in ,

Info Tentang Festival Toyota Gazoo Racing TGR di MAEPS Serdang

Debaran Perlumbaan Litar Jalanan Vios Challenge Pusingan Kedua Menanti Pengunjung Festival Toyota Gazoo Racing (Tgr) Di MAEPS Serdang

Aksi perlumbaan mendebarkan serta banyak lagi aktiviti-aktiviti menarik menanti pengunjung di pusingan kedua Festival Toyota Gazoo Racing dan siri perlumbaan jalanan pertama di Malaysia, Toyota Vios Challenge yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor hujung minggu ini, dari 20-21 Oktober 2018.

Festival Toyota Gazoo Racing TGR di MAEPS Serdang

Toyota Gazoo Racing TGR di MAEPS Serdang

Pusingan pembukaan Festival Toyota Gazoo Racing dan dua perlumbaan pertama Vios Challenge yang diadakan di Kuala Terengganu Ogos lalu telah berjaya menarik seramai 20,000 pengunjung.

Festival yang akan berlangsung selama dua hari itu akan turut mempamerkan model-model kenderaan terkini Toyota, sesi pandu uji, promosi serta persembahan selebriti untuk memeriahkan lagi suasana selain daripada aksi perlumbaan dalam kategori Promotional, Sporting dan Super Sporting di dalam litar jalanan yang dibangunkan khusus untuk acara ini.

“Toyota adalah tentang All About The Drive, dan Festival Toyota Gazoo Racing menyediakan platform terbaik bagi pelanggan kami untuk merasakannya sendiri. Kami ingin mengundang semua untuk hadir dan melihat keteguhan, ketahanan, keselamatan, daya saing serta prestasi kenderaan Toyota, terutamanya Vios 1.5L di tangan pelumba-pelumba yang terlibat di dalam Vios Challenge,”

“Satu daripada tarikan utama sepanjang acara hujung minggu ini di MAEPS ialah penampilan dan sesi pandu uji Toyota Rush serba baru, sebuah SUV kompak yang dilengkapi dengan enjin 1.5 liter,”   ujar Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K.

Kategori Promotional

Di dalam kategori Promotional, kedudukan mata terkumpul keseluruhan selepas pusingan pertama didominasi oleh wanita.

Penyanyi Akim Ahmad mendahului dengan 35 mata selepas memberikan persembahan mengkagumkan di dalam dua perlumbaan pusingan pertama di Kuala Terengganu. Namun, Diana Danielle (24 mata), Wany Hasrita (17 mata) dan Janna Nick (16 mata) memastikan mereka mengikut rapat di belakang, dengan masing-masing menduduki tempat kedua, ketiga dan keempat. Mengisi kedudukan kelima ialah Aiman Tino.

Akim dan Diana masing-masing mengungguli satu perlumbaan dalam pusingan pertama Ogos lalu, sementara Wany menunjukkan kemampuan pemandu yang konsisten melalui penampilan sulungnya dalam perlumbaan dengan berjaya menamatkan perlumbaan di tangga kelima bagi kedua-dua perlumbaan. Janna pula menamatkan perlumbaan dikedudukan ketiga dan kelima ketika di Kuala Terengganu sebelum ini.

Festival Toyota Gazoo Racing TGR di MAEPS Serdang

“Bagi saya, musim ini bermula dengan sangat sengit dan untuk kekal memberikan saingan, perancangan yang saya tetapkan sejak awal lagi ialah untuk terus memandu dengan konsisten, mengikut kemampuan sendiri dalam merapatkan jurang dan paling penting, tidak terlibat dengan sebarang masalah, terutamanya melanggar tembok penghadang konkrit,”

“Untuk berlumba di dalam litar, tidaklah semudah yang disangkakan kerana ia memerlukan tumpuan penuh dan juga stamina fizikal serta mental. Saya sangat menghormati pelumba lain dalam siri ini yang melakukannya secara profesional,” –  Akim, penyanyi utama kumpulan Akim & The Majistret.

