in ,

Ikuti Kisah Inspirasi 13 IKONITA Berjaya di TV1

Suntikan motivasi dan inspirasi kepada setiap individu itu datang dalam pelbagai cara. Ada yang hadir menerusi pembacaan tak kurang juga hasil tontonan program TV. Wow, menarik bukan. Kepada anda yang dalam kelompok

Lebih terarah kepada menonton TV, inspirasi daripada 13 tokoh wanita diperkenalkan RTM dalam program “Ikonita” pastinya cukup membantu ke arah memberi manfaat untuk semua. Kejayaan wanita dalam pelbagai kerjaya seperti usahawan, doktor, kontraktor, penyanyi dan bidang perniagaan. Antara yang difokuskan ialah biografi, kehidupan dan sejarah jatuh bangun dalam perniagaan. 

Pengusaha Kek dan Makanan

Siapakah Puan Zarifah Mohd Noor? Pemilik D Flower Cake ini mula menaruh minat dalam bidang perniagaan kerana kerjayanya sebagai wartawan ruangan keusahawanan. Beliau kemudiannya meluaskan lagi perniagaan dengan menubuhkan D Rimba Café. Istimewa kafe ini kerana menyediakan pakej makanan percuma untuk pelajar kurang berkemampuan. Di atas kejayaan tersebut, beliau diberi kepercayaan oleh Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk membimbing usahawan muda dalam bidang perniagaan.

Artis 

Kongsi inspirasi penghibur berasal dari Miri, Sarawak iaitu Zee Avi. Persembahan nyanyian sambil bermain ukulele yang dimuat naik di You Tube telah menarik perhatian Brushfire Records dari Amerika dan telah menjadikan beliau artis rakaman. Zee pernah mengadakan konsert di seluruh Amerika dan jelajah Asia. Kejayaan terbesar beliau ialah apabila memenangi lagu terbaik dalam pertandingan The Golden Horse Award 2016 yang diadakan di Taiwan, menerusi lagu Arena Cahaya yang dijadikan lagu tema filem Ola Bola.

Doktor

Beliau seorang doktor, juga pengusaha trak makanan. Individu dimaksudkan Dr. Norzila Abdul Rashid pemilik Klinik Dr. Uji. Berasal dari Terengganu, beliau mula menceburi bidang perniagaan trak makanan. Pembahagian masa sebelah siang Dr. Norzila menumpukan tugasnya di klinik dan malam pula mengusahakan perniagaannya. Beliau merupakan setiausaha Persatuan Trak Makanan Terengganu dan antara tugas persatuan ini mendapatkan tapak dan lesen untuk peniaga. 

Pengasas Pusat Jagaan Warga Emas

Sisi mulia pemilik nama YM Che Puan Intan Syafinas Ranjit, pengasas Laman Khaira iaitu sebuah pusat penjagaan warga emas yang beragama Islam terletak di Presint 16 Putrajaya. Di Laman Khaira, beliau akan memastikan setiap penghuni dijaga dengan penuh kasih sayang dan sempurna. Pelbagai aktiviti dirangka untuk mengisi masa lapang mereka terutama aktiviti keagamaan. Selain itu beliau bertanggungjawab menguruskan pemasaran bagi Jenama Lola Baba.

Pengasas Butik Vendor

Ikon wanita seterusnya Puan Norazura bt Md Posdzi, pengasas syarikat Gondola31, butik vendor yang memasarkan pelbagai jenama tudung, pakaian, dan produk kesihatan dibawah satu bumbung. Beliau  yang meminati bidang perniagaan sejak kecil juga memiliki beberapa syarikat lain secara kolaborasi seperti Segigroup Global, agensi pengiklanan dan pemasaran ZS Empire Sdn. Bhd dan NSA Beau Ventures yang mengeluarkan produk kosmetik.

Usahawan OKU berjaya

Haziqah Nurulhuda Harun gadis OKU lumpuh akibat demam panas ketika berumur 15 tahun. Dengan semangat untuk terus berjaya, Haziqah mula berkecimpung dalam bidang perniagaan dengan membuat kuih bulan dan kuih bakul secara kecil kecilan. Berkat usaha gigih tanpa menghiraukan kekurangannya, Haziqah pada masa ini telah mempunyai 2 buah kilang dengan seramai 60 orang pekerja. Harapan Haziqah, jenama Victory Yaya Mooncake (halal) yang diusahakannya dapat menembusi pasaran Indonesia dan Singapura.

