in ,

Empat Usahawan Terpilih Ke Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor 

SAY LEAD (LEADERSHIP, ENTREPRENEURSHIP, ACCELERATION AND DEVELOPMENT) EDISI KETIGA YANG DIADILI OLEH DYTM TENGKU AMIR SHAH IBNI SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ, RAJA MUDA SELANGOR.

Empat usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) telah dipilih oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan juga para juri yang lain pada Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor – SAY LEAD yang diadakan di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya. 

Liga ini dianjurkan oleh Selangor Youth Community (SAY), sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan oleh D.Y.T.M. Raja Muda Selangor. Program Liga Usahawan OKU Selangor – SAY LEAD dijalankan dibawah inisiatif Entrepreneurship Selangor dengan membawa visi dan misi Baginda untuk mempromosi keterangkuman dalam kepelbagaian terutamanya kepada golongan usahawan belia. Liga ini ditaja oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor yang diterajui oleh YB Hajah Rodziah Binti Ismail. 

Empat Usahawan Orang Kurang Upaya Dalam Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor

Kriteria pemilihan peserta adalah: 

  • Peserta yang lahir atau menetap di Selangor sekurang-kurangnya 5 tahun.
  • Berumur dari 18 tahun hingga 40 tahun.
  • Merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah di bawah Jabatan Kebajikan
    Masyarakat (JKM)
  • Sedang aktif menjalankan aktiviti perniagaan.
Empat Usahawan Orang Kurang Upaya Dalam Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor

Program SAY LEAD telah berjalan sejak September 2021. 20 peserta dipilih untuk menjalani kursus perniagaan yang merangkumi: 

  • Profil Keusahawanan
  • Business Model Canvas
  • Pengurusan Kewangan
  • Branding, Jualan dan Pemasaran
  • Digitalisasi Perniagaan
  • Lawatan Ke Tapak Premis Usahawan
  • Bengkel Bisnes Profil & Pitching
  • Perkongsian bersama Agensi Kerajaan
    Setiap dua minggu selama kursus bimbingan perniagaan dijalankan, peserta diberi tugasan dalam untuk dilaksanakan dalam perniagaan mereka. Setiap peserta juga dibimbing oleh para jurulatih pakar perniagaan & mentor-mentor daripada pembimbing dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM untuk memastikan objektif pemahaman dan praktikaliti mereka dalam menerapkan pengetahuan yang diberikan tercapai. 10 usahawan OKU yang mendapat tempat 10 teratas telah dipilih dan layak membuat pembentangan di hadapan para juri.
    Pusingan akhir Liga Usahawan ini telah diadili oleh:
  • D.Y.T.M. Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (Raja Muda Selangor)
  • Yang Berhormat Hajah Rodziah Binti Ismail (Exco Keusahawanan Negeri Selangor)
  • Yang Berbahagia Dato’ Suriani Binti Dato’ Ahmad (Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi Malaysia- KUSKOP)
  • Yang Berbahagia Dato’ Mahmud Bin Abbas (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor- PKNS)
  • Yang Berusaha Dr Aizan Sofia Binti Amin (Pensyarah Kanan Program Sosial & Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Polisi Inklusif OKU UKM)
    Tiga (3) usahawan OKU yang berjaya mendapat tempat dalam pembentangan akhir akan mendapat faedah seperti berikut:
  • Piala dan sijil pengiktirafan dari Selangor Youth Community (SAY)
  • Layak ke peringkat seterusnya iaitu SAY LEAD +, program bimbingan selama satu tahun untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baru, digitalisasi perniagaan dan pasaran eksport.
Empat Usahawan Orang Kurang Upaya Dalam Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor

PEMENANG PERTAMA : YUSAIRI HAFIZ BIN TAJUDIN | 018-380 8440 

Yusairi Hafiz, 31 tahun, merupakan seorang OKU fizikal (urat saraf tangan dan kaki kanan) yang menjalankan perniagaan yang diberi nama “Putu Piring Warisan Nenek.” Beliau menjalankan perniagaan yang bertempat di Medan Selera Pasar Moden MPSJ SS15, Subang Jaya. Dengan berbekalkan modal permulaan perniagaan hanya RM3000 sahaja, kini pendapatan perniagaan beliau mencecah RM30,000 sebulan dan memiliki 6 orang pembantu. Pada tahun 2022, perniagaan beliau juga dikembangkan lagi di Medan Selera Wawasan SS3 Petaling Jaya. Impian Putu Piring Warisan Nenek adalah untuk memiliki kafe yang tersendiri di seluruh negeri di Malaysia dan menjadikan produk putu piringnya sebagai makanan hidangan utamanya di kafe tersebut. 

PEMENANG KEDUA : FAIZUL BIN AHMAD ZUKI | 019-247 2683 

Faizul, 39 tahun, merupakan seorang OKU penglihatan (buta mata sebelah kanan) yang menjalankan perniagaan pencucian karpet yang diberi nama “Cuci Karpet Bukit Beruntung” yang bertempat di Rawang, Selangor. Antara pencapaian yang dicapai oleh syarikat beliau sepanjang menyertai program SAY LEAD ialah mempunyai premis perniagaan secara rasmi, mempunyai 7 orang pekerja operasi cucian karpet dan salah seorang darinya dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU). Antara hala tuju syarikat beliau ialah memperluaskan kawasan perkhidmatan bagi seluruh Negeri Selangor dengan mewujudkan pusat pengumpulan dan membuka peluang francais kepada individu yang berminat untuk bekerjasama dengan syarikatnya. 

