in , ,

Filem Box Office di China, ON YOUR MARK Bakal Ditayangkan di Astro First Mulai 26 Ogos Ini

Filem Box Office Di China, ‘On Your Mark’ Arahan Pengarah Hebat Ola Bola, Chiu Keng Guan, Kini Bakal Mengegarkan Penonton Malaysia Di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Filem pecah panggung di China tahun ini, On Your Mark yang diarahkan oleh pengarah hebat Malaysia dan cukup disegani ramai, Chiu Keng Guan kini bersedia menemui penonton Malaysia mulai 26 Ogos ini!

Terdahulu, Chiu Keng Guan telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila karya terbaiknya, OlaBola (2016) mengukir kejayaan terbesar buat filem Malaysia dan termasuklah karya beliau yang lain seperti The Journey (2014), Think Big Big (2018), Great Day (2011) dan Woohoo! (2010). Manakala, filem terbaru arahannya On Your Mark telah pun memulakan tayangan bermula 18 Jun lalu di lebih 9 ribu buah pawagam di seluruh China, dan tambah membanggakan filem tersebut berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8.7 juta (RMB 13.65 juta) hanya pada hari pertama filem tersebut ditayangkan dan sekali gus menduduki tangga no 1 carta filem di China.

ON YOUR MARK

Terbaru, filem On Your Mark atau pun tajuk asalnya “The Great Dad” atau “Liao Bu Qi de Lao Ba” yang digunakan untuk pasaran di China baru sahaja menamatkan tayangannya dan berjaya meraih kutipan secara keseluruhan sebanyak RMB148 juta (anggaran RM96 juta). 

Lebih mengujakan, filem arahan Chiu Keng Guan ini juga bukan sahaja menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada penonton China tetapi turut menerima liputan baik dari pihak media dan pujian daripada penggiat seni di sana.

Antara reaksi penonton di sana adalah mereka tidak menyangka filem ini adalah arahan oleh pengarah dari Malaysia kerana sentuhan hebatnya dan elemen emosi dan budaya amat dekat dengan masyarakat di sana. Sebelum filem ditayangkan, masyarakat di sana juga telah memberi sokongan padu dengan menyertai acara maraton yang dianjurkan sebagai salah satu rangka promosi filem tersebut. 

“Sebuah Filem Menyentuh Perasaan Yang Diinspirasikan Daripada Kisah Sebenar” 

ON YOUR MARK

Menariknya tentang filem On Your Mark, ia merupakan sebuah filem yang memberi penghormatan kepada bapa-bapa seluruh dunia dan ia diadaptasi daripada peristiwa sebenar serta memperlihatkan pengarah prolifik tersebut mengetengahkan salah satu sukan popular di China iaitu sukan maraton sebagai sub plot. Chiu Keng Guan amat terkenal dengan karya yang menerapkan unsur tema perpaduan, kekeluargaan, persahabatan, semangat patriotisme dan dilihat berjaya mewarnai filem dengan emosi, budaya dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Menerusi On Your Mark, pengarah tersebut sekali lagi memberi sentuhan magisnya yang mampu menyentuh perasaan penonton melalui subjek utama iaitu hubungan kekeluargaan serta pengorbanan dan semangat juang dalam mengejar sebuah impian. Babak-babak penuh emosi juga turut dipadatkan dengan iringan muzik dan lagu rasmi filem bertajuk ‘My World Changes Because of You’ nyanyian pelakon utamanya, Wang Yanhui and Zhang Youhao. 

ON YOUR MARK

Bukan itu sahaja, malah penghasilan On Your Mark juga menggabungkan tenaga-tenaga kreatif seperti pengarah muzik oleh pemenang Penyuntingan Bunyi Terbaik di Academy Awards, Du Duzhi; pengarah suntingan oleh Penyunting Terbaik di Asian Film Awards, Deng Wentao; pengarah fotografi oleh jurugambar terkenal, Park Song II, penata bunyi oleh Wang Xiwen, dan pengarah seni oleh Zheng Chen. 

Setiap babak pula digerakkan dengan begitu baik oleh pelakon-pelakon hebat China seperti Wang Yanhui (Pelakon Pembantu Terbaik di 8th Chinese Film Media Awards), Zhang Youhao (pemenang ‘most media-focused new actor’ di Film Channel Media Award of the 23rd Shanghai International Film Festival 2020), Gong Beibi (Pelakon Wanita Terbaik di Beijing Youth Film Festival 2017), Li Xiaopang, He Nan (Top Ten Rising Stars of the Year di 3rd Golden Shark Awards), Zhao Liang (pemenang untuk Twelfth Chinese Drama Award Plum Blossom Performance Award), Li Yu (pemenang Pelakon Paling Berpengaruh menerusi Film Competition of the 1st Duyun Film dan TV Festival pada 2019), Liu Jinshan (pemenang untuk most media- focused supporting actor award di the 22nd Shanghai International Film Festival Film Channel Media Awards 2019) dan penampilan istimewa oleh pelakon filem The Last Tycoon, Feng Wenjuan (pemenang untuk Annual Supporting Actress Award di 1st Hainan Island International Film Festival pada 2018). 

ON YOUR MARK

Bagi berkongsi rasa bangga dengan hasil karya anak seni tempatan yang sukses mencipta fenomena di persada antarabangsa, Astro Shaw tidak teragak-agak untuk membawa dan persembahkan filem On Your Mark kepada para penonton di Malaysia menerusi Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480. Dalam pada itu, Astro Shaw juga akan membawakan filem ini untuk ditayangkan di panggung wayang negara jiran, Singapura yang akan ditayangkan tidak lama lagi. 

