in , ,

Ebit Lew Disiasat Susulan Laporan Polis Dibuat Wanita Negara Jiran

Polis memulakan siasatan terhadap pendakwah bebas, Ebit Lew berhubung dakwaan dibuat seorang wanita dari negara jiran, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan satu siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada wanita itu, namun tidak mendedahkan ia mengenai kesalahan apa.

Polis hari ini juga mengesahkan, pihaknya menerima laporan daripada Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew yang mendakwa beliau difitnah dalam sebuah video tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, laporan itu diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun pada jam 2.17 pagi tadi.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dirinya difitnah wanita itu dalam video berdurasi 27 minit 56 saat yang dimuat naik di media sosial, Jumaat lalu.

“Laporan polis berkenaan dikategorikan ROR atau RLR (Refer to Other Report/Rujuk Laporan Lain) dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,”

– Superintendan Mohd Fairus Jaafar

Mohd Fairus berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian video tular di media sosial.

Katanya, jika didapati terdapat sebarang perlakuan menyalahi undang-undang, pihak polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Terdahulu, Ebit Lew yang baru tiba dari Jeddah dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan, beliau membuat satu laporan polis selepas mendakwa dirinya difitnah secara melampau, baru-baru ini.

Kes berkenaan juga akan diserahkan kepada pihak peguamnya untuk tindakan undang-undang dan beliau juga menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan lanjut. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sleeping Lion Suites Dibuka Secara Rasmi, ‘Bangkit’ di Tengah Bukit Bintang

Muslim Pro Meraikan 14 Tahun Perkhidmatan Dengan Webinar & Diskaun