in , , ,

Himaya Lancar Kempen Antibuli Siber Menampilkan Wany Hasrita, Amira Othman & Elfira Loy

DI sebalik kecanggihan teknologi yang diagung-agungkan, kes buli siber semakin meningkat dari semasa ke semasa dan ini mendatangkan kesan buruk kepada mangsanya.

Buli siber merujuk kepada individu yang menyalahgunakan teknologi atau media sosial untuk mengganggu, memprovokasi dan mengancam orang lain di alam maya tanpa bersemuka. Menyedari hakikat ini, syarikat pengeluar pelitup muka bagi wanita bertudung, Himaya Premium Hijab Medical Mask iaitu Anggun Kirana Sdn. Bhd. melancarkan Kempen Antibuli Siber, baru-baru ini.

Menurut pengasasnya, Datuk KK Chua, mangsa buli tidal boleh berdiam diri kerana ia akan memberi kesan negatif atau gangguan mental kepada mangsa buli siber.

“Buli siber kini tidak lagi mengenal mangsa sama ada remaja, pelajar atau orang dewasa. Langkah paling penting adalah memberitahu ibu bapa atau orang yang anda rasa selamat untuk bercakap dengannya.

“Masyarakat juga berperanan mendengar masalah mereka, memberi pandangan positif atau melaporkan kejadian tersebut sekiranya mangsa malu atau buntu,” katanya yang turut menjelaskan golongan artis juga menjadi sasaran kepada pembuli siber.

Bagi KK Chua, kempen ini dilancarkan juga adalah disebabkan ramai artis menjadi mangsa buli siber sehingga menyebabkan mereka menjadi murung.

“Ada artis yang terpaksa mendiamkan diri dan tidak aktif dalam laman sosial buat seketika. Ada yang takut keluar rumah.

“Bagaimanapun, artis Malaysia yang menjadi mangsa buli siber kasih terkawal berbanding artis di Korea apabila ramai yang gagal berhadapan dengan situasi membunuh diri,” katanya lagi.

“Netizen perlu tanam sikap tanggungjawab sosial” – Wany Hasrita

Apa yang menarik, kempen ini juga menampilkan tiga artis wanita popular iaitu Wany Hasrita, Amira Othman Dan Elfira Loy untuk sama-sama menjayakan kempen ini.

Ketiga-tiga artis ini pernah menjadi mangsa buli siber dan pengalaman mereka sedikit sebanyak boleh membantu artis lain atau masyarakat.

Wany mengaku pernah menyahaktif sementara Instagram kerana terlalu tertekan apabila persembahannya di Anugerah Juara Lagu ke-33 melalui lagu Menahan Rindu dikecam hebat.

“Mungkin ramai yang beranggapan ia sekadar tulisan. Itu silap kerana ia lebih kekal dan meresap dalam ingatan. Apa yang diperkatakan akan terngiang-ngiang dalam pemikiran hingga mengganggu proses kehidupan. Serba-serbi jadi tak keruan.

“Netizen perlu tanam sikap tanggungjawab sosial Dan nilai murni dalam kehidupan. Bukan artis sahaja menjadi suri teladan kepada generasi akan datang, tetapi selagi netizen bergelar manusia, mereka juga dipertanggungjawabkan,” jelasnya.

Begitu juga dengan Amira Othman yang menjadi buli siber apabila beliau dimasukkan ke hospital selepas otot pahanya terkoyak dan berdarah selepas kali pertama menyertai kelas senam berbasikal indoor tetapi netizen menuduhnya mengambil pil.

“Saya enggan melayan tuduhan atau kecaman netizen kerana saya dan keluarga lebih tahu siapa diri saya,” ujarnya.

Elfira Loy yang sudah 15 tahun dalam industri mengaku sudah lali dengan kecaman netizen.

“Saya mengambil langkah tidak mempedulikan kritikan netizen dan enggan melayan perkara remeh,” katanya. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senandung Hari Raya Untukmu 2021 Hangatkan Kempen #SempurnaBersama

Hilang Deria Bau, Batuk & Selesema, Nabila Huda Positif COVID-19