in ,

Formula Exists Nyanyi Penuh, Papar Lirik Menjadi

Taktik menyanyi lagu penuh bukan medley, selain paparan lirik pada skrin bagi setiap karya didendangkan, menjadikan Konsert Exists Reunion 2019 di Stadium Malawati di sini, malam tadi, ‘gempak’.

Konsert itu bukan sahaja menyaksikan penyatuan semula anggota kumpulan itu selepas lebih dua dekad membawa haluan sendiri, malah, lebih 4,000 peminat, ‘hanyut’ dalam buaian emosi apabila Mamat dan Ezad Lazim beraksi.

Dalam konsert hampir tiga jam itu, Exists menyampaikan 24 lagu yang menterjemahkan perjalanan hidup band popular itu sepanjang 28 tahun bergelar anak seni.

Ajai yang menjadi antara pelopor Exists berkata, mereka menolak segmen medley kerana mahu memberi kepuasan maksimum kepada penonton.

“Kami ada banyak lagu popular… Sayang jika disampaikan secara medley. Ini kerana kami mahu peminat terhibur dan menyanyi beramai-ramai.

“Sebab itulah kami menyediakan dua skrin yang memaparkan lirik untuk memudahkan peminat menyanyi bersama seperti di pusat hiburan karaoke,” katanya kepada BH Online.

Sepanjang konsert berlangsung, penonton disajikan dengan tayangan video temubual bersama ahli kumpulan Exists. Ini termasuk individu penting yang bertanggungjawab membawa mereka ke persada seni seperti Johan Aziz.

Sebagai bonus, Exists menghadiahkan single baharu berjudul Tak Berakhir yang dihasilkan sempena konsert reunion itu yang dibawakan Shiraz Projects Sdn Bhd.

Minggu depan, band yang popular dengan lagu Rahsia Pohon Cemara ini akan menemui peminat di Singapura.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Ringkas Konsert EXISTS REUNION di Stadium Malawati

Fieya Julia & Kucaimars Tersingkir di Semi Final Big Stage 2019