in , ,

Google Dedikasikan Doodle Sempena Hari Lahir Azah Aziz ke-94

Google Doodle hari ini memberi penghormatan kepada mendiang Azah Aziz pada hari lahirnya yang ke-94. Beliau adalah salah seorang perintis wartawan wanita di Malaysia dan merupakan ikon budaya Malaysia yang diingati atas usaha sepanjang hayatnya dalam pemeliharaan budaya, tekstil dan pakaian tradisional Melayu untuk generasi akan datang. Untuk memperingati legasinya, beliau digelar Tokoh Budayawan Melayu.

Mak Ungku, seperti yang lebih dikenali, dilahirkan pada 21 Ogos 1928. Minatnya yang mendalam terhadap bahasa, budaya dan seni telah dipupuk oleh ibunya, Azizah Jaafar, yang berasal dari keluarga Johor yang terbilang dan merupakan perintis dalam pengajian sains domestik, dan daripadanya beliau mewarisi koleksi tekstil dan pakaian Melayu terawal. Ini juga diperkukuh melalui perkahwinannya dengan Ungku Abdul Aziz, di mana beliau berkongsi minat mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu.

Azah Aziz

Beliau mula memupuk minat dalam bidang penulisan dan sastera semasa bekerja sebagai setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu, di bawah ketua jabatan Tan Sri Zainal Abidin Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba. 

Perintis Wartawan Wanita Dan Pengarang

Pada tahun 1957, tuah datang menemui Azah Aziz apabila beliau ditawarkan bekerja sebagai setiausaha kepada ketua pengarang Straits Times ketika itu, Leslie Hoffman, tiga bulan selepas ia memperkenalkan akhbar berbahasa Melayu pertamanya, Berita Harian. Beliau kemudian memulakan kerjayanya sebagai wartawan apabila ditugaskan untuk menguruskan bahagian wanita, mengambil alih tugas yang asalnya dikendalikan oleh ibunya Azizah, selama dua tahun. Antara personaliti antarabangsa yang ditemuramahnya semasa bertugas sebagai wartawan ialah bekas perdana menteri India, Indira Gandhi, peninju Muhammad Ali dan keluarganya, dan angkasawan wanita pertama yang ke angkasa lepas, Valentina Nikolayeva-Tereshkova.

Azah Aziz adalah perintis dalam banyak perkara. Beliau mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan menjadi presiden pertamanya (1971-1978) serta penasihat Pertama seterusnya. Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), sebuah pertubuhan kebajikan yang berdedikasi untuk menangani kebajikan dan keperluan wanita dan kanak-kanak. Beliau juga memperjuangkan hak persamaan gaji, cukai berasingan untuk isteri yang bekerja, pindaan keluarga Islam dan kemudiannya mengasaskan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam.

Selain daripada sejumlah artikel akhbar dan majalah yang ditulis selama 37 tahun sebagai wartawan, beliau telah mengarang lebih daripada sepuluh buah buku termasuk jilid mengenai tekstil dan pakaian Melayu bertajuk Rupa dan Gaya: Busana Melayu yang membincangkan pengaruh nilai budaya, adat resam tradisional, dan perkembangan sejarah terhadap evolusinya. 

Melalui Akaz, syarikat penerbitannya sendiri, Azah Aziz menjadi antara wanita pertama di Malaysia yang menerbitkan buku puisi, permainan dan lagu untuk kanak-kanak, di antaranya ialah Adik Comel, Ibu, Keluarga Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek, Kenangan Budi, Pantun-pantun Melayu, Taman Seni, Dendang dan Dondang Kanak-kanak dan banyak lagi.

Tokoh Budayawan Melayu

Di sebalik kerjayanya, cintanya terhadap seni dan tekstil tidak luntur. Sepanjang tahun ini, beliau telah mengumpul pakaian dan fabrik antik dari zaman Melayu lama. Azah memiliki lebih 100 jenis koleksi  pakaian warisan seperti baju kurung, baju Melayu dan kebaya, yang diwarisi dan dibelinya.

Dengan pengetahuan yang mendalam tentang pakaian, perhiasan dan tekstil, beliau memberi syarahan dan memperkenalkan budaya Melayu kepada festival seni dan seminar antarabangsa. Beliau menghabiskan sisa hidupnya untuk memartabatkan adat Melayu supaya budayanya dapat terus berkembang maju di seluruh dunia.

