in , ,

Filem Lagenda Budak Setan Bakal Cetuskan Fenomena

Pada 24 Mei lalu, Budiey berpeluang menonton filem yang diadaptasikan dari novel paling laris tulisan Ahadiat Akashah berjudul LAGENDA BUDAK SETAN yang diadadakan di GSC Mid Valley.

Dihoskan oleh Dollah Cantik, prebiu filem ini juga dihadiri oleh pembaca setia novel Ahadiat Akashah dan beberapa pemenang yang dianjurkan dari Facebook Fanpage filem ini.

Pengarah Sharad Sharan juga dijemput untuk menyampaikan ucapan.

Lagenda Budak Setan ini bakal menjengah pawagam ke seluruh Negara mulai 3hb Jun 2010. Bagi Budiey filem ini sangat menyentuh perasaan. Budiey suka sekali dengan sinematografi yang sangat cantik. Juga beberapa watak dalam filem ini sangat meninggalkan kesan.

Ramai juga pelakon utama yang hadir.

Namun, sememangnya nanti akan ada mulut yang mempersoalkan tentang kelemahan filem ini. Ya, sebenarnya, bukan senang untuk mengadaptasikan 100% novel kepada skrip filem. Sangat susah. Malah, beberapa novel yang diadapatasikan dalam bentuk filem menjadi hancur kerana tiada kaji selidik dan juga ketelitian dalam menghasilkan skrip.

Novel tersebut baru saja meraikan sambutan jubli peraknya di pasaran dan masih laris hingga kini. Justeru itu, populariti dan sambutan hangat terhadapnya telah menarik minat pihak penerbit untuk menyorot dan mempertimbangkan aspek kreatif naskah tersebut, bagi dipindahkan ke medium filem. Inilah titik permulaannya.

Diarahkan oleh Sharad Sharan, filem ini merupakan kolaborasi keempat antara Astro Shaw Sdn Bhd dan Tarantella Pictures, selepas filem DIVA, TIPU KANAN TIPU KIRI dan CRAZY, KRAZY, KREZY. Berbanding ketiga- tiga filem tersebut, Lagenda Budak Setan merupakan usaha murni Sharad untuk mempersembahkan seratus peratus kandungan tempatan.

Pasangan popular Farid Kamil dan Lisa Surihani telah dipilih untuk digandingkan bersama, menerajui filem ini. Mereka ini sedang hangat di pasaran dan sering menjadi pilihan pihak penerbit tempatan. Persefahaman baik mereka berdua di dalam dan di luar skrin, telah memberi impak ke atas persembahan mereka dalam filem ini dan seterusnya ke atas industri tanah air melalui jumlah peminat yang melihat meraka sebagai ikon.

Penglibatan mereka berdua telah membuahkan hasil melalui anugerah yang diraih, sebagai pencapaian mereka. Farid telah meraih “Anugerah Seni Negara – Bakat Muda 2009”, sementara Lisa Surihani telah dianugerahkan “Pelakon Harapan Wanita Terbaik” dalam Festival Filem Malaysia ke 21.

Ahadiat Akashah – penulis novel yang mencetuskan pembaharuan satu ketika dulu.

Soalnya, adakah filem ini berjaya? Dan Budiey ada dengar kata semangat yang penuh optiimistik dari Ahadiat yang mensasarkan kutipan 8 angka (10 juta) untuk filem ini. Adakah filem ini bakal mencetuskan fenomena? Jawapannya sangat misteri dan sampai sekarang Budiey masih samar-samar kerana jawapannya akan ditemui juga nanti. Sama-sama kita tunggu.

Mereka berdua dibantu oleh Que Haidar, Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dalam FFM 19 serta Nur Fazura, yang telah dianugerahkan Pelakon Harapan Wanita Terbaik 2004. Que juga telah meraih anugerah Pelakon Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk tahun 2008 dan 2009.

Pelakon pembantu lain termasuklah Raja Farah, Sheila Mambo, Nubhan AF 6, Syed Nabil dan Zoey Rahman. Secara keseluruhannya, ia merupakan adunan bakat baru dan diperkuatkan dengan pelakon hebat. Suatu kombinasi baik yang dipertaruhkan pihak penerbit dalam meningkatkan nilai komersilnya.