Kontraktor wanita

Pn Hajah Intan Nazariha Hj. Tahang dari Johor Baharu mengusahakan perniagaan warisan keluarga dalam bidang pembersihan sampah, penyelenggaraan lanskap, pembersihan taman permainan dan sistem perparitan bawah tanah. Syarikat STT Management Sdn. Bhd telah ditubuhkan pada tahun 2008 dan amat terkenal dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor. Beliau seorang yang cekal serta tegas dan menurutnya untuk berjaya dalam bidang perkhidmatan, sesebuah syarikat itu mestilah memberi perkhidmatan yang terbaik secara konsisten. 

Pengusaha konsep percutian

Pengusaha konsep percutian baharu, Pn Nadiah Abas bersama-sama suami mengasaskan syarikat pelancongan World Travel Ambassador (WTA) iaitu perkhidmatan pelancongan menggunakan caravan atau motorhomes. Perkhidmatan tertumpu di New Zealand dan Australia. WTA yang diusahakan oleh Pn Nadiah telah mendapat pengiktirafan dari Jabatan Pelancongan di kedua-dua negara tersebut. 

Perancang Majlis Perkahwinan

Kenali Puan Rozanna Mumtaz Mohammed Ashraf, pengusaha syarikat perancang perkahwinan iaitu syarikat Reka Teemor Sdn. Bhd. yang terkenal di Malaysia. Bagi menambat hati pelanggan, beliau dan suaminya sentiasa tampil dengan ilham rekaan yang kreatif, unik serta eksklusif, bersesuaian dengan bajet mereka. Untuk terus berjaya dalam bidang pengurusan majlis perkahwinan dengan idea dan rekaan terkini, beliau sentiasa menambah ilmu melalui pembacaan, melancong dan mengikuti acara di majlis sosial.

Usahawan ternak

Besar pengorbanan dilakukan Puan Siti Fatonah Arbain seorang usahawan ternak. Kerana minat mendalam dalam bidang ternakan, beliau berhenti kerja sebagai jurutera peralatan kapal terbang. Bermula dengan 30 ekor lembu tahun 2005, beliau kini telah berjaya menguruskan sebuah syarikat MJ Fatonah Sdn. Bhd yang terletak di Kuala Selangor. Beliau turut menubuhkan sebuah akademi penternakan yang menganjurkan kursus dalam bidang penternakan.

Usahawan air minuman

Puan Siti Aishah Kamaruddin, pemilik Ayaq World Sdn Bhd. Susah payah beliau dibalas dengan kejayaan apabila perniagaannya terus berkembang ke seluruh negara dan telah berjaya menembusi pasaran Singapura. Beliau kini mempunyai lebih 300 orang agen untuk memasarkan minuman syarikatnya. Berkat ketekunannya, Pn Aishah telah dianugerahkan Best Young Entrepeneur Award 2018 oleh majalah NONA.

Pengeluar Balm dan Minyak Bayi

Puan Haridah Sahri, Ketua Pegawai Operasi Tasneem Naturel Sdn. Bhd. pengeluar balm dan minyak bayi. Beliau pernah gagal dalam perniagaan sebelum ini, walaubagaimana pun bangkit semula dan memilih minyak keperluan bayi sebagai produk baru perniagaannya. Bermula membuat balm bayi di rumah secara kecil-kecilan, dan kemudiannya membuka kilang untuk memproses dan memasarkan minyak tersebut. Selain menjual sendiri, Pn Haridah melantik agen bagi mengembangkan lagi perniagaannya. Membanggakan syarikat Tasneem Naturel mampu mengeluarkan lebih 20,000 botol balm sehari untuk pasaran di seluruh negara.

Pengusaha Pekasam

Puan Tanti Mastura Mahmud, berniaga pelbagai produk secara dalam talian termasuk ikan pekasam. Permintaan terhadap ikan pekasam tinggi dan beliau membuat keputusan untuk membuatkan sendiri ikan pekasam dan memasarkannya di bawah jenama Tanties Trading. Pn Mastura telah mempelbagaikan produk pekasamnya dengan membuat pekasam daging lembu, kambing, rusa dan burung puyuh. Pekasam daging rusa khususnya mendapat permintaan yang tinggi. Untuk memperkembangkan perniagaannya beliau telah melantik agen untuk setiap negeri dan berhasrat membuat pekasam ready to eat di masa akan datang.

Saksikan episod pertama mulai 6 Januari ini, setiap Isnin dan Selasa, pukul 12.05 tengah hari di TV1. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gandingan Baharu ERA D’Boyz bersama Nabil Ahmad

Awkwafin Cipta Sejarah Menang Pelakon Terbaik Wanita di Anugerah Golden Globe 2020