in ,

Drama Terbaru di TV3 Naziha & Bukan Bidadari di Slot Zehra & Lestary

ANTARA BAHAGIA DAN DERITA
Naziha & Bukan Bidadari isi slot Zehra & Lestary

Wanita menjadi kuat dan berani apabila ia bersenjatakan kelemahannya. Itulah yang cuba digambarkan oleh dua drama terbaru yang bakal mengisi slot Zehra dan Lestary. Istimewa buat peminat drama TV3, slot Zehra yang membawakan konsep kerohanian bakal muncul dengan drama Naziha bermula pada 15 Jun 2012, setiap hari Jumaat jam 9 malam. Manakala slot Lestary yang sebelum ini terkenal dengan drama hit seperti Asmara, Cinta Elysa, Vanila Coklat dan 3 Janji, kali ini satu lagi drama baru pasti akan memikat hati penonton menerusi drama Bukan Bidadari yang bermula pada 19 Jun 2012, setiap hari Selasa jam 9 malam.

Drama Terbaru di TV3 Naziha & Bukan Bidadari di Slot Zehra & Lestary

Naziha yang diarahkan oleh Along Kamaruddin, memaparkan kisah Naziha yang terpaksa melalui pelbagai kesukaran dalam hidup hanya kerana memiliki wajah yang cantik. Sesungguhnya kecantikan itu satu anugerah yang di idamkan oleh setiap wanita tetapi malangnya ia menjadi beban kepada Naziha. Naziha terpaksa berkorban kasih terhadap Adam dan menempuh hidup yang getir di samping Farouk sebagai suami yang mengamalkan ilmu hitam. Drama bersiri 13 episod terbitan OrangeTree Production yang mendapatkan sentuhan skrip daripada Zarihah Hassan membariskan pelakon berbakat seperti Izara Aishah (Naziha), Ryzal Jaafar (Adam), Erry Putra (Farouk), Zain Saidin (Amri), Amar Baharin (Akmal), Nik Zaris Nellydya (Vina), Nadia Kesumawati (Fauziah), Dilla Ahmad (Latifah) dan Mustapha Kamal (Cikgu Nordin).

Saksikan juga drama Bukan Bidadari yang mendapat sentuhan sutradara Faisal Ishak di bawah penerbitan Filmscape Production dan skrip oleh Zuli Ismail yang menampilkan pelakon muda yang kini sedang menempa nama Nad Zainal (Inas), Azlee Khairi (Kamal), Shaarnaz Ahmad (Ariff), Sara Ali (Ayu), Fiza Halim (Suraya), Zuhairi Ibrahim (Ibrahim), Muniff Isa (Shidi), Azhar Sulaiman (Roy), Liza Zain (Hawa), dan Wan Raja (Ali). Drama bersiri 13 episod ini mengisahkan Inas yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran demi mengecapi sebuah kehidupan mewah. Namun takdir telah menemukan Inas dengan beberapa orang lelaki yang tidak berhati perut yang sanggup merosakkannya.

Zehra: Naziha
Naziha dikurniakan raut wajah yang amat cantik. Kejelitaannya menjadi pujaan kaum lelaki termasuk rakan lelaki yang sebaya dan juga yang telah dewasa. Naziha tidak mempunyai ramai kawan perempuan kerana mereka mencemburui kecantikan dan kepandaian yang dimiliki oleh Naziha. Meskipun digilai ramai lelaki namun Naziha tidak pernah melayan karenah mereka. Namun Farouk tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan Naziha.

Pada satu hari, Naziha yang sudah tidak dapat menahan desakan Farouk, telah memalukan Farouk di depan kawan-kawannya dengan mengatakan bahawa sampai mati dia tidak akan menerima cinta Farouk. Kata-kata yang dihamburkan oleh Naziha telah memalukan Farouk. Lantas Farouk berjanji akan mendapatkan Naziha tidak kira apa cara sekalipun.

