in , ,

Emelda Rosmila Tuntut Lebih RM1Juta daripada Zarina Anjoulie

Pelakon Emelda Rosmila menuntut ganti rugi am melebihi RM1 juta terhadap pelakon, Zarina Anjoulie di samping ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang pelakon itu atau mana-mana ejennya menerbitkan semula kenyataan fitnah terhadapnya yang diterbitkan dalam bentuk video.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Emelda juga menuntut permohonan maaf daripada Zarina dan ia perlu disiarkan di media cetak, Facebook dan Instagram pelakon itu. Selain itu, Emelda memfailkan satu saman dan pernyataan tuntutan balas terhadap Zarina berikutan video yang dimuat naik Zarina di Facebook itu.

Isteri kepada pelakon Adlin Aman Ramlee itu juga memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman dan pernyataan tuntutan oleh Zarina, menafikan pembabitannya dalam mengeluarkan fitnah terhadap Zarina melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan Covid-19 Persatuan Seniman.

Emelda Rosmila
Emelda Rosmila

Dia juga menafikan bahawa hantaran di aplikasi Instagramnya adalah fitnah kepada Zarina.

Saman dan tuntutan balas itu diserahkan kepada peguam Zarina pada 9 Jun lalu dan dia kini menyerahkan perjalanan kes kepada mahkamah untuk menentukan kebenaran yang sahih.

Konflik antara Emelda dengan Zarina timbul apabila krisis Covid-19 melanda dunia sekali gus memberi kesan kepada industri hiburan tanah air sehingga muncul pertelingkahan sesama penggiat seni.

zarina-anjoulie
Zarina Anjoulie

KENYATAAN MEDIA EMELDA ROSMILA

  1. Emelda Rosmila telah memfailkan Pernyataan Pembelaan terhadap Saman dan Pernyataan Tuntutan oleh Zarina Anjoulie. Pembelaan telah difailkan oleh Peguamcara Emelda dari Tetuan The Law Chambers of Fauzi & Nasser. 
  • Di dalam Pernyataan Pembelaan tersebut, Emelda Rosmila telah menafikan bahawa beliau ada terlibat mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah terhadap Zarina Anjoulie melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan Covid-19 Persatuan Seniman. Selanjutnya beliau juga menafikan bahawa hantaran di aplikasi ‘instagram’ milik beliau merupakan fitnah kepada Zarina Anjoulie. 
  • Selain itu, Emelda Rosmila juga telah memfailkan satu Saman dan Pernyataan Tuntutan Balas terhadap Zarina Anjoulie yang telah secara terang memfitnah beliau secara rakaman video di aplikasi Facebook. 
  • Di dalam hantaran video tersebut, Zarina Anjoulie secara terang telah merujuk kepada Emelda Rosmila sebagai “batu api, menindas secara halus, Emelda Rosmila berniat untuk mengenakan Zarina Anjoulie dan juga Emelda Rosmila telah menghina orang awam”. 
  • Dakwaan ini jelas berniat jahat dan mendorong serta mencipta sangkaan buruk orang awam terhadap Emelda Rosmila. Zarina Anjoulie juga telah mengajak orang awam untuk menyerang dan membuat laporan ke atas laman Instagram yang dikelolakan oleh Emelda Rosmila bagi tujuan yang tidak dapat difahami oleh Emelda Rosmila. 
  • Sehubungan dengan itu, Emelda Rosmila telah memfailkan Saman dan Tuntutan Balas Fitnah terhadap Zarina Anjoulie. Saman dan Tuntutan Balas tersebut telah diserahkan kepada Peguamcara Zarina Anjoulie pada 09/06/2020.
  • Emelda Rosmila menuntut ganti rugi am melebihi RM 1,000,000.00, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang Zarina Anjoulie atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah yang telah diterbitkan.
  • Emelda Rosmila juga menuntut permohonan maaf daripada Zarina Anjoulie dan ianya perlu disiarkan di media cetak dan di laman facebook juga Instagram Zarina Anjoulie. 
  • Emelda Rosmila dengan ini menyerahkan perjalanan kes kepada Mahkamah untuk menentukan kebenaran yang sahih dengan melantik Peguamcara Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi dari Tetuan The Law Chambers Of Fauzi & Nasser di dalam mewakili beliau.
  • Emelda Rosmila melalui Peguamcaranya juga pada 18/06/2020 telah menyerahkan Saman Pemula yang difailkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi memindahkan kes sedia ada di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dipindahkan ke peringkat Mahkamah Tinggi. 
Zarina Anjoulie Tuntut Amyza Aznan & Emelda Rosemila Bayar Ganti Rugi RM4 Juta
Emelda Rosmila

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Wani Kayrie Tutup Komen Elak Perbalahan & Kecaman

Barisan Pelakon & Trailer Filem Animasi Netflix Original OVER THE MOON