in ,

Drama Ramadan Tanpamu Dan Seharum Kasturi di TV1

2 DRAMA BERSIRI : RAMADAN TANPAMU DAN SEHARUM KASTURI BERSIARAN MULAI 24 OGOS 2009 DI TV1

Ramadan ini saluran TV1 yang tampil dengan tema ”Nikmat Ramadan di TV1” cuba menarik tumpuan penonton setianya salurannya meluangkan masa menonton siaran drama bersiri yang bukan sahaja menghiburkan malah plot ceritanya berbentuk penghayatan dan pengajaran yang berupa membentuk keperibadian khalayak tontonannya.

Sepanjang bulan Ramadan ini, pengikut setia saluran TV1 berpeluang menyaksikan dua drama bersiri bermutu, Ramadan Tanpamu (mulai 24 Ogos 2009), setiap Isnin hingga Jumaat, jam 5.05 petang dan Seharum Kasturi (mulai 24 Ogos 2009), setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.31 pagi.

Ramadan Tanpamu sarat dengan pengisian plot watak Sulaiman dan Balqis, pasangan suami isteri yang menetap di Kuala Lumpur bersama anak-anak mereka. Berpendapatan sederhana, mereka bekerja untuk mencari rezeki dan mereka tidak mempunyai orang gaji. Hanya beberapa minggu sebelum Ramadan menjelang, Balqis meninggal dunia akibat demam denggi dan Sulaiman kelam kabut hendak menguruskan keluarganya terutama kerenah anak-anaknya, Qasrina, Adam dan Yusuf yang berbagai-bagai.

Selepas ketiadaan Balqis, barulah Sulaiman sedar pengorbanan dan susah payah yang dilakukan oleh Balqis selama ini yang dia tidak pernah hargai dan ucapkan terima kasih walau sekali pun. Ketiadaan Balqis juga menjadikan Sulaiman lebih peka dengan anak-anak terutamanya Yusof yang dilihat mewarisi segala kebaikan ibunya. Cabaran paling utama adalah untuk menjadikan dirinya sebaik Balqis kepada anak-anaknya yang masih rindukan ibu mereka.

Bukan mudah untuk Sulaiman menjadi sebaik Balqis kerana selama ini Sulaiman sering memandang remeh tentang banyak perkara termasuklah hal-hal berkaitan agama. Mujurlah ada orang tua, rakan dan juga Yusof sendiri yang menyedarkan Sulaiman tentang banyak perkara yang selama ini tidak diendahkan. Bagaimanapun, hidayah datang kepada Sulaiman ketika penghujung Ramadan. Lalu bagaimanakah Sulaiman berdepan dengan situasi itu? Saksikan gandingan lakonan berkesan pelakon Hairie Othman, Lisdawati dan Afida S menerusi drama 20 episod ini.

Bermula pada tarikh sama turut disiarkan Slot Seharum Kasturi yang menemui penonton mulai 24 Ogos 2009, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.31 pagi di TV1 menampilkan tajuk dan kisah-kisah pengajaran berbeza sepanjang 16 episod siarannya. Namun slot ini menjanjikan plot cerita terbaik yang mampu mengundang perasaan insaf di hati segenap lapisan penonton terutamanya pada bulan puasa yang menjanjikan keberkatan ini.

Kisah Ke Pintu Syurga Ramadan yang diletakkan sebagai pembuka tirai slot ini pastinya mengundang keinsafan di hati penonton tentang kisah pengajaran sebuah keluarga yang dilimpahi kesenangan oleh Allah tetapi mereka seringkali terlupa mencukupkan amal yang wajib terutama melibatkan soal solat. Kehidupan Mat Jiwa dan isterinya, Fatimah yang begitu gembira apabila perniagaan mereka di bazaar Ramadan menguntungkan tiba-tiba berubah setelah Mat Jiwa jatuh sakit dan disahkan dijangkiti kuman dalam paru-parunya. Namun bagaimanakah penerimaan Fatimah? Adakah dia benar-benar redha dan insaf dengan takdir menimpa suaminya yang berlaku pada bulan Ramadan tahun itu?Ke Pintu Syurga Ramadan menyaksikan lakonan berkesan Shahrul Kamal, Farisha Irwayu, Akila Malik dan Sheikh Bolkish.

Kemudiannya menyusul episod bertajuk Kemanisan Laila lakonan Jasmin Hamid dan Ady Putra ini mengisahkan konflik dan pergolakan dalam diri wanita bernama Laila yang masih belum berumah tangga meskipun usianya menginjak 40an. Kepulangannya semula ke kampung halamannya sempena bulan Ramadan telah menimbulkan cakap-cakap dan fitnah kurang menyenangkan daripada masyarakat kampung yang menuduhnya melakukan pekerjaan tidak senonoh di luar negara.Tambahan pula lelaki yang pernah ditolak cintanya oleh Laila iaitu Mazlan menimbulkan fitnah hingga tergamak mahu memperkosa Laila. Begitu pun kemunculan kanak-kanak bernama Juma merubah pendirian Laila supaya tabah memperjuangkan kebenaran di pihaknya.

Kepada golongan remaja pula pastikan tidak melepaskan peluang menyaksikan episod Tadarus Pertama yang mampu menghadirkan keinsafan di hati remaja bernama Hamka yang terkenal dengan kenakalannya. Berbeza dengan adiknya, Kamar yang baik tingkahlaku serta patuh kepada ibu bapanya. Tingkah Hamka hari demi hari semakin melampaui batas kerana bukan sahaja tidak mahu menunaikan solat Terawih dan bertadarus Al-Quran sepanjang Ramadan sebaliknya mempersendakan niat baik keluarganya membantu jiran yang ditimpa kesusahan akibat ribut yang melanda kampung mereka. Apakah kesudahan jalan hidup Hamka? Saksikan kesudahan episod Tadarus Pertama yang meletakkan Pekin, Kismah Johar dan Bell Ngasri sebagai watak utamanya ini. Sebelum seterusnya menyusul kisah Musafir Abadi yang dilakonkan watak utamanya oleh Salleh Yaacob dan Danny X Factor membawakan kisah lelaki yang suka ponteng puasa akhirnya tertangkap dan malu sendiri dengan sikapnya itu.

Realitinya kisah-kisah yang dipaparkan ini berlaku dalam kehidupan masyarakat kita sekarang termasuklah soal mengumpat, suka bermegah diri, mengabaikan ibadah terutamanya dalam bulan Ramadan yang sepatutnya diisi dengan aktiviti bermanfaat bukan sekadar menahan lapar semata-mata.

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Majalah 3 Papar Merdeka Dalam Darurat

Aizat, Butterfly, Fauziah Ahmad Daud di Rakaman Melodi Raya 2009