Barisan Pelakon Bukan Bidadari Bersama Pengarah Faizal Ishak & Penulis Skrip Zuliana Ismail

Semakin lama semakin banyak masalah yang dilalui oleh Naziha. Pelbagai fitnah ditaburkan terhadapnya. Naziha sering meluahkan perasaan sedihnya pada rakan sepermainan sejak kecil iaitu Adam. Melihat kemesraan di antara Naziha dan Adam, membuatkan ibu bapa mereka berhajat untuk menyatukan mereka berdua. Namun beberapa hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan, hajat untuk menyatukan mereka berdua musnah dek kerana sebuah fitnah.

Farouk telah menawarkan diri untuk berkahwin dengan Naziha. Untuk menutup rasa malu, Naziha terpaksa berkahwin dengan Farouk. Bermulalah kehidupan Naziha sebagai seorang isteri yang sering diseksa fizikal dan mental oleh suami kejam yang mengamalkan ilmu hitam untuk menakluknya. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Adakah perkahwinan di antara Naziha dan Farouk menjadi titik noktah buat Naziha untuk mengecapi kebahagian? Adakah Adam akan kembali menebus maruahnya setelah difitnah atau muncul orang baru yang akan menyelamatkannya dari kekejaman Farouk?

Lestary: Bukan Bidadari
Inas, seorang gadis kaya yang mempunyai sikap manja dan sombong mendapati hidupnya menjadi tunggang langgang setelah kematian bapanya. Inas dan ibunya, Suraya resah apabila mengetahui arwah ayahnya mempunyai banyak hutang dan mereka tidak ditinggalkan sebarang harta untuk meneruskan kehidupan.

Tanpa arah tujuan, mereka pulang ke kampung Suraya dan tinggal bersama kakak Suraya, Hawa. Inas begitu benci akan kehidupannya di kampung dan menyalahkan ibu dan arwah bapanya atas tragedi yang telah menimpa dirinya. Namun, ada seorang pemuda di kampung yang bernama Kamal telah jatuh hati dengan Inas dan sanggup buat apa sahaja agar Inas bahagia hidup di kampung.

Nasib Inas tidak habis di situ apabila dia diperkosa oleh bekas teman lelakinya, Shidi yang datang mencarinya di kampung. Tidak lama kemudian, Inas mendapati dirinya mengandung. Kamal cuba untuk membantu Inas tetapi Inas terlalu degil demi mencapai cita-citanya untuk keluar daripada kampung itu dan mencari kebahagiaannya sendiri sehingga dia sanggup meninggalkan anak yang dilahirkan.

Sementara itu, semasa di Kuala Lumpur Inas telah bertemu dengan Arif, anak usahawan yang kacak dan berbudi pekerti. Akhirnya Inas berkahwin dengan Arif tanpa mendapatkan restu daripada ibunya. Malangnya, selepas berkahwin dengan putera hatinya, barulah dia sedar yang Arif seorang yang baran dan sering mendera emosi dan fizikal Inas.

Beberapa kali Inas cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya. Disebabkan tidak sanggup menerima seksaan oleh Arif, Inas telah mempelajari seni mempertahankan diri secara senyap-senyap. Akhirnya Inas berjaya melepaskan dirinya dengan membunuh Arif. Inas pulang ke kampung mencari ibunya dan Kamal. Namun hampa hatinya apabila mendapati Kamal sudah menjadi tunangan orang. Apakah nasib Inas seterusnya? Masih adakah peluang ke dua buatnya untuk bertakhta di dalam hati Kamal? Adakah benar Arif telah meninggal dunia seperti sangkaan Inas?

Penonton yang terlepas menyaksikan Naziha dan Bukan Bidadari boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter tv3malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Drama Terbaru di TV3 Naziha & Bukan Bidadari di Slot Zehra & Lestary

Drama Terbaru di TV3 Naziha & Bukan Bidadari di Slot Zehra & Lestary

Izara Aishah

Izara Aishah

Izara Aishah

Drama Terbaru di TV3 Naziha & Bukan Bidadari di Slot Zehra & Lestary

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

One Ping

  1. Pingback:

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Episod Terakhir Drama Lara Hati

Remy Ishak Masuk Wad Kerana Jangkitan Paru-Paru