in ,

Filem CHOMEL Lakonan Zahiril Adzim Angkat Tema Kasih Sayang Antara Manusia & Kucing

Filem Pertama Malaysia Memaparkan Tentang Hubungan Kasih Sayang Keluarga Bersama Haiwan Kesayangan Ramai, Si Chomel Pasti Buat Anda ‘Jatuh Cinta’ Dengan Aksi Si Meow

Astro Shaw terus proaktif memainkan peranannya sebagai penerbit dan penggerak industri filem tanah air dengan membawakan filem-filem segar menerusi kepelbagaian genre dan naratif bagi memberi kepuasan berbeza kepada penonton serta mencetuskan transformasi buat perfileman Malaysia. Selepas melakar kejayaan demi kejayaan melalui filem terbitannya pada tahun ini seperti ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’, ‘Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa’, ‘Penunggang Agama’, Astro Shaw tidak teragak-agak untuk tampil berani dengan mempersembahkan filem Chomel yang buat julung kali di Malaysia yang mengangkat tentang hubungan persahabatan dan kasih sayang sebuah keluarga bersama seekor kucing. Kekuatan filem tersebut yang memberi fokus kepada kucing di samping elemen kekeluargaan itu, bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 24 Jun.

Filem CHOMEL

Filem Chomel Ditayangkan di Astro First Mulai 24 Jun

Menariknya, filem Chomel pasti membuatkan penggemar kucing mahu pun tidak akan ‘cair’ dengan gelagat dan aksi comel seekor kucing bernama Chomel. Tambahan pula, filem itu dimantapkan lagi dengan sentuhan kreatif pengarah dan pemenang anugerah ‘Cerita Asal Terbaik’ filem Adiwiraku pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), Jason Chong. Sepanjang 90 minit, penonton bakal dibuai dengan emosi berbeza seperti tersenyum, ketawa, sedih, cemas dan geram menerusi babak-babaknya. Bagi penceritaan idea asal dan skrip Chomel, telah dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan penulis Astro ‘writers room’ sendiri.

Filem CHOMEL

Mengulas berkenaan filem Chomel, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro Shaw komited dalam memperkenalkan sesuatu yang baru menerusi karya tempatan buat industri perfileman dan penonton MalaysiaLebih-lebih lagi sekarang ini rakyat Malaysia banyak memenuhi masa dengan berada di rumah, jadi kami yakin mereka menginginkan aktiviti salah satu daripadanya adalah menonton agar dapat berhibur, keluar daripada tekanan buat seketika ataupun meluangkan masa bersama insan tersayang. Astro Shaw terus berdiri bersama mereka dan menyokong rakyat daripada pelbagai golongan dan latar dengan membawakan filem-filem tempatan terbaru, berkualiti dan segar menerusi platform terbaik Di Pawagam Rumah Anda, Astro First. Selepas penonton berhibur dengan jenaka dari karya Kampong Pisang, kemudian rasa seram dan mendebarkan menerusi Penunggang Agama, kini kami mengajak penonton untuk jatuh cinta dengan aksi comel seekor kucing dan hargai keluarga tercinta. Kami harap filem Chomel mampu menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton serta membuktikan industri filem tempatan juga diwarnai dengan pelbagai bentuk jalan cerita setanding industri filem negara luar.

Chomel mempertaruhkan gandingan pelakon hebat seperti Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22, Zahiril Adzim, Azizah Mahzan bersama pelakon muda Airiezara Jasmin, Yuyun Hikmah, Aniq Suhair. Selain itu turut menampilkan penampilan istimewa, Aziz M. Osman, Adibah Noor, Douglas Lim, Gavin Yap dan penyampai radio di Era, Zahier Yusoff. Bagi pelakon Zahiril Adzim, watak Imran yang dibawa olehnya memberi cabaran besar kerana beliau sememangnya mempunyai alahan kucing dan karakter tersebut juga menyaksikan sisi berbeza lakonan beliau.

Filem CHOMEL

Manakala, Pengarah Filem Chomel, Jason Chong berkata, “Dalam keadaan penuh pancaroba sekarang ini, saya percaya sebuah naskah seperti Chomel bukan sahaja mampu mengukir senyuman di bibir, tetapi akan menyentuh hati penonton. Chomel, mengetengahkan kisah seekor kucing dan seorang kanak-kanak yang melalui rasa kehilangan. Perjalanan cerita mereka ini bakal membuka hati kita agar bersyukur dan lebih menghargai keluarga tersayang. Filem ini juga amat nostalgik bagi saya kerana saya akan ingat sampai bila-bila bagaimana mencabarnya mengarah seekor kucing untuk berlakon. Bagi mendapat ‘shot’ menarik dan komposisi setiap babak berbeza, pelbagai idea kreatif dilakukan, antaranya apabila ingin mendapatkan babak kucing tersebut berlari, produksi telah menggunakan beg kesukaan kucing itu untuk menarik minat bergerak aktif. Saya harap filem ini akan menghiburkan anda semua di samping merapatkan lagi hubungan bersama insan tersayang.”

Bukan hanya untuk peminat kucing sahaja, cerita ini penuh dengan kehidupan dan kasih sayang. Cerita bermula dengan Mimi yang kesunyian setelah pemergian ibunya dan keluarganya berpecah-belah. Mimi tekad untuk menjadi kawan kepada ‘Diva Girlz’ untuk mengisi kesunyiannya, namun gagal. Keadaan berubah apabila Mimi berjumpa Chomel. Mimi merasakan satu peluang atau jalan untuk dia dapat berkawan dengan Diva Girlz.

Filem CHOMEL

Keadaan menjadi rumit apabila ayah Mimi sering kali didesak oleh nenek Mimi (ibu mertua) menuntut hak penjagaan terhadap Mimi dan kakaknya, Nora, disebabkan nenek Mimi merasakan ayahnya tidak mampu menyara masa depan mereka. Kehadiran si Chomel memberikan harapan Mimi bergelut cuba memperbaiki keadaan keluarga mereka

Saksikan filem Chomel yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 24 Jun 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Uyaina Arsyad Mohon Maaf, Siar Lirik Lagu Lucah di Instagram

Kisah Lelaki Yang Sangat Terdesak Sampai Jual Baju Sendiri, Isteri & Anak Demi Teruskan Hidup