in , ,

Havocnya Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022

Air mata penyanyi Ziana Zain gugur ketika menjayakan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Ziana gagal menahan perasaan sebak apabila mengimbas semula pesanan dan nasihat dititipkan ibunya sebagai panduan selepas bergelar anak seni.

“Emak sering menasihatkan saya tidak mudah lupa diri dan sentiasa berpijak di bumi nyata. Apa yang dikurniakan hari ini, semuanya milik Allah,” ungkap Ziana sambil ditenangkan Anuar.

Penyanyi yang mula meledak menerusi lagu Madah Berhelah itu mengakui, tidak dapat tidur malam gara-gara konsert itu.

“Seminggu saya tak tidur malam kerana memikirkan konsert ini,” ujar Ziana sambil menerima tepukan semangat kira-kira 2,800 penonton yang hadir menyaksikan konsert yang julung kali menggabungkan dua beradik itu.

Tirai konsert bermula jam 9 malam dibuka dengan dua lagu rancak, Sangkar Cinta dan Bila Resah yang disampaikan dengan penuh bertenaga oleh dinamik duo ini.

Sepanjang tiga jam beraksi, Ziana dan Anuar bukan sahaja menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu hit mereka, tetapi celoteh melucukan.

Antara lagu popular dipersembahkan Ziana termasuklah Puncak Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu, Madah Berhelah dan lagu yang belum pernah dinyanyikan dalam mana-mana persembahan iaitu Terlerai Kasih.

Manakala Anuar pula menghiburkan peminat dengan lagu popularnya seperti Ketulusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.

Seperti dijanjikan ketika sidang media konsert, beberapa bulan lalu, pasangan dua beradik ini turut berpadu suara menyampaikan lagu Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan yang menjadi lagu penutup konsert itu.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan kehadiran ramai rakan selebriti. Antaranya, Noryn Aziz, Misha Omar, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Shuib Sepahtu, Datuk Ziela Jalil, Datuk A Aida, Ernie Zakri, Syamel, Rozita Che Wan, Fara Fauzana dan Dafi.

Di penghujung konsert, mereka turut mengumumkan konsert itu bakal dibawa ke Singapura pada 24 September depan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Eskayvie Lancar Mindtropic Untuk Tangani Gejala Stress Dan Keresahan

PAYUNG Lagu Tema ABANG LONG FADIL 3 Kolaborasi Zizan & Elizabeth Tan