in

ILMUWAN ISLAM MUSIM 1 & 2 DALAM BENTUK DVD

ILMUWAN ISLAM MUSIM 1 & 2
DITERBITKAN DALAM BENTUK DVD

Program dokumentari bersiri Ilmuwan Islam musim pertama (13 episod) dan musim kedua (13 episod) yang pernah disiarkan di TV3 kini diterbitkan pula dalam bentuk DVD. 26 episod Ilmuwan Islam ini dimuatkan di dalam 4 dvd dan akan mula berada di pasaran pada minggu hadapan. DVD Ilmuwan Islam ini dijual dengan harga RM 89.90 dan boleh didapati di toko-toko buku seperti MPH, Popular, Borders, Kinokuniya, Times dan Islamic Arts Museum.

Justeru, majlis pelancaran DVD Ilmuwan Islam diadakan pada hari Isnin, 11 Ogos yang lalu  bertempat di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama disempurnakan oleh, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Dato’ Seri Mohd Shafie Bin Hj. Apdal dan Pengerusi Media Prima Berhad, Dato’ Abdul Mutalib Datuk Seri Mohamed Razak. Turut hadir pada majlis ini ialah Pengarah Urusan Nickleodeon Books (M) Sdn Bhd, Encik M.I. Samshudin Marican.

Tujuan program Ilmuwan Islam ini diterbitkan dalam bentuk DVD ialah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat majmuk, pencinta sejarah serta pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi menonton dokumentari ini berulang kali dan menjadikan ia sebagai sumber pembelajaran.

Dato’ Amrin Awaluddin (Ketua Pegawai Eksekutif TV3), Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Dato’ Seri Mohd Shafie Bin Hj. Apdal, Dato’ Abdul Mutalib b. Datuk Seri Mohamed Razak (Pengerusi Media Prima Bhd)

YB Dato’ Seri Mohd Shafie Bin Hj. Apdal, Dato’ Abdul Mutalib b. Datuk Seri Mohamed Razak

Melalui dokumentari ini penonton boleh mengetahui bagaimana aplikasi-aplikasi sains dan teknologi ciptaan ilmuwan itu dapat dimanfaatkan pada masa kini dan akan datang. Ia juga dapat memberikan inspirasi dan memupuk semangat mendalami ilmu terutamanya di kalangan generasi muda, tidak kira kepercayaan ataupun agama untuk mencapai tahap kegemilangan seperti para Ilmuwan Islam di masa dahulu.

Dokumentari Ilmuwan Islam pernah memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Skrin 2005 untuk episod Al-Idrisi (Musim Pertama) dan Anugerah Media Islam Negara 2006 untuk episod Ibnu Haitham (Musim Kedua). Ilmuwan Islam musim pertama diterbitkan oleh Hisham Abdullah dan Mohd Fasil Idris dan untuk musim kedua diterbitkan oleh Mohd Fasil Idris dan Zailan Abdul Rahman manakala Ahmad Noor Sulaiman pula bertindak sebagai suara latar.

Ilmuwan Islam mengisahkan saintis-saintis Muslim dan cendekiawan yang menyumbang kepada ilmu pengetahuan khususnya di antara abad ke-8 dan abad ke-14. Sejarah membuktikan bahawa mereka banyak menyumbang ilmu dalam pelbagai bidang seperti sains, astronomi, perubatan, pembedahan, kejuruteraan dan ilmu falsafah.

Krew penerbitan menjelajah lebih dari 10 Negara termasuk Iran, Uzbekistan, Sepanyol, Syria, Egypt, Morocco, Itali, Tunisia, Turkey, China dan Oman untuk membongkar zaman kegemilangan Islam di mana kebanyakan ciptaan saintifik pada masa itu dicipta dan telah mencetuskan tamadun moden.

“Penerbitan program dokumentari bersiri Ilmuwan Islam ini berjaya mencapai matlamatnya yang dibuktikan melalui dua anugerah yang diraih. Harapan kami DVD yang diterbitkan ini dapat memperkembangkan budaya dan falsafah yang dicipta. Sekaligus dapat memperkayakan ilmu pengetahuan dengan menjadikannya sebagai sumber rujukan untuk pembelajaran. Kami percaya dokumentari ‘Ilmuwan Islam’ akan dapat memupuk semangat ingin belajar dan seterusnya melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu,” tegas Dato’ Abdul Mutalib Datuk Seri Mohamed Razak.

Zailan dan Mohamad Hisham, Penerbit Penyelaras Ilmuwan Islam

Kandungan Ilmuwan Islam Musim – 1:-

Ep. 1 – Pengenalan
Ep. 2 – Botani & Farmakologi : Ibnu Baytar
Ep. 3 – Perubatan1 : Ibnu Sina
Ep. 4 – Perubatan 2 : Al-Zahrawi
Ep. 5 – Geographi: Al-Idrisi
Ep. 6 – Kimia : Jabir Hayyan
Ep. 7 – Sosiology : Ibnu Khaldun
Ep. 8 – Kejuruteraan : Al-Jazari
Ep. 9 – Senibina: Mimar Sinan
Ep. 10 – Matematik : Khawarizmi
Ep. 11 – Astronomi : Ulug Begh & Abdullah Fahim
Ep. 12 – Maritim: Cheng Ho
Ep. 13 – Penutup   

Kandungan Ilmuwan Islam Musim – 2:-

Ep. 1 – Prolog
Ep. 2 – Ibn Battuta (Bahagian 1)
Ep. 3 – Ibn Battuta (Bahagian 2)
Ep. 4 – Ibn Haitham (Bahagian 1)
Ep. 5 – Ibn Haitham (Bahagian 2)
Ep. 6 – Sarjana Muslim Cina (Bahagian 1)
Ep. 7 – Sarjana Muslim Cina  (Bahagian 2)
Ep. 8 – Ibn Firnas (Bahagian 1)
Ep. 9 – Ibn Firnas (Bahagian 2)
Ep. 10 – Ahli-ahli pembinaan Mughal (Bahagian 1)
Ep. 11 – Ahli-ahli pembinaan Mughal (Bahagian 2)
Ep. 12 – Al-Khazin
Ep. 13 – Epilogue 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

WARTA SERUMPUN KERJASAMA MALAYSIA – INDONESIA

Buatan Orang dan Chef Mana Yang Sihir Chef Wan?