Para pelakon telah diletakkan dibawah seliaan bekas pelakon terbaik tanah air suatu ketika dulu, Ogy Ahmad Daud. Beliau cukup dikenali dengan kelantangan dan kesungguhannya. Barisan pelakon LBS mulanya kecut perut bila mengetahui yang mereka akan diletakkan dalam kelas lakonan yang akan dikendalikan oleh Ogy. Namun, mereka bersyukur kerana latihan dan segala tunjuk ajar yang diberikan telah dapat membantu mereka menghayati watak dengan lebih mendalam, seterusnya meningkatkan lagi mutu lakonan mereka dalam filem ini. “Saya inginkan mutu lakonan dan persembahan yang bagus, itulah sebabnya saya meletakkan mereka untuk digerudi dan digali oleh Ogy”, jelas Sharad.

Filem LBS ini tidak lagi menitik beratkan kolaborasi asing berbanding filem terdahulu, samada barisan pelakon mahupun tenaga kerjanya. Selain, pengarah sinematografi, Mike Muschamp, kesemua yang terlibat dalam menjayakan filem ini adalah warga tempatan, tegas Sharad. “Saya inginkan para penonton datang, tonton dan berkongsi perasaan dengan saya”, tambah Sharad. Filem ini jelas seratus peratus memaparkan kandungan dan bahan tempatan, agar ianya dekat dengan hati masyarakat, kata Sharad.

Sebagai pengarah, Sharad telah meraih pelbagai anugerah bagi drama TV bersirinya di Indonesia seperti Janjiku, Bidadari dan Istri Pilihan. Istri Pilihan pernah disiarkan di Rangkaian Aruna (Astro) pada tahun 2007.

“Filem ini mempunyai lebih elemen dramatik dan tinggi nilai romantisnya seperti filem Love Story yang popular di barat, lama dahulu”, jelas Sharad. “Setiap babak ke babaknya meningkatkan emosi dan mampu mengalirkan air mata, ditambah dengan persembahan mantap barisan pelakon, penonton pasti tidak mahu meninggalkan kerusi untuk walau ke tandas sekalipun. “Filem ini akan memberi dimensi baru dan bakal memberi nilai hiburan yang berbeza dengan nilai kepuasan yang tinggi. Itu jaminan saya”, kata Sharad.

“Pertama kali dalam dekad ini, kami persembahkan kisah cinta yang penuh trajis, sebagai alternatif dari sekian banyak lambakan filem komedi romantik serta filem horor dan seram yang memenuhi pasaran tempatan. “Saya mahu memupuk nilai kasih sayang di dalam masyarakat dan mahu mereka melihat dan menghargai orang yang terdekat sebelum mereka ini pergi meninggalkan kita”, kata Sharad.

“Saya pasti, anda pertama kali akan melihat gerak kerja kamera yang bakal membuatkan pemikiran dan kesedaran anda berkocak. Saya punyai sebab dan maksud tersendiri dan ianya memang sengaja dirancang dan diadun sebegitu, demi untuk menggangu dan mengerakkan pemikiran anda”, tambah Sharad. “Saya inginkan visual yang kuat dan mantap dengan gerak kamera yang tepat, maka itulah sebabnya saya memilih sinematografer yang bagus dan berpengalaman luas, Mike Muschamp”. Orang akan bertanya akan mengapa saya memilih Pengarah Sinematografi asing selain karyawan tempatan. Anda akan tahu jawapannya dan mengerti sepenuhnya, selepas tamat menontonnya.

“Lagenda Budak Setan bakal diperbandingkan dengan filem- filem Hollywood yang bermutu kerana saya percaya dan yakin bahawa tenaga kerja teknikal termasuk audio yang saya himpunkan, telah berjaya menghasilkan mutu pembikinan yang baik”, jelas Sharad. “Saya sungguh takjub dengan mutu, kebolehan dan bakat tenaga kerja tempatan. Saya merasakan yang mereka ini wajar diberikan pendedahan terhadap proses pembikinan filem di barat demi untuk mempertingkatkan ilmu. Melalui kehadiran Mike Muschamp, para krew beroleh banyak ilmu dan pengalaman dan pendedahan dari Mike, akan bagaimana etika orang barat bekerja”, tambah Sharad.