Oleh kerana sudah pernah terlibat di dalam Vios Challenge pada musim pertama dahulu, Diana Danielle mengandalkan kepada pengalaman yang diraihnya sebelum ini untuk mencuba sebaik mungkin berada di kedudukan pertama petak permulaan dalam litar yang sempit.

Ketika perlumbaan pertama di Kuala Terengganu, Diana melayakkan diri untuk berada di petak depan dan menggunakan kelebihan itu untuk menamatkan perlumbaan 2.4 saat di depan pencabar terdekatnya sepanjang perlumbaan sebanyak 22 pusingan.

Pada kedudukan terbalik bagi perlumbaan kedua, nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beliau; Diana menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan, dan hanya sempat menghabiskan 20 daripada 22 pusingan.

“Cabaran terbesar dalam mana-mana perlumbaan jalanan, terutama dalam litar yang sempit ialah hampir tiada ruang untuk memotong, melainkan pemandu di hadapan anda membuat kesilapan. Sekiranya saya tidak sabar untuk memotong, saya mungkin akan membuat kesilapan yang besar dengan melanggar tembok pembahagi. Jika itu berlaku, maka habislah perlumbaan itu untuk saya. Jadi, sangat penting bagi saya untuk mendapatkan keputusan paling baik dalam pusingan kelayakan,” Diana Danielle

Dengan jarak litar yang lebih panjang di MAEPS, individu lain yang turut perlu diberi perhatian ialah pengacara tv, Nabil Ahmad dan penyanyi Aiman Tino yang turut sempat menjejaki kedudukan podium ketika penampilan sulung mereka Ogos lalu.

Nabil menampilkan keyakinan tersendiri selepas muncul di kedudukan kedua ketika pusingan kelayakan. Malangnya, nasib tidak menyebelahi beliau selepas terlibat dalam kemalangan pada perlumbaan pertama dan menduduki tempat ketiga bagi perlumbaan kedua.

Aiman pula di kedudukan kedua bagi perlumbaan kedua, dan menghadapi nasib yang sama kerena terlibat kemalangan dalam perlumbaan pertama.

Lain-lain pelumba yang turut menunjukkan prestasi yang bertambah baik ialah Khai Bahar dan Nabila Razali, serta Naib Pengerusi Toyota Motor Sdn Bhd, Akio Takeyama.

Festival Toyota Gazoo Racing TGR di MAEPS Serdang

Festival Toyota Gazoo Racing TGR di MAEPS Serdang

Kategori Sporting

Sekali lagi kategori Sporting dijangka akan mempamerkan saingan yang begitu sengit, dengan selebriti Shawn Lee dan Skhukri Yahaya terpaksa berhempas pulas untuk mengekang asakan dari pelumba-pelumba lain yang juga sangat kompetitif.

Dinaikkan ke kategori Sporting selepas muncul juara bagi kategori Promotional musim pertama, perlumbaan pertama lalu menjadi medan baru bagi Shawn untuk mengekalkan ketangkasannya dalam menghadapi pemandu-pemandu lain yang juga mempunyai kemahiran yang tinggi. Apa yang menarik, beliau mencatatkan masa terpantas di litar Kuala Terengganu dan menduduki petak pertama dan mendahului perlumbaan pertama, sekaligus mengejutkan ramai orang dengan persembahannya.

“Sudah tentu kali ini lebih sukar, tetapi saya ingin kekal optimis untuk membolehkan saya terus tenang memberi tumpuan penuh, konsisten dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan apa-apa drama terutamanya melanggar tembok penghadang. Kami mempunyai tempoh dua bulan untuk menilai semula pusingan pertama tempoh hari dan mengambil langkah yang perlu untuk memperbaiki prestasi dalam pusingan kedua ini,” jelas Shawn yang juga seorang beatboxer terulung di peringkat Asia yang ingin mengulangi kemenangannya di MAEPS tahun lalu.