Selain mengetahui semua potongan pakaian tradisional dan jenis tekstil, beliau juga sangat mahir tentang cara pemakaian dan aksesori yang diperlukan untuk dipadankan bersama. Itulah sebabnya beliau sering dijadikan rujukan atau sumber oleh orang-orang yang berada dalam bidang tersebut.

Penglibatan beliau dalam bidang tersebut telah mendorong banyak pihak (agensi kerajaan, khususnya) untuk melantik beliau sebagai ahli lembaga pengarah mereka, antaranya termasuk ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Kraftangan Malaysia, dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak, antara lain.

Sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan dan mempromosikan budaya telah diiktiraf oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2008, di mana universiti tersebut telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor dalam bidang Seni dan Pendidikan. Di samping itu, Azah Aziz dipilih sebagai Tokoh Wanita Johor pada tahun 1992, dianugerahkan sebagai Anugerah Wanita Cemerlang Avon-Tan Sri Fatimah 1994, dan penerima pertama Anugerah Jarum Berlian yang dianjurkan oleh majalah Rias, terbitan Utusan Melayu.

Inspirasi Untuk Generasi Akan Datang

Anak perempuan Azah Aziz, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkongsi pendapatnya tentang legasi ibunya:

“Saya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ibu saya. Sepanjang kerjaya saya, beliau sentiasa memberikan sokongan. Tanpa sokongan beliau, saya tidak akan pernah dapat memiliki kerjaya seperti yang telah saya alami. Beliau adalah segala-galanya kepada kami semua dan sekarang beliau sudah tiada di sini, kami sangat merinduinya. Beliau seorang pejuang, dengan semangat yang sangat kuat untuk isu-isu yang dipercayainya. Semasa membesar, beliau sangat liberal dalam pemikirannya mengenai banyak isu dan menulis dengan penuh semangat mengenainya untuk hak kaum wanita, hak kanak-kanak, tetapi saya tidak akan menggambarkannya sebagai seorang feminis tetapi lebih sebagai seorang pendukung isu-isu wanita dan isu-isu yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Semasa kecil, saya masih ingat minatnya dalam penulisan. Beliau menulis tentang tekstil, pakaian dan cara ia dipakai, dan tentang warisan budaya. Beliau percaya, jika anda ingin memakai pakaian moden, anda harus memakainya, sama ada pakaian moden Barat atau dari mana-mana negara lain juga, tetapi anda tidak seharusnya mengubah struktur pakaian tradisional anda sendiri untuk memastikan keasliannya dikekalkan. Bukunya sangat bermakna dan keunikan tentang karyanya adalah, walaupun ramai orang telah menulis buku tentang tekstil dan pakaian di rantau ini tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang menyepadukan karya klasik dan puisi yang ditulis ratusan tahun yang lalu, yang memberi rujukan kepada tekstil dan pakaian, untuk memberikan kita gambaran yang sangat mendalam tentang keindahan dan elemen istimewa berkaitan dengan tekstil yang indah ini. Saya mahu seluruh dunia tahu tentang warisan budaya Melayu yang terkandung dalam tekstil dan pakaian, oleh itu saya telah memastikan buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan ia akan diterbitkan tidak lama lagi, dan hasratnya adalah untuk diedarkan secara meluas.

Koleksinya juga akan dihadiahkan kepada muzium mengenai tekstil, pakaian dan aksesori (yang akan diumumkan tidak lama lagi) supaya rakyat Malaysia dan seluruh dunia dapat berkongsi warisan yang indah ini melalui pandangannya dan melihat kecantikan serta bagaimana ia harus dihargai, difahami dengan lebih mendalam dan dihayati supaya ia dapat dipelihara kerana ia telah bertahan selama beratus-ratus tahun, ia perlu terus berbuat demikian untuk generasi akan datang!”

