutnya, program FDAM Live yang julung kali diadakan ini juga dijadikan platform hebahan membabitkan pengarah filem tempatan yang meraih pencapaian tampil berkongsi pengalaman dan panduan untuk pembelajaran bagaimana membawa filem tempatan ke luar negara atas usaha sendiri.

“Segala usaha tersebut berhasil dan cukup membanggakan semua ahli kita. Sebolehnya kita mahu setiap tahun 50 hingga 60 ahli FDAM mendapat tempat di luar negara sama ada festival filem kecil atau besar.

“Apa yang harus kita (pengarah filem) buat adalah mengukur kebolehan kita agar menjadi ‘benchmark’ (penanda aras) sesuatu, kalau kita tidak mendedahkan filem kita di luar negara masa bila lagi,” katanya.

Ujarnya, filem tempatan tidak kira berskala kecil atau besar mahupun penceritaan sama hebat atau tidak, apa yang penting filem Malaysia diterima di luar negara.

“Mereka kepingin melihat bagaimana penceritaan atau naratif filem dari negara membangun seperti Malaysia dan kita tahu ceritanya mesti unik dan mempunyai kelainan.

“Kita harus berusaha dan setakat ini kita mempunyai lebih kurang 10 pengarah yang telah mendapat pengiktirafan di luar negara sama ada bertanding atau filem ditayangkan di luar negara,” katanya.

Dr Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London turut menjelaskan selama FDAM ditubuhkan sejak 30 tahun lalu yang memayungi seramai 1,400 ahli, manifesto persatuan adalah memartabat, memperkasa dan mengantarabangsakan pengarah filem tempatan.

“Pengarah adalah pengarah iaitu pemimpin tidak kira medium apa yang dia arah sama ada iklan, animasi, dokumentari atau filem tapi dia adalah seorang pengarah.

“FDAM sebagai persatuan yang menganggap ahlinya sebagai satu keluarga yang besar, tiada diskriminasi dari aspek latar belakang atau warna, mereka adalah sama dalam satu keluarga,” katanya.

Tambahnya, FDAM mempunyai pelbagai program sejak tahun lalu hingga kini yang dirancang tetapi tertangguh akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kita mempunyai latihan untuk ahli amatur, bersekutu dan juga senior. Kita beri keserataan dan mahu pengarah menjadi pemimpin pada industri.

“Kita mahu orang lain melihat kerja yang berkualiti pada diri pengarah, tiada kompromi dalam aspek kualiti, fikirkan arah tuju dan diluar kotak,” katanya.

Dr Ahmad berpandangan filem adalah satu trend dan seni yang berbeza dari tahun ke tahun yang perlu mencipta kelainan dan pembaharuan.

“Jika 30 tahun maknanya setiap tahun ada pembaharuan dari aspek pengarahan, penata cahaya, syot, kesan khas dan semua ini berbeza.

“Pengarah tidak akan duduk diam, perlu sentiasa belajar dan jangan rasa cukup dengan apa yang ada. Saya pun masih belajar lagi, mencari kelemahan diri, kekuatan dan banyak pembaharuan dalam pendekatan filem.

“Persatuan juga mesti mengikuti perubahan semasa. Kita memerlukan idea dinamik yang boleh diurus selia supaya kelihatan baharu dan pemikiran luar dari kotak,” katanya.

Berdepan pandemik COVID-19, Dr Ahmad menyarankan semua pengarah dan ahli mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar bebas daripada COVID-19 dan tanpa rasa takut untuk kembali bekerja.

“FDAM dalam proses mencari ruang di satu tempat untuk seluruh warga FDAM mendapatkan vaksin. Kita telah membuat pendaftaran ahli dan nama mereka akan dihantar kepada pihak berwajib untuk dipertimbangkan sama ada divaksinkan secara berkelompok.

“Sebelum cukup bulan ini sekurangnya 80 peratus pengarah telah divaksikan terutama pengarah yang aktif dalam pengarahan sebab jika sudah vaksin, September kita bebas untuk mula penggambaran,” katanya.

Ujarnya, berbanding PKP 1.0 ramai penggiat industri kreatif tidak bersedia dari pelbagai aspek seperti fizikal dan mental tetapi kali ini FDAM berharap ahli dapat berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

“Apa yang boleh kita buat selama dua minggu duduk di rumah. Takkan kita nak tunggu dari langit, seorang pengarah perlu mempunyai ‘critical thinking’ dan mempunyai strategi, boleh jual rojak, cucur, cekodok segalanya untuk menampung pembelanjaan dapur.

“Pengarah juga adalah seorang pencipta dan pereka, bagaimana kita nak bangunkan diri sendiri dan keluarga. Jika pengarah kata saya terkesan kerana PKP dan tidak tahu buat apa-apa itu bohong, mereka tidak layak jadi seorang pengarah.

“Pengarah boleh buat segala kerja, boleh jadi segalanya dan mencari rezeki yang halal. Insha Allah kita mendoakan tiada lagi PKP akan datang kerana ia sangat memberi kesan pada kita secara fizikal dan mental,” katanya.

Dr Ahmad yang sudah menerima dua dos vaksin percaya penggambaran dapat dijalankan semula dalam suasana lebih selamat selepas penggiat industri kreatif sudah mendapat vaksin.

“Setakat ini kita mendapat 25 peratus pengarah yang sudah divaksin manakala 75 peratus lagi belum mendapat vaksin iaitu pengarah yang paling aktif dalam industri. Seramai 35 peratus pengarah sudah mendapat vaksin pertama dan lebih kurang 50 peratus belum dapat vaksin pertama dan kedua, ini perlu diberi keutamaan.

“FDAM mempunyai 1,400 ahli di mana 50 peratus iaitu 700 ahli dan separuh daripada jumlah itu iaitu antara 300 hingga 400 ahli belum divaksinkan dan ini amat serius kerana mereka paling aktif yang perlu diberi keutamaan tetapi saya berharap kita mencapai 80 peratus menjelang hujung bulan ini,” katanya.

Tambahnya, pengarah juga sebahagian daripada ‘frontliner’ iaitu petugas barisan hadapan yang menghiburkan orang ramai termasuk orang sakit tetapi tugas itu tidak diiktirafkan.

“Kita dapat mententeramkan dan menghiburkan orang ramai dengan memberi contoh yang baik serta menyeru ke arah kebaikan. Kalau orang itu sakit, dia melihat filem dan dapat menimbulkan kessedaran.

“Kita juga pengubat penyakit selain penghibur. Kita memberi ruang kesedaran dan teladan pada mereka.

“Pengarah adalah pemimpin dan khalifah yang memperjuang dan melihat suatu yang negatif kepada positif. Kita juga boleh dianggap sebagai frontliner,” katanya.

Program FDAM Live akan terus bersiaran menerusi Facebook, FDAM @FDAMOFFICIAL pada setiap Rabu jam 5 petang.

Pelbagai topik dan isu semasa berkaitan pengarah dan industri perfileman tempatan serta antarabangsa bersama tetamu jemputan akan dibawakan pada setiap minggu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Issey Fazlisham Titan | 15

Imbas Nostalgia 90An Anda Bersama Suria FM Jun Ini, Ada Lagu Kegemaran Anda!

Rizalman Ibrahim | 16

Rizalman Dedah Ada Selebriti Dlm IG Suka Mengata Dia, Sekali Zarina Zainuddin Masuk Komen