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Sebagai penerbit yang terlibat dalam kesemua filem arahan Chiu Keng Guan sejak tahun 2010 sehinggalah kini, tentunya Astro Shaw amat berbangga dapat membawakan sebuah lagi masterpiece oleh pengarah hebat Malaysia ini yang telah menempa kejayaan di peringkat antarabangsa untuk dipersembahkan kepada penonton di sini. Bersesuaian dengan tema merdeka Astro tahun ini, iaitu ‘Kita Teguh Bersama’, di mana filem On Your Mark mempunyai elemen penghayatan yang cukup mendalam tentang semangat juang dan prihatin terhadap insan tersayang. Kami harap, filem ini turut dapat mencipta kejayaan tersendiri di sini serta kejayaan Chiu Keng Guang di China mampu memberi inspirasi kepada pengkarya tempatan untuk terus menghasilkan filem-filem berkualiti.” 

Pengarah Filem On Your Mark, Chiu Keng Guan menyatakan bahawa berkarya di China adalah satu pengalaman baru buatnya. Bukan sahaja dari sudut cara kerja, malah antara cabarannya adalah beliau perlu menguasai dialek tempatan di sana yang digunakan di dalam filem dan selain itu maraton bukanlah sukan yang dekat dengannya. “Saya rasa amat teruja filem On Your Mark akan dipersembahkan kepada penonton di Malaysia dan dalam masa yang sama sedikit gementar untuk melihat penerimaan ramai. Jika karya-karya saya sebelum ini menyelitkan budaya Malaysia, tetapi kali ini sedikit berbeza di mana ia menonjolkan budaya masyarakat di Chongqing, China. Mesej utama yang saya ingin sampaikan dalam filem ini adalah pengorbanan dan semangat yang saya percaya ia amat dekat dengan kita semua. Sementara itu, bercakap mengenai bagaimana beliau boleh terlibat dalam filem ini, ianya bermula ketika tahun 2016 ketika filem OlaBola ditayangkan di Festival Filem Shanghai. Penerbit filem On Your Mark datang berjumpa dan berkongsi info filem ini, lalu memberi peluang untuk saya mengarahkan filem ini. Saya tertarik dengan jalan cerita dan karakter. Jadi, di situlah bermula karier saya di China. Bagi saya, dengan berusaha menghasilkan filem yang baik, ia mampu membawa kita tahap yang lebih tinggi. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Astro, barisan pelakon, kru, media dan terutamanya penonton Malaysia yang sentiasa menyokong karya-karya saya selama ini.” 

ON YOUR MARK

Ia mengisahkan tentang seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari marathon seperti ibunya. Namun, cita-citanya dihalang oleh ayahnya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Namun, Xiao Erdong curi-curi melihat dan berlatih diluar padang tanpa pengetahuan ayahnya. Bagi melayakkan diri dalam pertandingan, Xio Erdong telah terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya menjadi keyataan apabila Xio Erdong disahkan buta. 

Filem On Your Mark menyaksikan karya terbitan oleh barisan penerbit antarabangsa seperti Jiangsu Maoyan Culture Media, Wuxi Cangsheng Film dan Shanghai Ruyi Film and Television Production. Manakala Penerbit Bersama adalah Tianjin Maoyan Weiying Culture Media, Jiangsu Hao Di Cultural Development, Sports Culture Development Center of the State General Administration of Sports (China Sports Museum). Astro Shaw bertanggungjawab sebagai pengedar untuk Malaysia dan Singapura. 

ON YOUR MARK

Saksikan filem hebat On Your Mark yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 26 Ogos 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw. 

ON YOUR MARK

Trivia Pengarah Chiu Keng Guan & Filem Arahannya 

  1. Dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik melalui filem Great Day di Golden Wau Awards 2013 serta diberi pengiktirafan oleh Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) atas sumbangannya terhadap industri filem tempatan. Di samping itu, turut memenangi Pengarah Terbaik untuk The Journey di Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2014. Sehingga 2021, dua filem beliau iaitu The Journey dan OlaBola tersenarai dalam Top 15 kutipan filem tertinggi di Malaysia.
  2. Filem arahannya terdahulu OlaBola (2016) filem no. 1 Malaysia genre drama tahun 2016 dengan kutipan tertinggi sebanyak RM16.6 juta; The Journey (2014) ‘Filem Terbaik (Non- Malay)’ di Festival Filem Malaysia ke-27 dan filem pertama dalam sejarah perfileman Malaysia yang menembusi kutipan tertinggi sebanyak RM17.28 juta; Think Big Big (2018) berjaya menembusi pawagam di negara China dan menjadi filem Malaysia yang mendapat tayangan terbesar menerusi 10,900 pawagam dengan 60,079 tayangan; Great Day (2011) dinobatkan sebagai Filem Bukan Di Dalam Bahasa Melayu Terbaik di Festival Filem Malaysia 2011; Woohoo! (2010) pecah rekod box office bagi filem Malaysia berbahasa Cina dengan meraih kutipan RM4.2 juta pada tahun 2009. 
  3. Digelar sebagai ‘The King of Malaysian Movies’ seperti petikan media South East Asian Globe.
  4. On Your Mark filem arahan pertama Chiu Keng Guan di China.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dah Ada Single Baharu Berjudul IRAMA, Shiha Zikir Kini Mahu Fokus dalam Bidang Nyanyian

Datuk Seri Ismail Sabri Sah Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9