Cucu-cucu kepada Azah Aziz juga mengimbau kenangan mereka bersama:

“Jika anda bertanya kepada saya tentang nenek saya, perkara pertama yang saya akan katakan ialah beliau mempunyai sikap berjenaka yang hebat dan bijak! Saya masih ingat akan gelak tawanya. Saya masih mengingati, sewaktu saya kecil, beliau mengajar saya cara untuk bermain congkak, permainan kad dan permainan papan klasik seperti monopoli. Saya rindukan masakannya tetapi saya paling rindui beliau dan bagaimana kami berkongsi pengembaraan hebat semasa melancong ke luar negara.” – Alif Ayman

“Dua perkara yang paling penting bagi Atok adalah keluarga dan negaranya. Beliau seorang yang berani, tegas dan sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Setiap kali menaiki kereta, beliau akan mengajar saya satu pantun yang baru. Beliau juga mempunyai kisah-kisah menarik, dari gurauan lucunya bersama Muhammad Ali kepada pertemuannya dengan angkasawan wanita pertama di Moscow. Atok merupakan seorang nenek yang mesra dan penyayang yang sangat saya rindui.. dia juga membuat telur goreng terbaik yang sangat gebu dan rangup!” – Aziz Ayman

Terima kasih Azah Aziz, di atas ilmu dan sumbangan anda dalam memelihara budaya dan adat resam Melayu, menyinari dan menghiasi dunia seni serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang!


Kami juga ingin berterima kasih kepada rakan kongsi kami atas sokongan mereka terhadap projek ini. Di bawah ini mereka turut kongsikan pandangan mereka:

“Kraftangan Malaysia amat menghargai sumbangan Allahyarhamha dalam industri kraf negara terutamanya bidang kraf tekstil busana tradisional Melayu, yang memiliki kesempurnaan yang bukan sahaja dizahirkan daripada segi pakaian tetapi menerusi minat dan usaha untuk membudayakan masyarakat. Selama beliau menjadi Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia dan Ahli Lembaga Penasihat Karyaneka, Allahyarhamha bergiat aktif menyumbang idea dalam mengangkat seni kraf warisan dan memperkenalkan Kraftangan Malaysia di peringkat antarabangsa. Satu kehilangan tokoh budayawan agung yang sukar dicari ganti.”

– Ketua pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli

“Sehingga hari ini, saya tidak nampak orang lain yang boleh menggantikan tempat beliau. Kami pernah bertemu banyak kali untuk berbincang mengenai tekstil dan peranan yang perlu dimainkan oleh pihak muzium di Malaysia. Pandangan dan nasihat beliau sangat berguna untuk saya dalam mewujudkan sebuah muzium yang baik di Pahang pada hari ini. Puan Azah Aziz sering berkongsi koleksi-koleksi beliau dengan institusi, galeri dan sebagainya. Kita juga masih boleh melihat koleksi-koleksi ini dijaga dengan baik, dan ini sangat penting untuk generasi pada hari ini dan yang akan datang untuk mengetahui tentang kebudayaan dan kesenian tekstil Melayu. Usaha beliau tidak boleh dinilai dengan wang ringgit kerana tanpa usaha yang dilakukannya sejak berpuluh tahun dahulu, mungkin kita tidak boleh melihat karya atau hasil tenunan tekstil songket, batik dan sebagainya yang dihasilkan oleh orang-orang Melayu dahulu di samping menjadi rujukan penting untuk kita pada hari ini.”

– Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal

“Azah Aziz bak umpama serangkap pantun Melayu. Katanya halus indah berseri. Dirinya anggun tidak terperi. Kiasnya bersulam ibarat. Pembayangnya sarat nasihat. Maksudnya pula penuh teladan. Dan bak resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Beliau telah menyinari serata pelusuk alam Melayu dan persada Malaysia sepanjang hayatnya, dari meja penulis dan pengarang dunia kewartawanan sehinggalah ke dewan kajian menara gading busana dan kain dewangga Melayu tradisi. Warisan ilmu hasil tulisan beliau, malah keterampilan penampilan sahsiah peribadi, semangat kental dan kewibawaannya sendiri, semestinya bakal terus menjadi sumber inspirasi bagi generasi-generasi rakyat Malaysia yang akan datang.”

– Penulis dan Sejarawan, Raimy Ché-Ross


Azah Aziz

Gambar: Azah Aziz sewaktu muda

Kredit foto: Ihsan Tan Sri Dr. Zeti Aziz

Azah Aziz

Gambar: Azah Aziz 

Kredit foto: Ihsan Perbadanan Muzium Negeri Pahang

Pastikan anda juga mengunjungi saluran YouTube kami dimana kami berkongsi beberapa klip eksklusif perkongsian Tan Sri Dr. Zeti Aziz tentang ibunya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro

Jom Terokai Nilai Pek TV Terkini di Astro Experience Store Baharu

Trending Huawei | 15

Bilibili Umumkan Program Pencipta Video Profesional Selama Sebulan