PEMENANG KETIGA : NOORAIHAN BINTI CHE LI | 017- 791 2851 

Nooraihan, 41 tahun, merupakan seorang OKU fizikal berkerusi roda yang menjalankan perniagaan menjual alat perkakasan rumah yang diberi nama “BNG Systems”. Syarikat beliau telah melahirkan 300 usahawan e-dagang, menjadi tenaga pengajar jemputan program CSR UKM, menjadi bintang komuniti Shopee 2021 dan mencapai menjadi peniaga pilihan pilihan Shopee (preferred seller). Impian beliau untuk melahirkan lebih ramai usahawan untuk menjana pendapatan melalui perniagaan barangan perkakasan rumah dan perniagaan dalam talian sepertinya. 

ANUGERAH USAHAWAN OKU HARAPAN : LINGES WARRY A/P APPARAO 

Linges Warry, 23 tahun, merupakan seorang belia OKU yang menggunakan bantuan alat pernafasan semenjak 15 tahun lalu. Beliau menjalankan perniagaan kosmetik dengan menggunakan jenama beliau sendiri ialah “Absolute Glam Global”. Beliau yang juga mempunyai latar belakang Diploma dalam bidang pengurusan, beliau telah memasuki program SAY LEAD dan belajar cara meningkatkan saluran pemasaran dan jualan yang betul. Impian beliau ingin menjadikan produknya standing seperti produk kosmetik yang terkenal, dan membuka suatu cawangan kedai kosmetiknya pada suatu hari ini. 

Empat Usahawan Orang Kurang Upaya Dalam Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor

1. BERKENAAN SELANGOR YOUTH COMMUNITY (SAY) 

Selangor Youth Community (SAY) diasaskan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor pada tahun 2017. SAY merupakan organisasi bukan kerajaan, bukan politik dan juga bukan berasaskan keuntungan yang berpegang teguh kepada matlamat untuk mewujudkan komuniti belia oleh belia yang dinamik, progresif dan cergas. Atas kajian dan bengkel yang dijalankan oleh Boston Consulting Group untuk mengenal pasti belia yang ada di Selangor, SAY telah bergerak berpandukan empat fokus utama iaitu Keusahawanan, Sukan dan Kesihatan, Seni dan Kreatif dan juga Khidmat Masyarakat, ia adalah untuk menyentuh secara menyeluruh minat dan fokus utama belia-belia di dalam negeri Selangor. 

Setakat tahun 2021, SAY telah memberi kesan positif kepada seramai 296,000 belia, bukan sahaja tertumpu di dalam negeri Selangor tetapi juga di Malaysia secara menyeluruh melalui 200 inisiatif dan program bermula dari tahun pertama SAY ditubuhkan. SAY juga menjalankan program dan inisiatif yang holistik melalui rakan kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan, korporat dan komuniti untuk mengenal pasti jurang dalam ekosistem agar tiada komuniti yang tercicir. 

Empat Usahawan Orang Kurang Upaya Dalam Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor

2. BERKENAAN INISIATIF ENTREPRENEURSHIP SELANGOR 

Entrepreneurship Selangor bergerak di bawah organisasi Selangor Youth Community (SAY) yang juga dikenali sebagai Keusahawanan Selangor dan ditubuhkan berpandukan visi DYTM Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor untuk mewujudkan inisiatif yang memfokuskan bidang keusahawanan untuk belia di negeri Selangor. Inisiatif ini bertujuan untuk mengenal pasti jurang dalam ekosistem keusahawanan belia yang ada dan menyatukan semua agensi kerajaan, sektor swasta, entiti bukan kerajaan dan juga individu di bawah satu misi bersama – untuk memperkasakan belia melalui inisiatif keusahawanan dan mendorong belia untuk ke peringkat antarabangsa. Terdapat 2 inisiatif utama di bawah Entrepreneurship Selangor

Empat Usahawan Orang Kurang Upaya Dalam Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor

i) SAY LEAD (Leadership, Entrepreneurship, Acceleration and Development)


SAY LEAD adalah sebuah liga usahawan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) yang pertama di Malaysia untuk membantu usahawan OKU memperolehi pendapatan yang stabil melalui perniagaan dan kursus bimbingan perniagaan yang berstruktur. Tiga pemenang utama akan layak ke peringkat seterusnya iaitu program SAY LEAD +, program bimbingan selama satu tahun untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baru, digitalisasi perniagaan dan pasaran eksport. 

ii) SAY ASPIRE 

SAY ASPIRE adalah program yang mensasarkan syarikat Industri Kecil Dan Sederhana yang diterajui oleh belia di negeri Selangor dan berpotensi untuk dieksport ke pasaran antarabangsa. Program bimbingan perniagaan yang berlangsung selama 6 bulan ini memberi peluang kepada usahawan belia mendapat akses ke pasaran baru dan peluang perniagaan yang berinovasi. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telefon Bimbit Samsung Galaxy A53 5G Kini Dijual di Seluruh Negara

Sinopsis Drama NUSYUZ BERKIBLAT CINTA Lakonan Fikry Ibrahim