in

Drama Taj Mahal Untuk Mama Khas Hari Ibu

Semarak Hari Ibu : Taj Mahal Untuk Mama Temui Penonton TV1

Kejayaan seorang ibu membesarkan anak masing-masing menjadi individu berguna dunia akhirat sememangnya boleh dijadikan kayu pengukur kepada keupayaan mereka mendidik zuriat sendiri. Seorang ibu pastinya mampu tersenyum bangga kiranya anak mereka antara seorang daripada sepuluh anak yang sanggup berkorban apa sahaja demi membahagiakan ibu tersayang.

Lalu dalam mengangkat golongan yang dimuliakan sempena sambutan Hari Ibu yang diraikan semua Mei ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot tontonan ramai, Panggung 1 membawakan jalan cerita pengorbanan mulia seorang anak terhadap ibunya yang pastinya mampu dicontohi golongan remaja di luar sana.

Taj Mahal Untuk Mama

Menemui penonton RTM pada 14 Mei 2011, jam 3.05 petang TV1, telemovie Taj Mahal Untuk Mama yang dibintangi Zed Zaidi, Ryzal Jaafar, Fetty Dzul, Rosnah Johari dan Memey Suhaiza ini mengangkat paparan kisah yang berkisar tentang kasih sayang seorang anak bernama Ajreena lakonan berkesan pelakon yang sedang meniti nama, Irma Hasmie terhadap ibunya yang dibawakan wataknya oleh pelakon veteran sensasi, Rosnah Mat Aris.

Ajreena bahagia tinggal bersama ibu dan juga adik lelakinya. Setelah usianya menginjak dewasa, Ajreena meniti hidup sebagai anak yang bukan sahaja berjaya dalam kerjayanya sebaliknya memiliki budi pekerti yang mulia sehingga sanggup berkorban apa saja demi melihat kebahagiaan ibunya yang tercinta.

Malah sebagai membuktikan keagungan kasih seorang anak terhadap ibunya, Ajreena sanggup menggadaikan keharmonian hubungan cinta dengan tunangnya sendiri.

Hingga satu ketika ujian Allah hadir mengundang dalam keluarga mereka apabila ibunya disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan memerlukan penderma segera untuk menyelamatkan nyawanya. Situasi itu cup membimbangkan Ajreena dan juga adiknya yang begitu mengharapkan ibu mereka pulih seperti sediakala.

Lalu Ajreena hadir dengan relanya berkorban mahu menyerahkan buah pinggangnya demi menyelamatkan nyawa ibunya itu. Tetapi hajatnya untuk menderma buah pinggangnya tidak kesampaian apabila Ajreena meninggal dunia dalam kemalangan ngeri.

Untuk mengetahui kesudahan kisah pengorbanan seorang anak ini, jangan ketinggalan menyaksikan Taj Mahal Untuk Mama terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd, pada 14 Mei 2011, jam 3.05 petang di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Muzzy Sanggup Berpanas Demi Peminat

Drama Gelora Di Hati Ibu Lakonan Norish Karman