in ,

Drama Sitkom Bersiri Terbaru After Class

Drama sitkom bersiri terbaru dari Saluran Ceria Anda

Adakalanya ibu bapa akan mula jemu tatkala tingal berseorangan apabila anak-anak mereka dewasa dan melanjutkan pelajaran sehingga ada juga yang mati kutu dibuatnya. Bagi mengurangkan perasaan bosan sesetengah ibu bapa mencari hobi baru untuk mengurangkan kesepian. Namun di dalam siri sitkom terbaru di ntv7 berjudul After Class, si ayah tahu bagaimana mengurangkan perasaan sunyinya dengan menyertai anak lelakinya melanjutkan pelajaran. Bermula 8 November ini, sitkom ini akan bersiaran setiap hari Khamis, jam 11 malam dengan jalan cerita yang pastinya menarik dan lucu.

L-R Thomas Kok &Amp; Leslie Chai

Siri sitkom 13 episod ini akan membariskan pelakon hebat yang juga mampu membuatkan para penontonnya tertawa seperti Leslie Chai yang baru sahaja memenangi Pelakon Lelaki Paling Popular di Golden Awards 2012, Thomas Kok, Jack Yap, Ernest Chong, Emily Chan, Sam Chin Neng dan Pauline Tan.

After Class menceritakan tentang Qing Feng yang berusia 36 tahun yang terpaksa melupakan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran apabila anak lelakinya lahir 20 tahun yang lalu. Bagi meneruskan impiannya, Qing Feng menyertai program siswazah di universiti yang sama dengan anaknya, Zhi Xin (Thomas). Lebih menarik lagi apabila mereka berdua di tempatkan di sebuah bilik asrama yang sama. Seperti hubungan ayah dan anak yang lain, mereka pastinya berhadapan pelbagai cabaran yang bakal menguji sejauh mana kekuatan hubungan keluarga mereka berdua.

L-R Thomas Kok, Ernest Chong, Sam Chin Neng, Jack Yap

Leslie juga terpaksa menambahkan berat badan bagi membawa wataknya sebagai seorang ayah dengan lebih berkesan. Membawakan watak sebagai Qing Feng, Leslie membawakan watak ayah yang penyayang dan berfikiran terbuka. Walaupun di usia 36 tahun, Qi Feng tetap mempunyai keazaman yang tinggi untuk berjaya dalam pelajarannya.

Seperti ayahnya, Zhi Xin meneruskan pelajarannya dalam bidang Pentadbiran Perniagaan juga mempunyai semangat yang tinggi namun tetap nakal sebagai anak muda. Zhi Xin juga kadangkala suka memberontak dan cuba hidup bebas dan mengejar segala keinginannya namun tetap berkongsi perasaan suka dukanya bersama ayahnya.

Sementara itu, rakan serumah Zhi Xin, Alex suka bersifat menunjuk-nunjuk untuk mendapatkan perhatian wanita. Namun dek kerana perangainya yang suka mencari masalah, dia juga dibenci orang sekelilingnya.

Ernest Chong, pelakon berbakat ini buat pertama kalinya memainkan watak dalam drama sitkom pastinya menambahkan lagi kelucuan yang sedia ada. Ernest akan memainkan watak sebagai Yong Fu yang bersikap materialistik dan mementingkan diri.

Pelakon wanita baru, Emily Chan juga akan membawa watak sulung dalam drama bergenre sitkom sebagai wanita yang kasar dan perwatakan lelaki. Emily membawakan watak sebagai Mei Bao yang jujur dan suka menggembirakan teman sekelilingnya. Setelah berkawan dengan Qing Feng, anda pasti akan melihat perubahan dalam wataknya nanti.

Berbeza dengan Mei Bao, Hui Hui (lakonan Pauline Tan) gemar melawa dan sering mendapat layanan manja keluarganya. Dia juga tidak suka melakukan kerja rumah dan suka melarikan diri apabila berhadapan masalah. Lebih teruk ialah Hui Hui mudah tersinggung.

Apa yang bakal terjadi apabila kesemua watak yang berlainan perwatakan ini menuntut dan bertemu di universiti yang sama? Saksikan kisah hidup dua beranak – Qing Feng dan Zhi Xin – yang bakal menempuh kehidupan sebagai siswazah di dalam After Class bermula 8 November ini, setiap hari Khamis jam 11 malam.

Layari www.ntv7.com.my untuk maklumat lanjut atau ikuti perkembangan ntv7 di Facebook dan Twitter.

L-R Emily Chan &Amp; Leslie Chai

L-R Leslie Chai, Thomas Kok, Sam Chin Neng, Ernest Chong, Jack Yap, Pauline Tan, Emily Chan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Terbaik Menarik Sempena Hari Raya Haji di TV3

U Mobile Anchors East Coast Presence With New Store