in , ,

Drama SIHIR Lakonan Kamal Adli & Hun Haqeem Tampil Sentuhan 4 Sutradara

Kamal Adli dan Hun Haqeem sahut cabaran duduk di kerusi pengarah dan sandang watak utama pada masa yang sama!

Drama rantaian ‘Sihir’ ialah sebuah naskhah asal terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd. berkisarkan tentang perkara syirik seperti amalan sihir dan santau yang bercanggah dengan ajaran Islam tetapi masih diamalkan secara berleluasa oleh segelintir masyarakat Melayu negara ini secara khususnya. 

Penceritaan drama menerusi paparan 20 episod ini menceritakan tentang pasangan kembar bernama Nuh dan Hud yang mempunyai kelebihan deria keenam. Watak Nuh, lakonan Kamal Adli mempunyai kebolehan untuk melihat masa depan menerusi mimpi. Manakala watak Hud lakonan Hun Haqeem pula memiliki hijab yang membolehkannya melihat perkara yang ghaib dan mistik.

Drama SIHIR Lakonan Kamal Adli &  Hun Haqeem Tampil Sentuhan 4 Sutradara

Idea asal drama ‘Sihir’ diilhamkan oleh pengarah prolifik Michael Ang, Syawal Azrai dan Srikandi Emma serta turut menyaksikan kolaborasi gabungan empat sutradara berbeza yang terdiri daripada Michael Ang dan Azmir Effendi, serta pelakon Kamal Adli dan Hun Haqeem. Selain duduk di kerusi pengarah, mereka berdua juga turut menyandang watak utama pada masa yang  sama. Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Michelle Yoon, Rahim Ramli, Qawiem Hamizan dan Mamu Vies.

Selain Kamal Adli dan Hun Haqeem, drama ‘Sihir’ turut diserikan dengan kehadiran nama-nama popular seperti Zarul Umbrella, Sharifah Shahora, Farah Ahmad, Zaryn Myn, Wan Ellyas, Fiza Thomas,Dr. Katalina, Mak Wan Latah, Dilla Ahmad serta ramai lagi.

Drama ‘Sihir’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 1 November 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro berkata,

“Walaupun kita kini sudahpun berada di zaman yang serba moden, kepercayaan dan kebergantungan segelintir masyarakat terhadap perkara khurafat yang melanggar akidah seperti sihir dan santau masih meluas dalam kehidupan seharian. Ini jelas dapat kita perhatikan menerusi pelbagai perkongsian yang membimbangkan terutamanya di media sosial.

Penceritaan naskhah ‘Sihir’ bakal memperincikan tentang tanda-tanda dan kerosakan akibat amalan sihir yang terpaksa ditanggung seperti kesakitan dan penderitaan daripada segi fizikal, mental atau rohani yang secara umumnya tidak dapat dikesan oleh perubatan moden yang canggih

Mesej utama yang ingin disampaikan menerusi naskhah ini ialah untuk memberi pendedahan tentang bahana amalan sihir sekaligus mendidik audiens supaya tidak sekali-kali terpengaruh dengan perkara yang khurafat seumpama ini.

Syabas saya ucapkan kepada pihak produksi kerana berjaya menyuntik kelainan untuk genre seram yang seringkali dianggap klise. Semoga anda terhibur dengan penceritaan kali ini.”  

Drama SIHIR Lakonan Kamal Adli &  Hun Haqeem Tampil Sentuhan 4 Sutradara

Michael Ang, Pengarah ‘SIHIR’ berkata,

“Drama Sihir menyaksikan kolaborasi empat pengarah yang bergabung untuk menyiapkan naskhah ini. Selain Azmir Effendi dan saya sendiri, hero utama iaitu Kamal Adli dan Hun Haqeem turut diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengarah buat pertama kali. 

Saya mengambil keputusan untuk mengangkat kedua-dua mereka untuk duduk di kerusi pengarah setelah mendengar banyak idea segar dan cadangan kreatif mengenai babak seram yang mereka utarakan sewaktu di set penggambaran. Kamal juga sebenarnya mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi mengenai kamera dan gemarkan drone. Walaupun baru berjinak-jinak dengan dunia pengarahan, hasil kerja yang mereka tunjukkan agak baik. Mereka amat berbakat dan mempunyai potensi yang besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. Berdasarkan prestasi mereka menerusi drama ini, mereka layak diberikan kredit yang sewajarnya sebagai pengarah baharu.

