in , ,

Hael Husaini Masih ‘Sama Seperti Dulu’, Pilih Bekerjasama Dengan Iqie

Bekas Juara AJL Ke-32 & 33 Kembali Menawan Hati Yang ‘Lara’ Dengan Single Terbaharu Dalam Nuansa Pop Balada Yang Penuh Emosi

Kejayaan demi kejayaan diraih bagi penyanyi popular Malaysia, Hael Husaini, baharu sahaja empat bulan single ‘Kelentang Kelentong’ ciptaannya bersama rakan komposer, Ezra Kong dilancarkan, dengan lebih dari 6.4 juta tontonan di YouTube, beliau muncul pula dengan single terbaharu berjudul ‘Sama Seperti Dulu’ yang bakal membuai perasaan ramai pendengar.

“Kejayaan yang saya kecapi sekarang tidak datang bergolek, setelah bergelumang dalam bidang seni lebih dari 15 tahun, banyak yang telah saya pelajari.

“Dari semasa ke semasa, saya sentiasa belajar memperbaiki apa yang boleh supaya kehidupan lebih teratur dan berkualiti. Saya juga selalu tekankan sebelum ini bahawa saya mempunyai sebuah team yang terbaik untuk membantu dari segi pengurusan kerjaya dan juga hal peribadi,” kata Hael memula bicara.

Single ‘Sama Seperti Dulu’ ciptaan beliau sendiri bersama komposer muda, Iqie Hugh, adalah kolaborasi pertama mereka berdua sebagai penggiat muzik, manakala ia diterbitkan oleh label tidak asing lagi, Rocketfuel Entertainment.

“Setelah beberapa karya hasil kerjasama di antara Ezra Kong, MFMF dan saya, pada kali ini bagi single terbaharu pula, saya memilih untuk bekerjasama dengan Iqie yang merupakan seorang penggubah lagu berbakat besar buat pertama kalinya.

“Ini merupakan permulaan bagi projek-projek kami yang mendatang. Iqie juga turut terlibat dalam beberapa buah lagu yang akan dimuatkan dalam album penuh saya yang bakal dilancarkan pada Ogos nanti. 

Sama Seperti Dulu adalah trek pertama di dalam album yang akan memuatkan 10 buah lagu kelak,” jelas jejaka berusia 33 tahun ini.

Hael Husaini

Lagu Sama Seperti Dulu mengajak pendengar kembali kepada genre muzik yang biasa dibawakan oleh Hael iaitu pop balada, namun pada kali ini ada sedikit sentuhan moden yang diterapkan dengan mengekalkan bunyi atau vibe lagu-lagu Melayu zaman sekarang agar kekal relevan dan mudah diterima oleh penggemar muzik tempatan.

“Saya mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan lagu ini iaitu sekitar 3 bulan kerana Iqie dan saya agak sibuk dari penghujung tahun 2021 sehinggalah awal tahun 2022 atas urusan kerja masing-masing.

“Lagu ini ada sedikit kaitannya dengan kisah peribadi saya dengan orang di sekeliling kita. Saya masukkan unsur-unsur kesetiaan dalam perhubungan yang menjadi tema lagu ini. 

“Kalau pendengar selami bait-bait liriknya, apakah maksud kesetiaan dalam perhubungan? Berapa lamakah perhubungan itu, apakah ujian dan dugaannya, dan setelah melalui pelbagai rintangan dan dugaan, adakah perasaan itu masih ‘Sama Seperti Dulu’?” tambah Hael lagi.

Video muzik (MV) Hael terdahulu rata-ratanya mempunyai jalan cerita dan konsep yang unik dan tersendiri, bagi MV Sama Seperti Dulu, penonton bakal disajikan dengan sebuah telemovie ringkas namun pasti  memberi kesan.

“Kali ini, saya akan tunjukkan perjalanan sebuah perhubungan yang utuh, dari permulaanya sehinggalah hujung cerita. Ia menceritakan bagaimana sebuah hubungan itu berfungsi dalam kehidupan. Peminat wajib tonton kalau hendak tahu kesudahannya,” ujar Hael.

Bagi Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, beliau berpendapat, “Tidak dinafikan, Hael di antara penyanyi yang sentiasa melahirkan lagu-lagu hits yang sering mendapat perhatian ramai. Single Kelentang Kelentong baru-baru ini popular dan terus viral di laman sosial terutamanya Tiktok.

“Saya percaya dengan formula pop balada yang sering dicipta oleh Hael dalam Sama Seperti Dulu bakal mendapat sambutan sebagaimana lagu-lagunya sebelum ini.

Sebagai anak seni, Hael telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dari awal pembabitannya. Dari permulaan yang kurang diberi perhatian sehingga kini, menjadi salah satu pemain utama industri muzik Malaysia, tidak mudah bagi dirinya.

“Bagi saya, penting untuk sentiasa tenang dalam apa jua keadaan. Kita kena kawal emosi dan tenaga di sekeliling kita. Saya tidak gemar menjaja kisah berbentuk dugaan atau kenangan pahit.

“Saya juga tidak akan melenting dan memberi respon pada perkara yang kurang penting. Saya tidak mahu masa saya dibazirkan dengan berduka atau melayani isu-isu remeh. Jika saya terkesan sekalipun, saya memilih untuk berdiam diri dan alihkan perhatian dengan menulis lagu.

“Saya seronok bila berkarya. Ini cita-cita saya. Kehadiran saya dan rakan-rakan dalam industri hanyalah sebagai anak seni dan penghibur. Kami berkarya dan mencari rezeki melalui hiburan. Jika apa yang kami hasilkan disukai dan dihargai, ianya  satu kejayaan dan kepuasan buat kami. 

Akhiri Hael menutup bicara, “Harapan saya tentulah menginginkan Sama Seperti Dulu berjaya seperti single-single terdahulu. Saya berdoa agar industri muzik kita dan karya-karya tempatan akan lebih maju dan berjaya ke peringkat yang lebih tinggi, ‘kita sokong kita’.

“Saya juga berharap muzik dapat memberi inspirasi dan terapi kepada semua pencinta dan penyokong muzik tempatan.

Lagu ‘Sama Seperti Dulu’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Hael Husaini

Tajuk : SAMA SEPERTI DULU

Artis : Hael Husaini

Penulis Lirik : Hael Husaini

Komposer : Hael Husaini & Iqie Hugh

Terbitan : Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.

(Verse 1)

Pernah tak jauh berfikir

Berarah tak tahu mana

Yang benar ataupun salah

Mungkin kita terlalu muda

Bersama melawan dunia

Bodohnya

(Pre-Chorus)

Dan kini engkau tahu

Tiada yang lebih mengerti lelah mu

Selain diriku

(Chorus)

Temani diri mu

Selagi ku mampu

Temani mu sampai ke hujung waktu

Temani diri mu

Hingga kelabu mata ku

Tetap aku kan setia bersama mu

Masih ku cinta kau sama seperti dulu

(Verse2)

Sayang seharus kau tahu

Tak salah merasa salah

Kita manusia

(Bridge)

Temani, temani temani mu

Temani, selamanya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Black | 21

Awesome TV Angkat Tema ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat Dengannya’

Wawa Zainal | 22

Tanda Cinta Pada Isteri, Aeril Zafrel Hadiahkan Wisma RM3.2 Juta