in ,

Awesome TV Angkat Tema ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat Dengannya’

Sajian lebih 50 program istimewa serta kolaborasi amal bagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat bakal semarakkan pengisian Ramadan 2022

Bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV tampil dengan tema istimewa penuh bermakna; ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’ bagi melatari Kempen Ramadan 2022 tahun ini. 

Dengan inspirasi tersebut, pengisian komprehensif sepanjang bulan mulia ini akan dizahirkan menerusi himpunan lebih 50 program menarik pelbagai genre yang bakal menanti para penonton serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi sebuah kolaborasi amal bersama syarikat korporat, Koperasi Amanah Pelaburan Berhad atau ‘KAPB’.

Group photo bersama artis di Ramadan Screening Awesome TV 2022 dan Kolaborasi Amal bersama KAPB

Mulai 3 April ini, para penonton bakal dihidangkan dengan seleksi kandungan terhebat merangkumi genre keagamaan, telefilem, drama bersiri, koleksi filem terlaris tempatan dan antarabangsa, naskhah throwback klasik malar segar, sketsa, komedi, variasi, bual bicara serta banyak lagi yang boleh ditonton menerusi platform Awesome TV di saluran Astro 123 dan MyTV 112. 

AWESOME_1968

Mengulas lanjut mengenai pengisian kempen Ramadan tahun ini, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli selaku Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, “Selepas dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, kami menyambut baik pengumuman peralihan fasa endemik bermula 1 April ini yang dilihat dapat memakmurkan semula tradisi sambutan bulan penuh barakah ini dengan pelbagai aktiviti ibadah. 

Justeru, tema ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’ dipilih khas untuk menerajui Kempen Ramadan Awesome TV 2022 kerana ia membawa pengertian yang sungguh bermakna dalam menyuntik inspirasi sekaligus mengangkat semula semangat rakyat Malaysia yang pastinya terkesan akibat pandemik. 

Selaku stesen televisyen, Awesome TV juga sentiasa komited dan mengambil  langkah proaktif dalam menyediakan sajian program menarik pelbagai genre khas untuk tatapan rakyat Malaysia yang pastinya mempunyai citarasa berbeza sepanjang bulan mulia ini sekaligus memikat hati mereka. 

Lebih istimewa, kami juga tidak lupa membawa amanat yang sama menerusi kolaborasi amal bersama pihak ‘KAPB’ bagi menjayakan inisiatif CSR sempena Ramadan pertama Awesome TV. Sebagai simbolik tema kempen kami pada tahun ini, sebanyak 15 unit permaidani eksklusif dari Masjidil Haram, Mekah akan dihadiahkan kepada 15 buah masjid terpilih di sekitar Lembah Klang untuk dimanfaatkan bersama. 

Semoga rakyat Malaysia bakal terhibur dengan pelbagai kandungan hebat tanpa henti yang telahpun disusun sepanjang bulan Ramadan. Selamat menonton!”

Berikut adalah pengisian menarik dari Awesome TV. Untuk memberi pilihan yang lebih fleksibel, program-program yang dibariskan juga turut boleh distrim melalui aplikasi Awesome TV di mana sahaja, pada bila-bila masa:

AWESOME_2034

PROGRAM TV MENARIK SEPANJANG RAMADAN 2022 DI AWESOME TV

Sempena bulan puasa ini, Awesome TV menampilkan rangkaian drama-drama terhebat khas untuk peminat drama Melayu tempatan. ‘Antara Ikhlas dan Kaca’ yang dibintangi oleh Luqman Hafidz, Wanna Ali, Aleza Shadan dan Zain Hamid bakal menghiasi slot ‘Dramatix’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam. Manakala drama ‘Sudin Dah Kaya!’ yang menampilkan figura rock tanah air, Datuk Awie sebagai tonggak utama bersama Zalif Sidek, Umar Dzariff dan Marissa Yasmin pula bakal mengambil alih slot  ‘Dramedi’ pada setiap hari Khamis hingga Ahad jam 9.30 malam.

