in , ,

Gmie Screen Meninggal Dunia

Peminat industri seni dikejutkan dengan khabar duka pemergian penyanyi Gmie Screen kira-kira pukul 2.30 pagi Jumaat pada usia 50 tahun. Berita itu disahkan oleh sahabatnya Hadi Screen.

Penyanyi terkenal yang juga vokalis kumpulan Screen, Gmie menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Allahyarham Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim meninggal dunia pada usia 50 tahun akibat penyakit buah pinggang berlubang.

Gmie Screen Meninggal Dunia

Menurut anak Allahyarham, Siti Hadirah, beberapa hari sebelum ini, ayahnya kurang sihat dan hilang selera makan.

 Bahkan, kata Siti Hadirah, Allahyarham juga pengsan di rumah sebelum keluarga menghubungi ambulans.

“Abah pengsan sebab kekurangan darah. Keluarga buat keputusan bawa Allahyarham ke hospital. Semasa dirawat di hospital, keadaan abah stabil dan kami sempat juga membuat panggilan video.

“Bagaimanapun, dalam pukul 1.30 pagi tadi, doktor menghubungi kami memaklumkan abah kritikal sebelum abah menghembuskan nafas terakhir,” ujar Siti Hadirah dalam kiriman mesej menerusi Instagram kepada Astro AWANI.

Gmie Screen Meninggal Dunia

Berita ini juga disampaikan oleh kumpulan rock 90-an, Lestari menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi mereka.

“Salam Jumaat. Belasungkawa, dimaklumkan sahabat kami Hajmi Bin Ibrahim aka Gmie Screen telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi jam 2:30 pagi, 10 Disember 2021, 6 Jamadilawal 1443H di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor.

“Jenazah akan dikebumikan pagi ini di Kampung Medan Sijangkang. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman,” tulis pengendali akaun terbabit.

Menerusi pencarian di laman Facebook, jiran kepada Gmie, Ya Jamilah turut menyampaikan berita sedih itu dan dia turut berkongsi tangkap layar status anak Gmie yang bernama Siti Hadirah.

Gmie Screen Meninggal Dunia

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un… Perginya di hari yang mulia… Jiran yang sangat baik, peramah, pemurah dan sangat disenangi semua. Setiap kali raya, rumahnya antara destinasi wajib kami beraya melainkan musim pandemik ini. Moga arwah ditempatkan di syurga bersama para solihin. Amin Ya Rabb,” tulisnya.

Gmie menempa nama sebagai antara penyanyi terbaik negara menerusi kumpulan Screen yang masyhur dengan lagu Bila Cinta Didusta.

Allahyarham pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga terbitan Astro pada 2016.

Sementara itu, pengurus peribadi Allahyarham Gmie, Fuad Syahrin Misbah berkata, sudah hampir dua tahun Gmie diuji dengan penyakit buah pinggang berlubang.

Sepanjang tempoh itu juga, Allahyarham, kata Fuad, lebih senang tidak menghebahkan keadaan kesihatannya kepada umum.

“Beliau tidak mahu kawan-kawan dan peminatnya terlalu memikirkan penderitaan yang dilalui. Selagi boleh melaluinya, Allahyarham tidak mahu susahkan sesiapa.

“Saya sendiri hanya mengetahui mengenai sakitnya selepas setahun beliau disahkan oleh doktor berhadapan masalah itu,” kata Fuad dalam nada sebak kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Pada April lalu, Harian Metro melaporkan Gmie menghidap penyakit buah pinggang bocor semenjak penghujung tahun 2020.

Antara lagu dendangan vokalis kumpulan Screen yang popular dan meniti bibir peminat ialah Bila Cinta Didusta, Tak Suka Tak Apa, Kau Kesayanganku, Bila Kau Kata Sayang dan banyak lagi.

Sumber: Awani

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ayie Elham & Ara Johari Bergabung Dalam Telemovie Komedi CINTA HATI AYAM

2021 Mnet ASIAN MUSIC AWARDS (2021 MAMA) tonton Siarkan Live Streaming Selama 7 Jam