in , ,

Festival Muzik Hot FM Big Jam 2019 di MAEPS Serdang

Pada 20 Mac 2019, radio Hot FM telah mengadakan sidang media bagi mengumumkan tentang Konsert Hot FM Big Jam di The Love @ MaTiC, Jalan Ampang. Konsert yang diadakan selama dua hari ini akan diadakan di MAEPS Serdang pada 30 Mac ini.

SELEPAS tujuh tahun direhatkan, program Hot FM Big Jam kini kembali menemui pendengar setia radio Hot FM dalam bentuk baru berkonsepkan festival muzik.

Ketua Audiens Melayu, Ripple, Nik Nor Azura Mahmood berkata, Hot FM Big Jam kembali diadakan sebagai tanda penghargaan mereka yang menyambut ulang tahun ke-13 dengan pendengar.

Katanya, Festival muzik Hot FM Big Jam kali ini akan berlangsung pada 30 Mac di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

“Acara tanpa henti yang bakal berlangsung selama 12 jam ini adalah hasil kerjasama Hot FM bersama Malaysia Riders 2019 dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA).

“Kemunculan semula Hot FM Big Jam bertujuan memenuhi permintaan daripada pencinta muzik tempatan serta penggiat seni yang inginkan konsert percuma berskala besar.

“Kami sebagai jenama yang sinonim dengan muzik dan hiburan ingin menunjukkan rasa penghargaan kepada mereka semua serta secara tidak langsung membantu menghangatkan industri muzik secara amnya,”

– Nik Nor Azura Mahmood

Hot Big Jam 2019 akan menampilkan lebih daripada 20 artis popular bagi menghiburkan peminat di mana persembahan dibahagikan kepada dua segmen iaitu petang dan malam.

Katanya, segmen petang bermula jam 4 petang akan menampilkan Wany Hasrita, Syamel, Xpose, Aiman Tino, One Avenue Band, Nabila Razali, Ippo Hafiz serta Caliph Buskers.

“Konsert segmen kedua yang akan bermula jam 7.45 malam pula menggabungkan barisan artis muda dan senior seperti Hujan, Haqiem Rusli, Hazama dan The Penglipur Lara, Siti Sarah, Neon, Ayda Jebat, Masdo, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Ara Johari dan Faizal Tahir.

“Kami juga baru saja mengumumkan barisan penyampai terdiri daripada muka baru dan lama seperti Shuk, Shuib, Fizie, El, Deen, Haziq, Zetty serta personaliti digital Sarancak awal Februari lalu.

“Jadi, ini adalah peluang terbaik untuk mendekatkan barisan penyampai kami dengan pendengar,”

– Nik Nor Azura Mahmood

Katanya, Hot FM Big Jam kali ini bukan hanya menumpukan kepada muzik dan artis popular, malahan pelbagai aktiviti turut diadakan seperti sesi jualan barangan eksklusif, siaran luar bersama penyampai Hot FM, peraduan istimewa dan banyak lagi akan disajikan kepada pengunjung.

“Kami ingin berinteraksi secara langsung dengan pengunjung di tapak konsert menerusi siaran luar.

“Kami juga sediakan peluang untuk mereka memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah motosikal bakal menanti pengunjung yang turut serta di dalam aktiviti di sana nanti,”

– Nik Nor Azura Mahmood

Hot FM Big Jam turut disokong oleh geng digital, Dhia, Donna, Lunaria dan Thelaki.

Empat jenama digital baharu itu juga akan turut sama menyediakan aktiviti dan hadiah menarik kepada pengunjung pada 30 Mac nanti.

Untuk informasi lanjut, pendengar boleh melayari laman web serta laman media sosial rasmi Hot FM di Youtube, Instagram, Facebook serta Twitter: @hotfm976.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penyampai Radio Farid Berubah ke Digital, Kini Dikenali dengan DJ Smutar

i-Serve Launches UChat Songkran Day-Out 2019