in

Majalah 3 Papar Merdeka Dalam Darurat

MAJALAH 3 PAPAR ‘MERDEKA DALAM DARURAT’ SEMPENA HARI MERDEKA

Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-52 tahun, Majalah 3 istimewa siaran Merdeka akan membawa penonton melihat kembali sejarah ketika bermulanya darurat pada 1948. Apabila tercetusnya darurat, British menggerakkan tenteranya untuk memburu sesiapa sahaja yang terbabit dalam gerakan kiri menentang kuasa kolonial. Biarpun telah merdeka pada 1957, negara masih berada dalam ancaman komunis.

Majalah 3 kemudian menyingkap zaman kebangkitan komunis pada 1968 sehingga 1989, sebelum pihak komunis sebulat suara berdamai melalui perjanjian perdamaian di Haadyai pada tahun tersebut.

Di sebalik perdamaian pihak gerila itu dengan kerajaan Malaysia, ada individu menjadi orang tengah yang menyumbang kepada kejayaan perdamaian tersebut. Biarpun namanya tidak diuar-uarkan di mana-mana buku sejarah, jasa dan pengorbanannya perlu diketahui generasi kini.

Majalah 3 berpeluang menemui individu terbabit, Tuan Hj Mokhtar Mahmud Baginda, 72 tahun, yang kini menetap di Kuantan Pahang. Jejak kasih antara Mokhtar dan kakaknya, Siti Nurkiah, yang terpisah lebih 40 tahun membawa kepada bibit-bibit perdamaian pada bermula 1984.

Nurkiah, 91 tahun, antara orang melayu terbabit dengan gerakan kiri AWAS di Pahang. Ketika darurat, mereka diburu pihak British namun terselamat kerana berjaya melarikan diri ke dalam hutan. Demi keselamatan diri, mereka menjadi ahli Rejimen Ke-10 yang dikenali sebagai kumpulan komunis melayu paling berpengaruh di dalam rejimen-rejimen komunis yang lain.

Siapakah Rejimen Ke-10 itu? Bagaimanakah Tuan Haji Mokhtar berjaya menarik pihak komunis terbabit untuk berdamai? Sedangkan Rundingan Damai Baling yang pernah dibuat bersama Tunku Abdul Rahman, antara Chin Peng, Rashid Maidin pada 1955 gagal…

Bersama Nurul Syuhada Nurul Ain, semuanya akan dipaparkan dalam Majalah 3 siaran 29 Ogos 2009, jam 9.00 malam mengimbau 20 tahun perdamaian komunis dengan kerajaan Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lagu Kelibat Si Penyair Jadi Taruhan Azlan & The Typewriter

Drama Ramadan Tanpamu Dan Seharum Kasturi di TV1