Sebaliknya, Shukri bagaimanapun gagal untuk memanfaatkan kedudukan petak kedua ketika memulakan perlumbaan selepas beliau terkandas dalam kedua-dua perlumbaan awal berkenaan. Namun, bagi perlumbaan di MAEPS hujung minggu ini, beliau ingin sedaya-upaya mengulangi kejayaan musim pertamanya di litar yang sama.

Antara pemandu-pemandu dalam kategori ini yang perlu diberi perhatian dalam pusingan kedua nanti ialah Brendon Lim dari pasukan Tedco Racing yang merupakan naib juara musim lalu dan berhasil menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan kelima bagi dua perlumbaan pusingan pertama di Kuala Terengganu. Seorang lagi pesaing rapat ialah Patrick Tam yang ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan di belakang Shawn.

Selain itu, Dannies Ng Khai Ee, Kenneth Koh, Eric Yong dan Vincent Ng yang berada dalam kedudukan berurutan di belakang secara keseluruhan juga dijangka akan memberi cabaran sengit.

Kategori Super Sporting

Pelumba-pelumba profesional dalam kategori ini menjadi antara tumpuan bagi menyaksikan kualiti perlumbaan yang paling menyeronokkan dan sekaligus mendebarkan.

Mendahului kedudukan keseluruhan ketika ini ialah William Ho dari pasukan Revo Technik Malaysia yang menampilkan persembahan terbaik di Kuala Terengganu dengan menamatkan perlubaan di tempat pertama dan kedua bagi kedua-dua perlumbaan awal berkenaan. Tidak ketinggalan ialah Syafiq Ali yang turut berada di kedudukan kedua dengan hanya sedikit perbezaan mata.

Antara pelumba yang dijangka akan memberi saingan bagi merebut kedudukan podium di MAEPS nanti ialah Mark Darwin dari pasukan Dream Chaser, Boy Wong dari pasukan ST Wangan Racing dan Kenny Lee dari pasukan Revo Technik Malaysia, Brendan Paul Anthony serta Keifli Othman yang ketika ini sedang mengisi kedudukan ketiga hingga ketujuh.

Keifli disertai oleh Eddie Liew mewakili pasukan Nanoplus, tetapi akan memulakan perlumbaan kedua ini dengan sedikit kekurangan disebabkan beliau kehilangan tiga mata yang terpaksa dipotong dan penalti petak permulaan ke-10 susulan daripada kejadian yang melibatkan dirinya dan Kenny ketika pusingan pertama dahulu.

Membuat penampilan sulung di dalam Vios Challenge kali ini ialah bekas pelumba Porsche Carrera Cup Asia dan juara Malaysia Merdeka Endurance Race 2014, Alif Mohamed Hamdan.

Acara-acara bagi Festival Toyota Gazoo Racing dan Vios Challenge yang berlangsung selama dua hari itu akan bermula pada Sabtu, 20 Oktober 2018 dengan sesi kelayakan bagi perlumbaan pertama kategori Promotional, Sporting dan Super Sporting di dalam litar, serta pelbagai lagi aktiviti untuk pengunjung termasuk:

– pameran model-model kenderaan terkini Toyota
– pra-tonton SUV Toyota Rush serba baru
– konsert oleh selebiriti-selebriti Toyota Gazoo Racing
– aktiviti promosi
– sesi tandatangan Superfans (peluang untuk mendekati selebriti)
– penampilan maskot Baby Shark
– pameran dan jualan cenderahati
– permainan pentas
– perhimpunan kelab kereta
– pertandingan simulator perlumbaan
– pertunjukkan drift oleh Toyo Tyres
– cabutan bertuah.

Selepas pusingan pertama di Kuala Terengganu Ogos lalu dan pusingan kedua di MAEPS hujung minggu ini, festival ini akan meneruskan penjelajahannya ke Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Februari 2019 sebelum kemuncak perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang pada April 2019.

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Coca-Cola telah melancarkan Nutri Boost™

Ramli MS

Tok Ram Sempat Membawang Amelina Lucu & Kelakor