Mengisi slot ‘Ohsem Tele’ pada setiap hari Ahad jam 10.00 malam turut menampilkan seleksi telemovie segar seperti ‘Permintaan Terakhir Abah’ yang dilakonkan oleh Hafizuddin, Jay Iswazir, Hazama dan Johan As’ari, ‘Pak Pokok Ketapang’, menampilkan gandingan Amerul Affendy, Dian P.Ramlee, Ezzaty Abdullah dan Hafizul Kamal serta ‘Hud’, diterajui oleh Fahrin Ahmad, Eira Syazira, Eqifshah dan Norlia Ghani. Sutradara hebat tanah air, Rashid Sibir juga tampil dengan karya, ‘Jeman’, lakonan pelakon baru, Iman Zulkarnain, Fauziah Nawi, Farah Ahmad dan Mia Farhana. 

Dalam pada itu, slot ‘Hiburan’ bakal membariskan program-program menarik berbentuk infotainment dalam pelbagai genre seperti komedi, sketsa, bual bicara dan banyak lagi. Jangan lupa temujanji anda dengan kami untuk program-program seperti ‘Perang Malam Ini’, ‘Sketsa Sketso’, ‘Roller Kata’, ‘Laki Masak Bini Lucky’, ‘Jawapan Panas’, ‘Rumah Insaf’, ‘Memoria’ dan banyak lagi. Kami yakin dengan kehadiran rakan-rakan selebriti di sebalik seleksi program ini seperti Dato’ Hattan, Liza Hanim, Noryn Aziz, Nikki Palikat, Amelia Handerson, PU Azman, Eira Syazira, Suki Low, Naqiu, Izzue Islam, Tomok, Black, Fad Bocey, Ajak Shiro, Khir Rahman, Dottie, Ramona Zamzam, Ropie, Pak Ya, Bell Ngasri dan ramai lagi.

ATVRAMADAN-SHOWS

Slot ‘Ohsem Lejen’ pada setiap hari Khamis jam 10.00 malam akan terus menyajikan filem-filem klasik yang diterajui Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee seperti ‘Do Re Mi’, ‘Nasib Do Re Mi’, ‘Laksamana Do Re Mi’, ‘Masam Masam Manis’ dan banyak lagi. 

Manakala slot ‘Filem Kita’ yang bersiaran pada setiap hari Jumaat, 11.30 malam pula membawakan anda seleksi filem tempatan malar segar pilihan seisi keluarga seperti ‘7 Petala Cinta’, ‘Semerah Cinta Steletto’, ‘Syurga Cinta’ dan ‘Aku Terima Nikahnya’. 

Kami juga akan menemani anda sekeluarga ketika bersahur dengan sajian kandungan menarik menerus ‘Sahur Special’ pada setiap hari Sabtu jam 4.00 pagi yang akan membariskan filem-filem throwback seperti ‘Si Badul’, ‘Tuan Badul’, ‘Driving School’, ‘Pagar Pagar Cinta’ dan ‘Pening Pening Lalat’.

Sebagai tanda tribute, slot ‘Malar Segar’ yang setia menemani penonton pada setiap hari Sabtu jam 3.00 petang pula bakal membariskan filem-filem menarik lakonan Allahyarham Mr. Os seperti ‘Adik’, ‘Mr. Os’, ‘Awang Spanar’, ‘Kembar Siam’ dan ‘Ghazal Untuk Rabiah’. 

Misi Awesome TV untuk menjadi stesen peransang minda atau ‘mood booster’ diteruskan lagi dengan menyajikan penonton dengan filem-filem Bollywood terhebat seperti ‘Josh’, ‘Kaabil’, ‘Raaz’, ‘Shakti: The Power’, ‘Taalash’ untuk slot ‘Hindi Special’ yang bersiaran pada setiap hari Sabtu jam 10.00 malam.

Seleksi filem antarabangsa juga membariskan naskhah-naskhah menarik seperti ‘Paddington 1 & 2’, ‘Fun With Dick And Jane’, ‘Real Genius’ menerusi slot ‘Awesome Movie’ yang bersiaran pada setiap hari Isnin, jam 10.00 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MySejahtera Kini Hadir Dengan Ciri ‘Verified’ Pada Akaun 

Hael Husaini Masih ‘Sama Seperti Dulu’, Pilih Bekerjasama Dengan Iqie