Keseluruhan proses penggambaran mengambil masa selama 33 hari, termasuk cuti rehat. Lokasi pilihan, sekitar Lembah Klang dan pulau Langkawi yang indah menawan. “Setiap karyawan dan tenaga kerja bekerja keras di set dan saya bersyukur mendapat warga kerja yang berbakat besar dan hebat, baik didepan mahupun dibelakang kamera, dalam menjayakan produksi saya. Kesemua mereka ini cuba membuktikan sesuatu demi pencapaian individu, inilah faktor yang benar- benar menyentuh hati saya dalam proses pembikinan ini. Keringat usaha mereka ini melonjakkan saya untuk berkarya, jelas Sharad lagi.

Kami menggunakan muzik dan lagu yang bermutu untuk menyokong dan menambahkan impak kepada visual sinematografi yang mantap. Lagu tema filem ini pasti akan membuatkan perasaan penonton dibuai dan menyentap perasaan. Lagu dan muzik latar filem ini sememangnya dicipta khusus untuk menepati inti visual sementara liriknya pula, dicipta berdasarkan gejolak perwatakan yang menunjangi ceritanya. Muzik filem merupakan salah satu kekuatan filem ini yang pasti akan membuai perasaan.

Lagu dan muzik dicipta oleh W. Benyamin, dari Indonesia. Lagu tema filem ini dinyanyikan oleh Gio dan Fili. Lirik dihasilkan oleh Gio dan Benyamin sendiri, berdasarkan plot dan perwatakan cerita. Ianya diadun, selaras dengan emosi dan gejolak wataknya.

Lagenda Budak Setan diterbitkan dengan perbelanjaan sekitar RM 1.6 juta, termasuk promosi dan pemasaran. Nusantara Filem, sebagai sebuah anak syarikat Astro Shaw, akan terus bekerjasama dengan Tarantella Pictures dalam meneruskan usaha mengadaptasikan novel untuk penerbitan seterusnya kerana bahan dan kandungannya telah membuktikan sesuatu.

Gambar sekitar prebiu

Dollah Cantek siap beli novel tu… minat betul dia!

Zoey turut berlakon sebagai kawan kepada Kasyah

… bersama Nubhan, si budak nakal.

Si hero dengan dua orang heroin yang memegang watak yang sama.

Shiqin Kamal bersama Lisa Surihani

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply
  1. Ooh.. sharad sharan orang Malaysia gw pikir orang Indo krn karyanya bnyk jg d Indo cuma sayang belum ada yg fenomena bnget macam AAC, LASKAR PELANGI, KCB 1 2,SANG PEMIMPI,PEREMPUAN BERKALUNG SORBAN,JAMILAH DAN SANG PRESIDEN,MERAH PUTIH,MERANTAU,KATA MA’AF TERAKHIR,IDENTITAS bahkan Filem MEREKA BILANG SAYA MONYET,BUKAN CINTA BIASA DLL lebih fenomena dri TIPU KANAN TIPU KIRI ATAU CRAZY KRASY CRAZY

  2. Salam Budiey,

    saya adalah peminat setia koleksi novel2 Ahadiat Akashah…novel LBS nie merupakan novel kesayangan saya selain novel2 yang lain sehinggakan watak Kasyah, Ayu, Azmi, Emilia seperti sudah sebati dengan diri saya..mmg excited bila dapat tau ia akan dijadikan filem..frankly speaking, saya mmg menaruh harapan tinggi dengan filem nie..w/pun ada yang telah diolah untuk kesesuaian masa..tapi saya berpuas hati sangat2..dan saya berpeluang menjadi insan2 terawal dapat menonton filem nie (saya ada nampak Budiey time tuh..ekekeee.)
    Semoga LBS success & impian bro Ahadiat untuk dapat 8 angka menjadik kenyataan…

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Gambar Sekitar Sidang Media Drama Syahjihan

Bausch + Lomb Lancar Produk Baru renu® Sensitive™