in , ,

Hafiz Suip Muncul Dengan Single Terbaharu Berjudul TERUS BERSINAR

Lama tidak muncul, Kini Hafiz Suip hadiahkan single terbaharu sebagai buah tangan untuk peminat berjudul TERUS BERSINAR terbitan syarikat rakaman Nova Music.

Nama penyanyi terkenal Hafiz Suip tidak perlu diperkenalkan lagi. Bakat besar yang dimiliki membawa kerjaya seninya di puncak tertinggi. Pelbagai pengiktirafan sudah diterima, sekali gus meletakkan namanya di liga tersendiri.

Bercakap soal lagu, mana mungkin boleh melupakan lagu “Awan Nano”, “Noktah Cinta”, “Ku Akui”, “Bahagiamu Deritaku”, “Kisah Cinta Kita” dan banyak lagi. Malah, deretan lagu yang sudah dihasilkan masih menjadi siulan hingga kini.

Hafiz Suip Muncul Dengan Single Terbaharu Berjudul TERUS BERSINAR

Daripada hubungan bersama bapa, adik beradik, suami isteri hingga kekasih, mesej yang diketengahkan menerusi lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati. Bukan bersifat peribadi, tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.

Terbaharu, Hafiz, 33, atau nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip muncul dengan single berjudul “Terus Bersinar” terbitan syarikat rakaman Nova Music.

Menariknya, lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga dan Jova Devito itu adalah kerjasama pertama Hafiz bersama mereka.

Menurutnya, lagu “Terus Bersinar” yang bergenre balada itu membawa mesej untuk anak.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik.

Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri. 

“Jadi, untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak. Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,”

– Hafiz Suip

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Hafiz berkata dia terus jatuh cinta dengan lagu itu ketika kali pertama mendengar melodiya.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu. Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ni memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaru saya.

“Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar. Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya.

Hafiz Suip Muncul Dengan Single Terbaharu Berjudul TERUS BERSINAR

Mengenai kerjasama dengan Mas Dewangga, Hafiz bertuah kerana dapat merakamkan lagu ciptaan komposer yang kian meningkat naik dengan sentuhan lagu balada yang mampu menarik perhatian pencinta muzik tanahair.

“Mas Dewangga seorang komposer yang bagus di mana bila saya dengar karya dihasilkan semuanya segar dan memang trend masa kini.

Lagu balada yang dihasilkan diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar.

“Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia. Jadi, apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan bunyi itu. Kebetulan saya pun suka,”

– Hafiz Suip

Dalam masa sama, Hafiz berharap lagu “Terus Bersinar” bakal menjadi sebuah karya pilihan dan diminati oleh semua seperti kebanyakan lagu-lagunya sebelum ini.

Hafiz Suip Muncul Dengan Single Terbaharu Berjudul TERUS BERSINAR

“Insya-Allah, apa-apa pun kita berserah kepada Allah. Namun, tidak mahu terlalu berharap. Pun begitu, saya sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, apa boleh dikatakan adalah saya dapat rasa mesej yang ingin disampaikan. Saya sendiri menangis. Jadi, harapnya peminat dan pendengar juga dapat merasainya, insya-Allah,” katanya.

Menariknya, lagu “Terus Bersinar” turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30-episod terbitan Mache All Star United berjudul ‘Surat Dari Tuhan’ yang akan bersiaran di slot Samarinda, TV3 mulai 30 Oktober ’23.

Single “Terus Bersinar” Hafiz Suip dipasarkan pada hari yang sama dengan tarikh mula siaran drama bersiri tersebut dan boleh mula distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik pada 30 Oktober‘23. Video muzik rasmi single tersebut juga boleh mula ditonton pada hari yang sama jam 3pm di saluran YouTube Nova Music Videos.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tiket Konsert Exists Borneo Tour di Kuching & Kota Kinabalu Mampu Milik

BADRUL MUHAYAT

Pelakon Badrul Muhayat Meninggal Dunia Ketika Tidur di Pulau Pinang