in ,

Tentang Filem MOMOK JANGAN PANGGIL AKU

Filem Momok Jangan Panggil Aku bakal tampil di layar perak sarat elemen seram menerusi tiga kisah utama- hantu raya, polong dan saka ditambah penghasilan watak-watak baru. Begitupun, plot Momok – Jangan Panggil Aku masih terlihat sama dengan Momok The Movie.

Antara pelakon membintangi filem itu ialah Arif S. Shamsudin, M. Jamil, Cassandra Patrick, Zarina Zainuddin, Raffi Khan, Ruminah Sidek, Liyana Farah Suradi, Syed Abdullah @ Uncle Seekers, Anna Halim, Shah Raja Lawak, Nezreen Jefrizal. Myza, Mizy Razuan, Aida Ali, Yang Kassim, Syed Ahmad Zukhairi dan Shahila.

Momok – Jangan Panggil Aku telah memulakan penggambaran di Selangor dan Pahang merangkumi daerah Bentong, Lanchang, Chenor, Temerloh, Kuantan dan Pekan.

Untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan perjalanan filem dijangka bertandang di pawagam pada 2011, peminat boleh mengunjungi laman web www.momokthemovie.blogspot.com dan www.galaksiseni.com. via Kosmo

poster momok jangan panggil aku

Momok Jangan Panggil Aku
Pengarah : M.Jamil
Syarikat Penerbit : Galaksi Seni Sdn. Bhd.
Bahasa : Bahasa Melayu
kategori : Filem Cereka
Genre : Seram
Tarikh Tayangan : 05 Mei 2011
Durasi : 98 min
Audio : Stereo

Pengarah: M.Jamil
Penulis & Cerita Asal: M.Jamil

Lakonan:
M.Jamil : Ramlee (Pelakon Utama)
Ariff S. Shamsuddin : Sudin (Pelakon Utama)
Cassandra Patrick : Qaseh (Pelakon Utama)
Mariani : Chu Lamah/Saka (Artis Jemputan)
Zarina Zainuddin : Nik (Pelakon Pembantu)
Yassin Salleh : Deris (Artis Jemputan)
Amin Khan : Busu (Artis Jemputan)
Ery Zukhairi : Khalif (Pelakon Pembantu)

Krew:
M.Jamil : (Penyunting)
Penerbit: M. Fadzil Idris
M. Zol Kartini Abdullah

Sinopsis Filem MOMOK JANGAN PANGGIL AKU :

Ramlee menerima panggilan dari rakan lama sekolejnya, Aziz, untuk menjemput beliau ke majlis kendurinya di Kampung Pulau Rusa, Pekan Pahang. Ramlee bersama rakannya, Qaseh, seorang novelis cerita-cerita seram dan Sudin menerima jemputan Aziz dan bertolak dari Bandaraya ke Pahang dengan menaiki sebuah kenderaan.

Sepanjang perjalanan ke Pahang untuk menghadiri majlis kenduri Aziz, Qaseh memulakan cerita-cerita seram yang dialaminya termasuk dari kisah seram yang dari novel seram yang bakal diterbitkan nanti. Bermula dengan cerita Hantu Raya, Polong dan Saka cerita-cerita seram ini telah diselang-selikan dengan insiden seram yang benar-benar berlaku.

Kebosanan dalam perjalanan bertukar menjadi satu perjalanan yang menimbulkan rasa seram. Mereka terserempak dengan realiti cerita seram di lebuhraya apabila berselisih dengan kereta yang tidak berpemandu.

Mereka juga telah melanggar imej misteri yang membuat mereka terpaksa membuat laporan di Balai Polis. Mereka bertambah bingung apabila pihak polis memberitahu terdapat 5 aduan yang sama tetapi tidak menemui tubuh yang dilanggar. Di tengah perjalanan mereka turut menumpangkan seorang gadis yang bernama Ita dan seorang lelaki misteri yang hanya dipanggil Abang Long.

Tujuan mereka bertiga menumpangkan Ita dan Abang Long adalah bertujuan untuk menemankan mereka yang ketakutan dalam perjalanan memandu. Namun kehadiran Abang Long dan Ita telah menambahkan curiga kepada mereka bertiga. Mereka telah menurunkan Ita di sebuah rumah yang berhampiran dengan kawasan perkuburan manakala Abang Long akhirnya menemankan rakan bertiga ini untuk menuju ke destinasi mereka di Pahang. Setelah didesak oleh Qaseh, Pak Long turut menceritakan cerita seram kepada Qaseh sebagai bahan novelnya.

Dalam perjalanan, Ramlee sekali lagi menerima panggilan dari Aziz dan menyuruh beliau segera untuk sampai ke kampungnya. Mereka bertiga sedikit kehairanan dengan sikap Aziz yang menyuruh mereka segera sampai walaupun majlis diadakan lewat pagi. Insiden menyeramkan muncul ketika mereka berhenti rehat di sebuah gerai di tepi lebuhraya yang mereka lalui.

Mereka sampai ke kampung Pulau Rusa Pahang menjelang subuh dan tercari-cari simpang ke rumah Aziz ketika itu mereka telah diganggu `hantu’ yang mengakibatkan Ramlee dan Sudin pengsan.

Hanya Qaseh yang agak berani dan cuba merakamkan imej ‘hantu’ dengan lensa kameranya. Abang Long juga telah ghaib entah ke mana. Menjelang pagi mereka terus mencari simpang ke rumah Aziz. Mereka berjumpa Aziz di simpang jalan dan Aziz telah menunjukkan arah ke rumahnya. Namun apabila mereka sampai ke rumah Aziz satu misteri telah terungkap…Misteri yang mengakhiri destinasi Ramlee, Sudin dan Qaseh. Siapakah Ita, Abang Long dan Aziz yang sebenarnya.

