in ,

Filem GERAN Menang Anugerah Festival Filem Asia New York

Filem aksi persilatan, ‘Geran’ terbitan Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daniel A.Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 di atas kecemerlangannya dalam filem aksi.

EasternKicks.com yang juga media rasmi NYAFF melaporkan kemenangan itu meletakkan pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar setaraf dengan nama-nama seperti Dante Lam (Operation Red Sea), Yue Song (The Bodyguard) dan Jung Byung-gil (The Villaines) yang memenangi anugerah kecemerlangan filem aksi itu sebelum ini.

Filem yang mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan itu antara lain menampilkan pelakon, Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng (koreografer aksi silat) dan Megat Shahrizal.

Filem GERAN Menang Anugerah Festival Filem Asia New York

Areel ketika dihubungi Bernama, menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan besar kepada kru produksi dan peminat filem Geran yang mengangkat seni silat dan budaya masyarakat Malaysia ke layar perak di mata dunia.

“Kami tidak pernah menyangka untuk menerima penghargaan sebesar ini daripada pihak luar. Ini anugerah pertama diterima filem Geran, ini juga filem pertama saya,”

– Areel

Pihak penganjur NYAFF telah memaklumkan kemenangan filem Geran itu kepada beliau, hari ini.

Ditayangkan di pawagam pada 10 Oktober 2019 di Malaysia dan Brunei, filem Geran yang dilaporkan menggunakan bajet sendiri, mengenai satu keluarga pesilat yang mempertahankan maruah dan tanah rumah mereka daripada tergadai selepas adik mereka menghilangkan diri dan menggadai geran tanah itu kepada lintah darat.

Filem aksi yang disifatkan sebagai naskah kerdil oleh Areel ini berbeza daripada filem aksi lain kerana menampilkan pesilat sebenar sebagai pelakon utama dengan sebahagian besar aksi lagak ngeri dilakukan sendiri barisan pelakonnya.

NYAFF, yang akan bersiaran dalam talian melalui aplikasi Smart Cinema dari 28 Ogos hingga 12 September ini, adalah festival filem berprestij di Amerika Syarikat yang mengangkat pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia.

Ia juga menjadi platform tayangan dan apresiasi filem melalui pemilihan naskah filem kontemporari dan klasik dari negara-negara Asia. – BERNAMA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Hiasan

Remaja Bakar Tahfiz Pada 2017 Dipenjara Sehingga Diampunkan Agong

Ramai Youtuber Sentap dengan Ustaz Abu Syafiq Gara-Gara Jadi Youtuber Itu Haram