Daripada segi jalan cerita pula, kami cuba tampilkan kelainan unik berbanding drama-drama yang pernah diterbitkan sebelum ini kerana naskhah ‘Sihir’ lebih memfokuskan kepada kisah ‘bromance’ melibatkan pasangan kembar yang masing-masing mempunyai kebolehan berbeza berkaitan mistik. Walaupun masih ada elemen ‘love interest’, namun ia lebih tertumpu kepada perjalanan hidup mereka dalam menyelesaikan kes sihir yang wujud di Malaysia.

Saya berharap agar drama ini dapat mendedahkan masyarakat tentang amalan sihir yang sememangnya wujud di kalangan kita. Semoga semua terhibur.”

Drama SIHIR Lakonan Kamal Adli &  Hun Haqeem Tampil Sentuhan 4 Sutradara

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SIHIR’

Teraju utama, Kamal Adli dan Hun Haqeem yang memegang watak sebagai pasangan kembar bernama Nuh dan Hud dalam drama ini secara peribadi memang menggemari genre seram. Watak Nuh yang dilakonkan oleh Kamal Adli merupakan seorang yang mempunyai kebolehan untuk menerima sesuatu alamat atau petanda menerusi mimpi. Manakala watak Hud lakonan Hun Haqeem pula merupakan seorang yang mempunyai kelebihan dan hijab untuk melihat sebarang entiti seram dan perkara yang berkaitan dengan sihir.

Kamal dan Hun pernah terserempak dengan pontianak sewaktu hari ketiga berada di set penggambaran yang bertempat di sebuah ladang kelapa sawit. Namun begitu, tiada sebarang gangguan berkaitan perkara mistik di set berlaku sepanjang penggambaran dijalankan.

Kebanyakan kisah yang ditampilkan dalam drama ini adalah berkisarkan dengan angkara sihir. Manakala entiti seram atau hantu yang ditonjolkan pula bukanlah dalam bentuk visual wajah dan susuk fizikal yang menakutkan kerana ia lebih menfokuskan kepada penceritaan yang menyeramkan.

Skrip untuk drama ‘Sihir’ sudah dibuat sejak PKP 2.0 lagi dan mengambil masa lebih kurang empat bulan untuk disiapkan sepenuhnya sebelum penggambaran dijalankan.

Solekan kesan khas dan tata rias untuk drama seram ini turut mendapat sentuhan make-up artist atau MUA popular, Nisa Khan yang berjaya menghidupkan apa yang ingin dizahirkan oleh pengarah.

Baki penggambaran drama ‘Sihir’ masih lagi berjalan sehingga sekarang dan dijalan sekitar Negeri Sembilan iaitu Port Dickson dan Kota Warisan.

Drama SIHIR Lakonan Kamal Adli &  Hun Haqeem Tampil Sentuhan 4 Sutradara

PECAHAN WATAK DRAMA ‘SIHIR’

KAMAL ADLI sebagai Nuh

HUN HAQEEM sebagai Hud 

ZARUL UMBRELLA sebagai Ustaz Ayob

SHARIFAH SHAHORA sebagai Sahara

FARAH AHMAD sebagai Juanita

ZARYN MYN sebagai Cik Hilyah

WAN ELLYAS sebagai Wan

FIZA THOMAS sebagai Salina

DR. KATALINA sebagai Mila

MAK WAN LATAH sebagai Cik Munah

DILLA AHMAD sebagai Salmah

SINOPSIS DRAMA ‘SIHIR’

Nuh dan Hud merupakan pasangan kembar yang mempunyai deria keenam dan masing-masing dengan kelebihannya yang tersendiri. Mereka sering mendapat alamat daripada mimpi atau dengan melihat bayangan sebagai petunjuk kepada sesuatu perkara. Mereka dibelanggu persoalan untuk menjejaki asal usul mereka dan sepanjang perjalanan itu Nuh dan Hud dipertemukan dengan insan yang merana kerana sihir dan orang-orang yang mengamalkan ilmu sihir. Setiap kali mereka membantu, mereka sering merasakan semakin dekat dengan jawapan yang mereka cari. Satu persatu petunjuk dirungkai yang akhirnya membawa Nuh dan Hud untuk mengenali siapa diri mereka yang sebenarnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Shopee Jackie Chan

Menangi BMW 218i Grand Coupé M Sport di Jualan Hebat Shopee 11.11

Hos & Juri Dirombak, Format Asal SUARA VIRAL 2.0 Ditambahbaik Untuk Kekal Relevan