in

Festival Tari Malaysia 2009

FESTIVAL TARI MALAYSIA 2009 SEMARAKKAN SLOT RAYA DI TV1

Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan pebagai program menghiburkan. bukan sahaja dengan tayangan-tayangan filem, drama dan program-program berunsur komedi malah rancangan berunsurkan muzikal tari turut sama dipertontonkan. Program bercorak pertandingan tarian itu yang dinamakan dengan Festival Tari Malaysia 2009 bakal ditayangkan pada 24 September 2009 bermula jam 3.05 petang di saluran TV1.

Festival Tari Malaysia 2009 yang berkonsepkan sebuah festival ini akan menampilkan pertandingan tarian antara negeri-negeri seluruh Malaysia. Sebanyak enam buah kumpulan tari terbaik dari enam negeri-negeri di Malaysia bertarung dalam membuat persembahan tarian untuk merebut pelbagai anugerah yang ditawarkan.  Festival tari yang berlangsung selama empat malam ini pastinya meriah dengan pelbagai tarian tradisional yang dibawakan oleh kumpulan-kumpulan tarian ini.

Kumpulan-kumpulan tarian yang masing-masing mewakili Negeri Sarawak, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Selangor ini akan mempersembahkan tarian-tarian tradisional untuk merebut pelbagai anugerah antaranya Anugerah Kostum Terbaik dan Anugerah Koreografi Terbaik bagi kategori Tarian Rampaian Tradisional dan kategori Tarian Tradisional Kreasi Baru serta Anugerah Penataan Muzik Terbaik dan Anugerah Susunan Muzik Terbaik bagi kategori Tarian Rampaian Tradisional sahaja.  Selain dari itu, mereka juga turut merebut beberapa lagi anugerah iaitu Anugerah Persembahan Terbaik untuk kategori Tarian Tradisional Daerah, Anugerah Khas Juri serta anugerah utama iaitu Anugerah Persembahan Terbaik Keseluruhan.

Festival Tari Malaysia 2009 yang dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Senator Heng Seai Kie selaku Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini turut dimeriahkan dengan persembahan tarian selingan dari beberapa kumpulan tarian yang dijemput. Antara kumpulan-kumpulan tersebut adalah Kumpulan Jo Oh Masyarakat Orang Asli Mah Meri, Kumpulan Temple of Art Fine Art, Kumpulan Kesenian Separap Batu Pahat, Johor, Kumpulan Persatuan Hadrah Warisan Murni ”Lakon Beradat”, Sarawak dan banyak lagi kumpulan tarian. 

Selain dari itu festival tari ini juga disemarakkan dengan beberapa lagi persembahan khas dari Kumpulan Tari Artistana, Kumpulan Artis Tari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta persembahan gabungan dari tiga orang koreografer terkenal iaitu Mew Chan Sing, Kingshore dan juga Mohamed Syed yang akan mempersembahkan tarian-tarian tradisional yang memukau dan pasti akan menghiburkan petang raya anda.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ahmad Fetri Yahya Dalam Rumah Kecil Tiang Seribu di Aidilfitri

Reaper Musim Ke-2 di 8TV