in ,

Fizo Omar Lancar Buku Kisah Peribadi

Tanggal 4 Oktober 2015, menjadi satu lagi sejarah buat pelakon dan usahawan berjaya, Fizo Omar atau nama sebenarnya,  Wan Hafizol Wan Omar, 30 apabila melancarkan buku yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul.

Buku setebal 272 mukasurat hasil tulisan Abie Abdullah ini dilancarkan secara rasminya oleh mentor Fizo sendiri, Dr Azizan Osman sempena program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) sesi Oktober 2015 di tingkat 7, IDCC, Shah Alam.

Fizo Omar

FIZO OMAR KELUAR DARIPADA ZON SELESA

Buku yang diterbitkan sepenuhnya oleh Azizan Osman Publications Sdn Bhd (AOP) ini menceritakan permulaan hidup anak jati kelahiran Kelantan ini dalam mengharungi kehidupan sebelum bergelar sebagai usahawan berjaya hari ini.

“Buku ini terlalu peribadi kepada saya. Buku ini bukan biografi penuh tetapi naskhah ini menghimpunkan segala pahit maung saya dalam mencari sebuah pengertian kehidupan sebenar. Saya pernah hampir tewas dengan dugaan hidup termasuk kes penipuan RM8 juta, sehingga saya tertanya pada diri sendiri kenapa semua ini terjadi dan mengapa saya yang kena. Bagaimanapun apabila saya belajar tentang sebab-sebab kenapa saya dipilih oleh Allah untuk berdepan dengan semua dugaan demi dugaan, lantas saya sebaliknya bersyukur dengan ujian itu.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada mentor saya, Dr Azizan Osman yang mengembalikan warna di dalam kehidupan saya. Alhamdulillah, Tuhan mengurniakan hikmah yang tersembunyi sebelum ini,” kata Fizo yang ditemui ketika program IMKK, Jumaat lalu.

Pelakon filem Isyarat Cinta ini melahirkan rasa terharunya terhadap kelahiran buku Fizo Omar, lebih-lebih lagi diterbitkan oleh mentornya sendiri yang disifatkan sangat beruntung.

Buat permulaan, buku Fizo Omar hanya dijual di program-program anjuran Richworks International Sdn Bhd, iaitu salah satu daripada 27 syarikat Kumpulan Syarikat Rickworks pada harga RM33 senaskhah.

Sebanyak 1,000 naskhah dijual dalam tempoh dua hari pertama hanya di program IMKK di IDCC yang dihadiri lebih 3,200 peserta.

Menurut Dr Azizan Osman, buku Fizo Omar ini menyaksikan perubahan hidup selebriti itu secara dramatik.

“Fizo Omar sangat berbeza daripada kelompok artis yang pernah saya lihat dan baca. Bukan kerana dia telah menghadiri seminar-seminar saya hingga menjadi antara pelajar contoh saya tetapi kerana dia berani dan pantas untuk bertindak. Tindakan yang saya maksudkan di sini adalah keluar daripada zon selesa. Fizo walaupun namanya sudah memuncak di dalam industri hiburan tetapi masih mencari ruang yang dikatakan benar-benar ‘selesa’ untuk dirinya.

“Daripada ilmu yang saya kongsikan di dalam seminar, dia seperti kebanyakan peserta lain juga (yang bukan selebriti) dapat mengenali potensi dirinya untuk dimajukan hingga maksimum mungkin. Saya tahu anda semua juga mempunyai impian dan berpotensi mengecapinya. Semoga buku ini membuat anda terinspirasi untuk anda mengejar impian yang telah lama terpendam di dalam diri sejak sekian lama,” kata Dr Azizan.

Semoga Fizo Omar terus sukses!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Demi Lovato Lancar Album Ke-5 Berjudul CONFIDENT

Kesunyian Tiga Warga Emas Dalam Filem GOING IN STYLE