in ,

Drama Roda-Roda KL Lakonan Serina Redzuawan, Jalaluddin Hassan, Memey Suhaiza

DRAMA BERSIRI KEPOLISIAN, RODA-RODA KL (SIRI 2) KEMBALI DI TV2

Sambutan baik yang diterima daripada penonton terhadap drama bercorak kepolisian menerusi Roda-Roda KL yang mengangkat usaha murni anggota polis trafik dalam menggalas tugasan seharian mereka tahun lalu menyuntik idea untuk menyambung siarannya menerusi siri kedua drama terbitan syarikat gergasi Skop Production Sdn Bhd.

Justeru TV2 mulai April 2009 ini mengambil inisiatif menyiarkan Roda-Roda KL (Siri 2), setiap Rabu, jam 10.30 malam dengan mengetengahkan 13 episod-episod berbeza dan permulaannya tampil menerusi tajuk Ranjau Jalanan (3 episod) dan Gerhana (3 episod) yang pastinya mampu memberikan kesedaran dan pengajaran berguna kepada penonton seperti isu lesen memandu palsu dan samseng di kalangan Mat Rempit yang semakin berleluasa masa kini.

Menerusi Ranjau Jalanan penonton diajak berkongsi kemeriahan Unit Trafik yang diserikan lagi dengan kehadiran anggota baru, Kopral Karim yang diserapkan daripada cawangan trafik Selangor. Sifat Kopral Karim yang agak pendiam menjadikan dia dianggap penuh dengan misteri oleh anggota yang lain.

Sementara itu pihak polis trafik dan JPJ mendapat laporan tentang kes pemalsuan lesen memandu kenderaan di kalangan orang awam. Pelbagai taktik dilakukan oleh pihak sindiket supaya proses ujian memandu tidak perlu dijalani oleh orang awam yang ingin mendapatkan lesen dengan cepat dan mudah.

Amri seorang pengantara dalam sindiket tersebut giat mencari mangsa. Salah seorang pelanggannya adalah rakan kolej Syafiq. Syafiq seakan terpengaruh dengan rakan kolej yang sudah mempunyai lesen memandu tanpa menyedari mereka terlibat dalam kes jenayah.

Dalam masa yang sama, Kopral Karim mengalami masalah rumahtangga dengan isterinya Sofea. Sofea sering meluahkan rasa tidak puas hati dengan kehidupannya yang serba sederhana selama ini dengan Karim. Tanpa Karim sedari, Sofea kerap berjumpa dengan bekas kekasihnya Ezam ketika Karim sedang bekerja.

Pada masa sama polis trafik bedepan dengan pelbagai ragam dan karenah orang awam yang sering melakukan kesalahan jalanraya. Dalam pada itu Kopral Karim tertekan sejak ternampak isterinya Sofea bersama seorang lelaki yang tak dikenali dalan sebuah kereta. Sementara itu Amri semakin galak menjalankan kegiatan menjual lesen palsu kepada orang ramai. Kopral Karim yang cuba berbaik dengan isterinya kecewa apabila Sofea terus dingin terhadap dirinya.

Polis berjaya mengenal pasti dalang yang mengeluarkan lesen memandu palsu. tangkapan di buat bersama dua lagi lelaki yang terlibat. Dalam pada itu Syafiq di tahan Kopral Kamarul bersama rakan-rakannya yang memandu kereta dalam keadaan yang membahayakan. Kedua rakannya itu di tahan kerana memiliki lesen memandu palsu. Sarjan Manan terkejut apabila diberitahu anaknya turut terlibat. Sementara itu Korpal Kamarul semakin tertekan dengan sikap isterinya. Dia mula mengesyaki Sofea berlaku curang di belakangnya.

Manakala menerusi tajuk Gerhana pula mengetengahkan situasi cabaran di lalui anggota trafik semasa menjalankan tugasan mereka. Dalam satu kejadian seorang lelaki di pukul oleh empat orang Mat Rempit tapi mujurlah Sarjan Manan dan Kopral Kamarul sampai di tempat kejadian.

Ekoran dari itu polis cuba menjejaki mereka. Siasatan mendapati mereka adalah suspek yang di buru polis atas pelbagai kesalahan jalan raya. Dalam pada itu Kopral Karim semakin tertekan apabila sekali lagi ternampak isterinya Sofea dengan seorang lelaki.

Krisis rumahtangga bertambah buruk apabila Karim menuduh isterinya berlaku curang. Di tengah kekalutan inni dia diberi amaran oleh C/Insp Azman atas kecuaiannya dalam tugasan. Kopral Karim diberi amaran supaya memberikan perhatian pada tugasannya. Dalam masa yang sama, rumah tangganya terus bergolak.

Sementara itu lelaki yang menjadi mangsa pukul Mat Rempit berang melihat suspek masih bebas. Polis memperhebatkan operasi memburu Mat Rempit. Abu dan kuncu-kuncunya dapat meloloskan diri dalam satu operasi polis. Walaubagaimanapun dengan kerjasama Faizal, polis menjejaki suspek di satu lokasi. Dalam kejadian kejar mengejar itu Abu mendapat kemalangan tapi dia cuba bertindak ganas dengan melawan anggota trafik.

Abu bersama 3 rakannya yang terlibat dalam kes pukul dan lumba haram berjaya di berkas polis. Dalam pada itu Kopral Karim di nasihati agar tabah menghadapi kemelut rumah tangganya yang bergolak. Sarjan Manan pula tersinggung dengan sikap segelintir pengguna jalan raya yang menyalahkan polis trafik bila berlaku kesesakan jalanraya di waktu puncak. Di tengah kekalutan ini, Kopral Karim bertambah bingung apabila isterinya Sofea mahu menuntut cerai.

Lalu apakah tindakan yang diambil oleh Kopral Karim? Berjayakah dia menyelesaikan masalah peribadinya dan pada masa sama menunaikan tanggungjawabnya untuk menjadi seorang petugas trafik yang disegani kreadibilitinya? Segalanya bakal terjawab apabila anda meluangkan masa menonton Roda-Roda KL (Siri 2), setiap Rabu, jam 10.30 malam di TV2.

Roda-Roda KL membariskan pelakon Serina Redzuawan, Jalaluddin Hassan, Memey Suhaiza, Farid Amirul dan Roy Azman.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kisah Lagenda Bawang Merah Bawang Puteh Versi Lelaki Dalam Merah Putih

Sekitar Ujibakat Mentor Musim Ke-3 Bersama Awie