in , ,

Farid Kamil Akur Hantar Surat Lima Hari Awal Sebelum Jumpa Anak

Pelakon Farid Kamil, 42, memaklumkan perlu menghantar surat lima hari lebih awal kepada peguam isterinya, Diana Danielle, 32, sekiranya mahu bertemu anak-anak.

Kata Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, perkara itu adalah ketetapan daripada pihak mahkamah, jadi dirinya perlu akur.

“Ada pembaharuan dalam proses untuk berjumpa anak-anak. Saya diminta menghantar surat, lima hari sebelum berjumpa anak-anak.

“Itu adalah perintah mahkamah, jadi, saya harus akur dan selesa dengan perkara itu.

“Proses sulh hari ini berjalan lancar, tetapi masih belum mendapat kata putus. Saya akan terus berusaha menyelamatkan keluarga, anak-anak dan isteri,” katanya ditemui selepas selesai proses sulh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Farid berkata, masih belum ada sebarang komunikasi antara dirinya dan Diana, namun tetap berharap hubungan akan kembali jernih selepas ini.

“Saya sentiasa berdoa anak-anak dan isteri saya dapat hidup seperti biasa. Saya dapat melihat dia (Diana) dari ekor mata sahaja.

“Tiada komunikasi secara berdepan, tetapi, mungkin dalam hati, siapa yang tahu.

“Saya berserah kepada Allah melalui doa, harapan dan hajat saya. Saya serahkan 100 peratus kepada Allah.

“Teruskan berdoa untuk kesejahteraan saya dan keluarga saya,” katanya.

Terdahulu, proses sulh membabitkan Farid dan Diana untuk membincangkan mengenai hak penjagaan anak (hadanah) masih gagal menemui kata putus.

Ia susulan, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson tetap dengan pendirian untuk mendapatkan hak penuh.

Peguam mewakili Diana, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff, berkata setakat ini masih tiada persetujuan bersama mengenai terma yang dipinta dan akan diteruskan kepada proses berikutnya pada 1 Ogos hadapan.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mursyid Alharamain Raih Kemenangan Isu TV Al-Hijrah di Mahkamah

Aizat Amdan Teruja Dengan Single Terbaharu Hadiahkan Duka Kepadamu