Saksikanlah cerita seram selanjutnya dengan menonton MOMOK Jangan Panggil Aku.

Layari: http://momokthemovie.blogspot.com

BIARPUN filem sulung hasil garapannya, Momok The Movie mencatat kutipan kasar sebanyak RM2.5 juta pada tahun lalu, pemilik rumah produksi, Galaksi Seni Sdn. Bhd., Mohamad Jamil Datuk Zulkifli atau M. Jamil bagaimanapun berdepan sedikit kesulitan untuk membikin filem seterusnya, Momok – Jangan Panggil Aku.

Ia berpunca apabila sutradara tersebut dikatakan belum menjelaskan Dana Pembangunan Seni Filem yang dipinjam daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Natijahnya, anak pelakon veteran, Datuk Sarimah Ahmad itu tersenarai sebagai individu tidak layak menerima dana perfileman gara-gara hutang terdahulu belum dilangsaikan.

Berasa seperti diri tidak dihakimi secara adil, pengarah berusia 46 tahun itu menolak dakwaan syarikatnya masih berhutang dengan Finas. Bukan bercakap kosong tanpa mengemukakan bukti, M. Jamil memberitahu dia masih menyimpan resit pembayaran.

Malah Jamil menegaskan, agak tidak masuk akal apabila dia tidak mendapat keistimewaan daripada organisasi terkenal di kalangan karyawan seni tanah air ditambah pengedar dilantik, MIG Production Sdn. Bhd. kepunyaan David Teo juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Finas.

“Seingat saya, setiap kali MIG terima bayaran daripada pemilik panggung, mereka terus menjelaskan hutang tertangguh. Setakat ini, kami telah bayar hampir 70 peratus hutang kepada Finas. Tetapi, saya terkejut apabila diberitahu permohonan hendak dapatkan dana buat Momok – Jangan Panggil Aku tidak diluluskan. Terus-terang, saya masih berhutang dengan Finas. Cuma, jumlahnya tidak banyak. Baki tertunggak dianggar sekitar RM200,000 hingga RM300,000 awal-awal lagi telah saya beritahu kepada Finas bahawa mereka akan terima bayaran menerusi rebat cukai dan daripada sebuah stesen televisyen. Saya difahamkan, syarikat menerima dana Finas diberi jangka masa selama tiga tahun untuk bayar semula pinjaman. Sedangkan, Momok The Movie baru ditayang tahun lalu, sudah buat bayaran seawal mungkin kepada mereka. Ini bermakna hutang Galaksi Seni tidak sampai tempoh disyaratkan,” katanya ketika ditemui usai majlis sidang media pelancaran Momok – Jangan Panggil Aku di Kompleks Studio Merdeka, Finas, Hulu Klang baru-baru ini.

Lama beradu nasib di gelanggang seni ditambah memegang status anak kepada primadona filem tersohor suatu masa dahulu, mana mungkin tutur M. Jamil, mahu menipu Finas sekali gus memalukan reputasi baik ibunya.

“Tolong jangan beri pelbagai alasan kurang munasabah. Saya bukan orang baru dalam bidang lakonan, pengarahan dan penerbitan. Justeru, saya berani cabar Finas untuk memfailkan saman atau menghantar surat amaran kepada saya jika Galaksi Seni benar-benar masih berhutang dengan mereka.

“Cuma, yang jadi tanda tanya, apa pula alasan Finas sampai berani hulur bantuan kepada entah mana-mana syarikat produksi sehingga ada antara filem dibikin tidak siap sehingga saat ini,” akui M. Jamil dalam nada kesal.

Guna Facebook

Selepas Momok The Movie berhasil menghimpun kutipan membanggakan pada tahun 2009, Galaksi Seni dilihat enggan membuat sekuel. Rumah penerbitan itu sebaliknya ingin hadir dengan naskhah baru – konsep dan jalan cerita jauh berbeza daripada karya pernah direalisasi sebelum ini.

Tanpa mementingkan diri, Galaksi Seni juga meminta pandangan dan komen daripada peminat terlebih dahulu sama ada ingin membikin sekuel atau filem baru. Komunikasi dua hala itu berlaku menerusi laman sosial popular, Facebook (Momok – Jangan Panggil Aku) dibangunkan sejak beberapa bulan lalu.

“Dengan kecanggihan teknologi moden, saya dapati Facebook atau Twitter memainkan banyak peranan selain bertindak sebagai jaringan komuniti. Kerana itu, Galaksi Seni membuka akaun sendiri bagi berinteraksi bersama pengguna secara menyeluruh. Cukup mengejutkan, kami menerima banyak maklum balas daripada orang ramai.

“Berdasar pemerhatian, kami dapati 60 peratus peminat tidak mahu Momok The Movie dijadikan sebagai sekuel. Mereka mengingini sebuah filem berbeza daripada pernah ditonton sebelum ini. Malah, khalayak enggan lihat ada humor dalam filem seterusnya ini. Kalau boleh, ia perlu digarap dengan lebih serius dan cukup menyeramkan.

“Selepas buat pertimbangan, kami nekad ikut kemahuan masyarakat sekali gus bersedia dihentam oleh sesiapa saja termasuk pemerhati filem. Saya percaya, orang ramai yang beri respons di laman-laman maya menjadi individu punya kebarangkalian tinggi tonton filem saya,” jelas M.Jamil terus bertahan dengan formula mengambil para pelakon baru dalam naskhah garapannya.

– via Kosmo

Momok

Momok

Momok

Momok

Momok

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Lady In The Lake

Zul Huzaimy & Amanda Misbun dalam Drama Surat Terakhir