in

FIRZ FAIRUZ, ZED ZAIDI, SHUKERY HASHIM DALAM DRAMA ADAM

SLOT ISTIMEWA HUJUNG MINGGU : A.D.A.M SIRI 3, SETIAP SABTU, JAM 9.00 MALAM DI RTM2

A.D.A.M yang memasuki siri ke tiga siarannya mengajak penonton terutama peminat drama santai berkongsi cerita kaum adam yang pelbagai namun disatukan menerusi drama bersiri 13 episod terbitan Global Station Sdn Bhd ini.

Pastinya A.D.A.M siri tiga yang menjengah siarannya setiap Sabtu, jam 9.00 malam mengisi slot Istimewa Hujung Minggu di RTM2 ini mampu mencetuskan kepuasan kepada penonton yang inginkan drama menghiburkan pada malam hujung minggu mereka.

Kisah A.D.A.M diteruskan dengan watak Fadil yang juga sepupu kepada Madi dan Azli datang ke Kuala Lumpur. Kehadiran Fadil begitu disenangi Madi yang terhutang budi dengan pak utihnya, ayah kepada Fadil. Dia berjanji mahu membantu Fadil sepanjang berada di ibukota. Tetapi sebaliknya bagi Azli yang sejak awal lagi beranggapan buruk terhadap niat Fadil mahu tinggal bersama mereka.

Sementara itu Rina pula mendapati Akmal memiliki teman rapat dari kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur bernama Shikin.

Fadil yang menyedari kesilapannya mula menyimpang daripada niat sebenarnya berhijrah ke ibukota memohon maaf. Darwis pula mula menegur Hazlin yang mengambil masa lama untuk menghias diri hingga menyebabkannya selalu terlambat dalam temujanji mereka. Pada masa sama Darwis mengingatkan Fadil tentang pentingnya ilmu dan kelulusan untuk memohon sebarang pekerjaan di Kuala Lumpur.

Azli pula rasa malu apabila Yani seringkali merendah-rendahkannya. Fadil memutuskan untuk melanjutkan pengajiannya. Azli dapat merasakan hubungannya dengan Yani bakal menimbulkan masalah apatahlagi apabila temannya, Arif menggunakan peluang hubungan anak majikannya itu dengan Azli untuk selalu ponteng kerja.

Sementara itu, Akmal membawa Shikin bekerja di pusat futsal tempatnya bekerja. Secara tidak sengaja Madi pula terkejut melihat kelibat teman wanitanya, Maznah keluar dengan lelaki lain di pusat membeli-belah.

Yadi,teman baik Azli memintanya menjaga anak saudaranya berusia 6 tahun dipanggil Imad. Pada mulanya Madi kurang menyenangi kehadiran Imad namun lama-kelamaan dia mula menjalin hubungan yang rapat dengan kanak-kanak itu.

Ketika di pusat futsal, Fadil berkenalan dengan Rina. Shikin pula akhirnya menyedari Rina tidak sukakannya. Manakala lelaki yang menyukai Maznah dikenali sebagai Zairul berdepan sendiri dengan Madi untuk berterus-terang tentang perasaannya terhadap gadis itu.

Madi pula mengajak Yani keluar minum bersama dan kemudiannya hubungan mereka bertambah rapat. Maznah pula menemui Yani menyatakan masalahnya kerana tidak dapat menghubungi Madi.

Pejabat Azli kecoh dengan desus-desas mengatakan ada antara pekerja-pekerja yang akan dibuang kerja. Teman-teman terdekat mereka dengan penuh keyakinan beranggapan kedudukan Azli di situ tidak akan tergugat kerana hubungannya dengan Yani namun sebaliknya berlaku apabila nama Azli turut tersenarai antara pekerja yang dibuang kerja.

Jika Fadil berdepan dengan situasi buntu mahu memikirkan tokoh yang mahu dipilih untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan pensyarahnya, Rina pula berada dalam keadaan dilema. Dia mula mengeluh dan menyalahkan keluarganya kerana menghalang dia mengikuti pengajian dalam bidang fesyen dan memililih perakaunan. Sedangkan minat dan kecenderungannya lebih tertumpu kepada fesyen. Mujur kewujudan Hazlin dapat memujuknya supaya berfikiran rasional penyebab keluarganya mahu Rina menyambung pengajian dalam bidang akaun.

Perniagaan Azli semakin menampakkan hasilnya. Dia kemudiannya memutuskan untuk berpindah daripada rumah sewa yang dikongsinya bersama Madi dan Fadil. Darwis pula serba salah mahu memberi amaran kepada Shikin yang asyik ponteng kerja. Lalu dia menggunakan khidmat Akmal sebagai ’orang tengah’ untuk menasihati Shikin. Namun malangnya, Shikin tetap tidak berubah.

Bagaimanakah kesudahan beberapa orang watak mewakili kaum adam di luar sana dalam menentukan kehidupan mereka? Adakah Yani dan Madi sanggup berdepan dengan Azli untuk menyatakan antara mereka wujud perasaan cinta sedangkan Azli masih menyayangi Yani?

A.D.A.M menyaksikan lakonan pelakon Firz Fairuz, Zed Zaidi, Shukery Hashim dan adik Fimi menghayati watak masing-masing yang sememangnya berkesan ini.

Jangan ketinggalan meluangkan masa di hujung minggu anda dengan menonton A.D.A.M, setiap Sabtu, jam 9.00 malam di RTM2 yang diharap mampu mencetuskan kepuasan di kalangan penonton segenap lapisan umur ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

PESTA JORAN TAHUN MELAWAT KEDAH 2008

Ako Mustafa, Safura, Sidek Hussin, Siti Fazurina Dalam Drama Kanak-Kanak