in ,

Enggan Berpindah Ke Stesen Radio Lain, DJ Lin Setia Bersama Suria FM Sampai Bila-Bila

Wanita bersuara romantis yang juga Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, DJ Lin, 45, berjanji tidak akan meninggalkan stesen radio yang menjadi lubuk mencari rezeki hingga tiba pada hari persaraanya.

DJ Lin yang mengendalikan program Suria Cinta di Suria FM antara Ahad hingga Jumaat sejak stesen radio itu ditubuhkan pada 2005 memberitahu, dia terlalu menyayangi stesen radio itu kerana menganggap ia seperti bayinya. 

Malah, katanya, dia juga salah seorang yang bertanggungjawab membangunkan stesen radio berkenanan sejak hari pertama penubuhan hingga hari ini.

Penyampai radio kelahiran Johor Bahru itu meminta agar mana-mana stesen radio yang ingin melamarnya menghentikan niat berkenaan kerana bukan mudah untuk ‘memancing’ dirinya.

“Saya sentimental orangnya, jadi saya tidak pandai mahu menduakan dan sangat setia. Lagipun, Suria FM sudah cukup sebati dalam jiwa dan naluri. Saya sudah menganggap stesen radio ini seperti bayi saya.

“Ini kerana saya bertungkus lumus bersama Suria FM sejak hari pertama penubuhannya. Malah, saya juga antara orang yang bertanggungjawab membangunkan stesen ini. Daripada hanya bergelar penyampai radio biasa hingga memegang jawatan Ketua Stesen Radio.

“Saya dan Suria FM sudah cukup sinonim, jadi tidak terlintas difikiran untuk meninggalkan tempat saya menimba pelbagai pengalaman dan mencari rezeki.

“Saya akan terus kekal setia bersama Suria FM sampai bila-bila, jadi tidak payahlah cuba memancing. Saya hanya akan meninggalkan stesen radio ini apabila tiba masanya, iaitu pada hari persaraan saya,” katanya kepada BH Online.

DJ Lin yang melangkah ke dunia penyiaran radio sejak 1999, berjaya mengenggam trofi Penyampai Radio Popular, ABPBH sebanyak tiga kali. Kali pertama trofi itu menjadi miliknya pada 2015, 2019 dan pada malam kemuncak ABPBH 33, baru-baru ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia tidak mempunyai formulasi khusus untuk terus kekal menjadi pilihan peminat. Sebaliknya, apa yang diterapkan adalah keikhlasan melayan peminat, tak kira menerusi platform Facebook (FB), Instagram (IG) mahupun Twitter.

DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid berkata, dia akan memanfaatkan setiap platform media sosial dan mencuba cabang komunikasi baru demi memastikan dirinya terus dekat dengan peminat.

“Sesetengah selebriti mungkin hanya aktif di platform IG, tetapi berbeza dengan saya. Mungkin orang melihat jumlah pengikut saya tidak ramai di IG, tetapi bagaimana saya boleh menang.

“Sejujurnya, saya lebih aktif di platform FB. Bagaimanapun, saya juga aktif di ke semua platform media sosial yang ada, malah akan melayan setiap mesej langsung tidak kiralah di mana-mana platform yang ada.

“Mungkin kerana keikhlasan melayan peminat yang sudah dianggap seperti keluarga menyebabkan mereka selesa hingga saya kekal relevan pada pandangan mata mereka. 

“Saya tidak hanya melayan peminat ketika memerlukan undian, sebaliknya sentiasa melayan mereka tanpa mengira masa dan ketika,” katanya yang terhutang budi dengan peminat yang sanggup bersusah payah mengundi hingga berjaya mempertahankan trofi penyampai radio berkenaan.

*Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Neelofa Tersasul Panggil PU Riz ‘Sayang’ Masa IG Live

Sya, Artis Rakaman Wanita Pertama Def Jam Rakam Single Pertama Berjudul PRETTYGIRLBOP