in ,

Imam Rayu Hentikan Penyebaran Video Kubur Berdarah

Imam Masjid Al Irfan di Derga, Kedah, Abdul Hadi Awang, 55, merayu kepada orang awam supaya menghentikan penyebaran video “kubur berdarah” seperti yang sedang tular di media sosial.

Gambar Hiasan

Menurutnya, seluruh jemaah masjid terkilan dengan penyebaran berita “kubur berdarah” itu kerana boleh mengundang pelbagai andaian selain mengaibkan jenazah berkenaan.

Katanya kepada Astro Awani, dia juga berharap keluarga Allahyarham bersabar dan bertenang kerana perkara itu sudah menjadi kes polis.

Menceritakan keperibadian arwah, Abdul Hadi berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham merupakan seorang yang berperibadi mulia dan sentiasa memberi sumbangan kepada khariah masjid.

KUBUR BERDARAH

Abdul Hadi berkata, Allahyarham meninggal dunia dan dikebumikan tiga minggu lalu pada usia 78 tahun akibat sakit tua.

Kata Abdul Hadi, ketika berkunjung ke tanah perkuburan berkenaan bagi memberi penghormatan kepada jenazahj tempoh hari, beliau dan rakan-rakan jemaah lain menyedari terdapat cecair merah di kubur sekitar pukul 11 pagi.

Namun begitu, Abdul Hadi tidak pula menyangka ada pihak yang meramkan kubur berkenaan dan menyebarkannya menerusi aplikasi mesej WhatsApp selain tular di media sosial lain beberapa jam kemudian.

KUBUR BERDARAH

“(Penyebaran video) mengaibkan keluarga jenazah itu sedangkan dia (Allahyarham) orang bagus, (seorang) cikgu, banyak buat kebajikan pada masjid ini. Pejabat agama kata perkara macam ini jangan cepat percaya (viral) mereka seronok (sebarkan),”

– Abdul Hadi

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat Setiausaha masjid berkenaan, Yahya Saad, malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Sheikh Ahmad Faisol Omar berkata, sehingga kini pihaknya sedang menunggu siasatan pihak polis sebelum mengulas lanjut mengenai isu terbabit.

Terdahulu, pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat berada di perkarangan tanah perkuburan itu untuk melakukan siasatan.

Tiada Unsur Jenayah, Khianat Kejadian ‘Kubur Berdarah’

Tiada unsur jenayah ataupun khianat yang boleh dikaitkan dengan kejadian ‘kubur berdarah’ di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan Derga.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor bagaimanapun berkata, sampel tanah telah diambil untuk pengesahan jabatan kimia.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ni.

Pejabat Agama Daerah Kota Setar hari ini turut memaklumkan tidak dapat mengesahkan punca kejadian ‘kubur berdarah’ yang tular dan menyerahkan perkara terbabit kepada polis untuk siasatan.

Semalam, video berdurasi 19 saat memaparkan keadaan kubur dengan cecair warna merah menjadi tular di media sosial sehingga ramai yang datang ke lokasi itu untuk melihat kejadian berkenaan.

Penduduk Gempar Kubur Berdarah

Penduduk di sekitar bandar ini gempar dengan kejadian ‘kubur berdarah’ di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan di Derga di sini hari ini.

Kejadian berkenaan turut viral di Facebook yang mana mendakwa kubur itu dipenuhi darah, bagaimanapun ada pihak mengatakan ia cecair berwarna merah seperti minyak.

Kubur tersebut yang turut mendap telah ditimbus semula oleh pihak masjid.

Penduduk, Rahmat Ahmad, 50, dari Langgar berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian itu melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar rakan.

“Kebetulan pada masa itu  saya melalui Jalan Langgar lalu singgah ke tanah perkuburan tersebut dan melihat sudah ada beberapa orang yang berada di situ.

“Saya mendapati ada cecair warna merah di atasnya dengan keadaan kubur mendap,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Irfan, Yahya Saad ketika dihubungi berkata, beliau telah dimaklumkan oleh beberapa kakitangan masjid itu pada petang tadi.

Katanya, dia terus melawat kubur tersebut dan terdapat cecair merah di atas tanah perkuburan itu.

“Bagaimanapun saya tidak pasti cecair itu sama ada darah atau sebaliknya yang mana jenazah dikebumikan kira-kira dua minggu lalu.

“Hasil perbincangan dengan ahli jawatan kuasa masjid, saya mengarahkan supaya tanah kubur itu ditimbus semula pada petang ini juga bagi mengelakkan fitnah,” katanya.

Menurut Yahya, pihaknya juga akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada malam ini untuk siasatan lanjut.

“Jabatan Agama Islam Kedah juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini dan pihak berkenaan akan turun untuk membuat siasatan esok,” ujarnya.

Beliau pada masa sama meminta orang ramai tidak memviralkan kejadian kerana maklumat yang disebarkan tersebut belum sahih

Sumber: Astro Awani

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Wany Hasrita Kongsi Video Terima Kunci Rumah Baru di Youtube

Hadir Sedondon, Hubungan PU Riz Semakin Serius dengan Neelofa?