in ,

GOL & GINCU VOL. 2 Bakal Ditayangkan Pada 25 Oktober Ini

Red Films telah mengumumkan tarikh rasmi tayangan produksi baru filem dan siri popular yang dinanti ramai – GOL & GINCU VOL. 2 iaitu pada 25 Oktober 2018.

13 tahun selepas filem dan siri itu dilancarkan, sebarisan watak baru bakal membuka kisah baru yang telah ditamatkan. Gol & Gincu Vol. 2 akan memaparkan semula kisah pelajar – pelajar universiti yang terlalu mementingkan diri sendiri dan dunia mereka sahaja. Bagaimanapun, cerita kali ini sedikit berbeza dan menampilkan isu semasa yang melibatkan penggunaan media sosial yang serius di kalangan generasi muda masa kini.

GOL & GINCU VOL. 2 Poster

“Mereka yang berpengaruh di media sosial memainkan peranan penting dalam membentuk pandangan masyarakat. Menerusi media sosial, masyarakat bebas untuk menyuarakan pandangan mereka dan keadaan ini amat berbeza berbanding kehidupan yang dilalui generasi 13 tahun yang lalu. Media sosial memberi tekanan kepada kita untuk menjadi lebih cantik, lebih pandai, lebih berjaya, lebih kaya dan lebih alim” kata Lina Tan, penerbit filem pada Majlis Pelancaran Gol & Gincu Vol. 2 bertempat di Pizza Hut, Empire City Mall, Petaling Jaya.

Gol & Gincu Vol.2 merupakan sebuah arahan sulung Umi Salwana Omar. Dia dipilih berdasarkan kemahiran dan pengalamannya mengarah pelbagai telefilem dan sitkom popular Oh My English! serta pengalamannya sebagai Penolong Pengarah bagi produksi terbitan Red Films antaranya seperti Istanbul Aku Datang, Songlap dan Manisnya Cinta Di Cappadocia.

Cerita yang diilhamkan oleh Rafidah Abdullah yang juga penulis asal Gol & Gincu telah diberi olahan segar oleh Nadia Khan, seorang novelis yang terkenal dengan novel terlaris beliau iaitu Gantung dan Kelabu.

Gol & Gincu Vol. 2 mengisahkan tentang Zakiah (Zak) dan Zakiah (Yaya), dua pelajar universiti yang memiliki nama yang sama tetapi personaliti mereka jauh berbeza. Akibat tercetusnya pergaduhan di khalayak ramai yang menjadi tular di media sosial, kedua-dua gadis telah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak pengurusan universiti untuk melakukan kerja-kerja amal sebagai teladan kepada pelajar-pelajar lain. Zak dan Yaya telah memilih untuk melakukan kerja amal di rumah remaja bermasalah yang dikendalikan oleh Jijie. Sangkaan mereka meleset setelah menyedari bahawa kerja amal bukanlah mudah. Mampukah mereka ketepikan sikap prejudis mereka dan membantu Jijie dan gadis-gadis remaja tersebut atau adakah kehadiran mereka hanya memburukkan keadaan? Dan apakah punca sebenar pergaduhan mereka?

Menggandingkan pemenang anugerah Festival Filem Malaysia, Diana Danielle dan Ummi Nazeera sebagai pelakon utama, Gol & Gincu Vol. 2 juga menampilkan semula dua pelakon asal filem pertama iaitu Sazzy Falak dan Sharifah Amani di samping jejaka-jejaka pujaan ramai, Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf serta wajah baru iaitu Jad Hidhir, Intan Serah, Tiara Anchant, Nik Nasuhah, Annabel Michael, Grace Ng dan Iezahdiyana Alaudin.

“Kami mengambil masa untuk membuat keputusan menerbitkan semula jenama ini tetapi saya rasa inilah masa yang tepat kerana saya benar-benar mahu menghasilkan semula filem tempatan dengan watak utama wanita yang kuat yang kurang diterbitkan sejak akhir-akhir ini. Kami juga ingin meraikan kepelbagaian dan hubungan wanita di Malaysia dengan nama-nama yang dikenali dan pelakon baharu yang berbakat di samping memperkenalkan seorang pengarah wanita,” kata Lina lagi.

Kombinasi set filem yang menyeronokkan berlatarkan adegan futsal dan elemen fesyen telah berjaya mendapat sokongan Pizza Hut, Libresse, Grab, Zalora, dan Laura Mercier yang merupakan penaja utama filem ini. Semua jenama ini akan bekerjasama dengan Gol & Gincu Vol. 2 untuk menghasilkan kempen yang menarik untuk memberi insentif kepada penonton dan mempromosikan filem itu. Dihasilkan oleh Red Films, Gol & Gincu Vol. 2 turut didukung oleh Sonneratia Capital Sdn Bhd.

“Selain itu, Astro Gempak akan menjadi hos kepada laman web rasmi Gol & Gincu Vol. 2 di mana mereka yang belum berpeluang menonton filem asal yang dihasilkan pada tahun 2005 dapat menyaksikannya dan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai barisan pelakon, kisah di sebalik tabir dan pelbagai promosi hebat Gol & Gincu Vol. 2.”

Tonton trailer rasmi Gol & Gincu Vol. 2:

GOL & GINCU VOL. 2 | TRAILER RASMI

Zakiah (Zak) dan Zakiah (Yaya) adalah dua pelajar universiti yang mempunyai nama yang sama namun personaliti mereka jauh berbeza. Akibat tercetusnya pergaduhan di khalayak ramai yang menjadi tular di media sosial, kedua-dua gadis telah dikenakan tindakan disiplin oleh pihak pengurusan universiti untuk melakukan kerja-kerja amal sebagai teladan kepada pelajar-pelajar lain.Zak dan Yaya telah memilih untuk melakukan kerja amal di rumah remaja bermasalah yang dikendalikan oleh Jijie. Sangkaan mereka meleset setelah menyedari bahawa kerja amal bukanlah mudah. Mampukah mereka ketepikan sikap prejudis mereka dan membantu Jijie dan gadis-gadis remaja tersebut atau adakah kehadiran mereka hanya memburukkan keadaan? Dan apakah punca sebenar pergaduhan mereka?

Posted by Gol & Gincu Vol. 2 on Monday, August 20, 2018

Untuk maklumat terkini mengenai Gol & Gincu Vol. 2 ikuti @GolGincu2 dan #GolGincu2 di laman Facebook, Instagram, dan Twitter atau kunjungi www.golgincu2.com.my

MENGENAI RED FILMS SDN. BHD.
Red Films adalah sebahagian daripada Red Communications iaitu sebuah syarikat penerbitan filem, program televisyen dan komersial yang telah menghasilkan program televisyen tempatan dan antarabangsa yang memenangi pelbagai anugerah sejak tahun 2000.

MENGENAI SONNERATIA CAPITAL SDN. BHD.
SONNERATIA CAPITAL adalah anak syarikat Rhizophora Ventures Sdn Bhd. Ia ditubuhkan untuk membiayai penerbitan filem tempatan oleh syarikat penerbitan Malaysia. Gol & Gincu Vol. 2 merupakan filem kedua yang dibiayai oleh Sonneratia Capital di bawah program pembiayaan ini.

FILM DETAILS
Producer: Lina Tan, Red Films Sdn. Bhd.
Writer: Rafidah Abdullah
Screenplay: Nadia Khan
Director: Umi Salwana Omar
Film Duration: 106 minutes
Classification: PG13
Release Date: 25 October 2018.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

GSC Launches Inaugural Vietnamese Film Festival

Menarik Tentang Laluan Keretapi Dunia Dalam RAILWAY STORIES