in

Fimie Don Nisha Dirr Drama Cucu Seorang Primadona

PENGAJARAN DALAM DRAMA CUCU SEORANG PRIMADONA DI RTM

Pernah bergelar seorang primadona yang disanjungi dan memiliki ramai peminat membuatkan Ku Zaidah Ku Sulaiman seorang artis yang amat terkenal pada era lewat 70an dan 80an tidak mahu dirinya terus dilupakan. Meskipun dia sudah tidak lagi melibatkan diri dalam industri seni, dia menggunakan cucunya, Danial untuk membina kerjaya sebagai seorang pelakon sekaligus membuka ruang dirinya menyinar dan diingati kembali.

Apatahlagi Danial tiada pilihan lain kerana setelah kematian ibu dan ayahnya, hanya kepada Ku Zaidah tempat dia berlindung dan menumpang manja. Pada masa sama Danial tidak sepenuh hati menjadi artis kerana dia hilang ’hak’ seperti kanak-kanak seusianya untuk pergi bermain dan menumpukan perhatian terhadap pembelajaran di sekolah.

Dijayakan wataknya oleh dramatis terkenal Wan Maimunah, telemovie yang turut dilakonkan watak utamanya oleh Fimie Don dan Nisha Dirr bertajuk Cucu Seorang Primadona lakonan disiarkan mengisi slot Pentas Putra pada 20 Mac 2011, jam 3.05 petang di TV1.

Kisahnya bermula dengan memperkenalkan watak Ku Zaidah, pelakon yang telah menjayakan banyak watak dalam filem-filem tempatan. Dan dalam hampir setiap majlis anugerah filem telah mengangkatnya sebagai pelakon wanita terbaik. Ketika itu Ku Zaidah menjadi seorang primadona yang amat di minati, digilai dan disanjung tinggi.

Akhirnya Ku Zaidah mengakhiri zaman bujangnya dengan mengahwini seorang lelaki biasa bernama Kamal. Mereka dianugerahkan seorang cahayamata bernama Iskandar. Dan lama kelamaan Ku Zaidah semakin menyepikan diri dari dunia glamour. Tahun berganti tahun akhirnya bintang Ku Zaidah semakin malap dan akhirnya terus dilupakan begitu sahaja.

Kini Iskandar telah berkahwin dengan Julia. Namun perkahwinan mereka tidak direstui oleh Ku Zaidah . Ini kerana Ku Zaidah lebih senang jika Iskandar mengahwini pelakon jelita bernama Naima. Dia mengharapkan perkahwinan antara anaknya dan pelakon yang sedang melonjak naik namanya itu dapat menaikkan kembali nama Ku Zaidah di dalam dunia seni.

Namun Iskandar enggan dan tetap mahu mengahwini Julia. Kerana sayangkan anaknya, Ku Zaidah menyimpan perasaannya dan terpaksa mengizinkan Iskandar berkahwin dengan Julia tanpa rela hati. Kelahiran Danial, anak kepada Iskandar dan Julia juga masih tidak dapat memadam perasaan Ku Zaidah pada Julia.

Malang tidak berbau apabila satu kemalangan telah meragut nyawa Kamal, Iskandar dan Julia. Ini membuatkan Ku Zaidah seperti orang hilang arah dan kini Ku Zaidah terpaksa hidup bersama cucunya Danial.

Masa pantas berlalu, kehidupan Ku Zaidah dan Danial semakin meruncing kerana Ku Zaidah tiada sumber pendapatan. Namun tawaran berlakon yang ditawarkan kepada Danial oleh teman lama Ku Zaidah telah mengubah segala galanya. Danial kini telah menjadi satu fenomena baru dalam industri perfileman. Dengan bakat yang diperolehinya, Danial menjadi nama yang disebut sebut, dicari oleh setiap syarikat produksi di tanah air. Sehingga dia memenangi banyak anugerah.

Nama Ku Zaidah kembali menyinari dunia seni dengan menumpang populariti cucunya itu. Setiap tawaran yang diterima oleh Danial diterimanya bulat bulat oleh Ku Zaidah tanpa meminta pendapat ataupun persetujuan dari Danial. Tanpa diketahui Ku Zaidah, Danial tidak berminat untuk berlakon. Namun untuk menjaga hati neneknya, dia teruskan juga.

Jadual harian Danial sangat sarat dengan aktiviti lakonan. Ini membuatkan Danial tertinggal dalam pelajarannya. Danial juga tidak mengalami kehidupan kanak-kanak yang lain. Masanya diluangkan dengan menghafal dialog dan mengenal watak yang bakal dilakonkannya. Dia sedih apabila melihat kanak-kanak bermain dan meluangkan masa bersama keluarga mereka. Namun itu semua dipendam sahaja oleh Danial.

Zaleha dan Ahmad ibu kepada Julia dan nenek dan datuk kepada Danial sering menerima sms dari Danial tanpa pengetahuan Ku Zaidah. Oleh kerana kasihan kepada cucu mereka , Zaleha dan Ahmad bertekad mahu membawa Danial pulang ke kampung. Cadangan itu dibantah keras oleh Ku Zaidah. Ini membuatkan Danial semakin murung. Dan prestasinya dalam bidang lakonan semakin merosot.

Satu syarikat production yang besar kini menawarkan satu watak penting kepada Danial. Dan seperti biasa Ku Zaidah menandatangi kontrak bagi pihak Danial tanpa meminta persetujuan dari Danial. Dan dalam kontrak itu menyatakan Danial terpaksa melakonkan babak aksi bahaya tanpa menggunakan khidmat aksi pelagak. Danial enggan berlakon dalam filem itu. Ini membuatkan Ku Zaidah berang. Ku Zaidah tetap berkeras menyuruh Danial berlakon dalam filem itu. Akhirnya Danial hanya mampu menurut. Apakah yang berlaku seterusnya?

 

 

 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Lancar Google Nexus S Keluaran Samsung

Gambar Faralyna di Malam Gala ABP Rafflesia