in , ,

Ezad Lazim & Salma Asis Bergabung Dalam Rentak Hindi Berjudul AKIRA

Dua penyanyi yang cukup tidak asing memiliki kemerduan suara tersendiri, Ezad Lazim dan Salma Asis tampil dengan lagu duet berjudul ‘Akira’. Berentak hindustan, aura lagu ini lebih terasa apatah lagi kedua mereka memang peminat muzik sebegitu.

Menariknya, lagu Akira ini dihasilkan sebagai runut bunyi drama bersiri Akira Khan yang diadaptasi daripada karya Siti Rosmizah. Dibintangi pelakon hebat termasuk Uqasha Senrose, Kamal Adli, Maria Farida, Isma Daniel, Julia Hana, Idzham Ismail, dan ramai lagi, drama itu bakal mengisi slot Astro Mega Drama di Astro Ria. 

Terharu diberi penghormatan menyanyi runut bunyi terbabit, Salma mengakui bukan mudah mendendangkan lagu berentak hindustan. Dia sebaliknya perlu memperhalusi terutama aspek suara harmoni agar nyanyiannya bersama Ezad saling melengkapi. 

“Kekuatan lagu ini adalah lirik dan konsep sebab lagu ini ala-ala hindustan. Keunikannya jugalah yang berjaya membuka hati saya untuk setuju menyanyikannya. 

“Cabaran terbesar adalah setarakan suara saya dan Ezad. Sejujurnya pada saya suara Ezad sudah semula jadi merdu dan saya kena merdukan suara supaya nampak harmoni dan serasi dengannya. 

“Saya tak boleh nyanyi macam saya lakukan selalu untuk lagu ini. Corak nyanyian saya perlu kena ikut gaya dan mesti kedengaran lenggok hindustan itu,” katanya. 

Berpengalaman luas dalam bidang seni suara, Ezad mengakui penting untuknya mendalami isi penceritaan drama itu. Dia bahkan bertanya dengan pengarah Akira Khan iaitu Jamal Khan terlebih dahulu supaya dapat faham serta salurkan isi hati ke dalam lagu ini. 

“Kebetulan saya sudah tahu mengenai drama ini ketika mereka masih dalam pengambaran. Saya sempat bertanya sinopsisnya pada Jamal dan saya amat tertarik. 

“Saya tak sangka rezeki saya bila dipilih untuk menyanyikan lagu ini. Saya terus setuju kerana saya sudah dapat mengambarkan emosi lagu bila disatukan dengan jalan cerita drama ini,” katanya. 

Ezad juga mengakui cabaran utama adalah untuk mengharmonikan gabungan antaranya dan Salma. Menurutnya mereka diminta untuk menerapkan sedikit elemen hindi dalam penghayatan mereka. 

“Memandangkan kami berdua bukanlah penyanyi lagu ala hindi, sudah tentulah ia mengundang sedikit kesulitan. Namun berkat perbincangan terperinci kami dibantu pula oleh tenaga produksi lain, inilah hasil terbaik dapat kami garapkan. 

“Kekuatan lagu ini disokong dengan kekuatan drama itu. Runut bunyi sememangnya amat membantu membawa emosi sesuatu penceritaan sesebuah drama mahupun filem. Di situ, saya lihat ada kekuatan lagu ini diterima oleh mereka yang mendengar mahupun yang menonton drama Akira Khan ini,” katanya. 

EZAD LAZIM

Menggalas tanggungjawab sebagai komposernya pula, Pjay bersyukur dapat menyiapkan lagu ini dalam tempoh masa kurang seminggu bersama Bael0n. Hakikatnya, mereka dapat melakukan proses terbabit dengan begitu lancar serta dipermudahkan. 

“Penghasilan lagu agak mencabar sebabnya kami hanya ada lima hari saja untuk siapkan pembikinannya. Itu pun siap berunding lagu. Kalau tak ada tiga hari saja masa diberi untuk siapkan. Dengan ada Bael0n, dia sangat membantu proses penulisan. 

“Alhamdulillah berjaya juga kami siapkan lagu ini dalam masa yang sangat singkat. Bersyukur juga dapat bekerja dengan penyanyi yang sangat sangat profesional. Afif Tirmizie pun banyak membantu waktu rakaman vokal dan lancarkan lagi perjalanan rakaman keseluruhan,” katanya. 

SALMA

Lebih mengujakan Pjay, dia akui sudah lama idam dapat bekerja dengan Ezad. Apatah lagi dia membesar dengan mendengar lagu-lagu nyanyi Ezad serta tahu betapa hebat bakat nyanyian vokalis kumpulan tersohor, Exists itu. 

“Bekerja dengan Ezad sangat senang dan mengagumkan saya. Sebab kita dengar suaranya sejak daripada kanak-kanak lagi. Memang tak sangka sangat saya akan berpeluang menghasilkan lagu untuknya. Tak payah cakap lebih, dia legenda kot. 

“Salma pulak sangat terbaik bekerja dengannya kerana tidak dinafikan dia antara penyanyi wanita yang memiliki vokal hebat. Apa saja kami arah buat, semua dia boleh sampaikan. Paling mengagumkan juga adalah mereka sangat tepati masa ke studio,” katanya. 

‘Akira’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

motherwit

Motherwit Lancar Video Lirik D.Antara, Teroka Konflik Pasangan Bercinta

KAI HASSAN MOLEK FM

Anda Diminta Berhati Hati Dengan Laman Web Palsu Molek FM