Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in

Hafiz Hamidun Menang Saman Kamdar

DISEBABKAN namanya telah disalahgunakan oleh sebuah syarikat tekstil terkenal, penyanyi Hafiz Hamidun mengambil keputusan untuk membawa kes itu ke muka keadilan.

Nasib menyebelahi penyanyi dan komposer itu apabila dia telah memenangi kes saman tersebut dengan niat untuk mempertahankan haknya sebagai seorang selebriti dan usahawan.

“Alhamdulillah, setelah lebih setahun akhirnya mahkamah memutuskan saya memenangi kes ini pada Selasa lalu. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk melindungi nama saya.

“Nama ini sudah didaftarkan sebagai hak cipta dan trademark untuk perniagaan saya yang turut mengeluarkan beberapa produk berkaitan tekstil dan baju,” katanya ketika ditemui pihak mStar Online.

Malah, ia juga sebagai satu cara untuk mempertahankan hak dan melindungi namanya daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penyanyi lagu Jangan Berhenti itu dikatakan menfailkan saman terhadap syarikat tekstil Kamdar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekitar Februari tahun lalu atas kesalahan penyalahgunaan nama tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, sebelum memfailkan saman, Hafiz sudah pun cuba untuk membuat rundingan cara baik dengan syarikat tersebut tetapi tiada sebarang kata sepakat yang dicapai oleh mereka.

“Sebelum ke mahkamah kami cuba selesaikan di luar mahkamah dan tuntutan saya itu diabaikan oleh pihak mereka yang tetap mahu ia dibawa ke muka pengadilan,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, sepanjang kes itu, Hafiz telah dikecam teruk oleh netizen kerana tindakannya itu.

Namun apa yang dilakukan oleh Hafiz itu merupakan satu pengajaran kepada semua pihak supaya mereka tahu bahawa hak mereka perlu dilindungi daripada disalahgunakan oleh mana-mana pihak tertentu.

Dia turut menolak segala dakwaan kononnya dengan cara itu, dia akan menjadi kaya dengan jalan mudah seperti yang dituduh oleh netizen.

“Saya sedar ramai netizen yang kecam dan anggap saya ‘poyo’ dan memperlekehkan usaha saya dengan menganggap saya ambil jalan mudah untuk jadi kaya.

“Terpulang kepada mereka kerana apa yang saya lakukan hanya untuk mempertahankan hak saya sahaja,” ujarnya lagi.

Pihak mahkamah turut memutuskan untuk menetapkan nilai tuntutan itu pada Julai hadapan kepada pihak berkenaan.

Sumber: Mstar Online

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version