in

Drama Panggung RTM SANGEETHA

SLOT ISTIMEWA AIDILFITRI HIDANGKAN DRAMA PANGGUNG, SANGEETHA PADA 03 OKTOBER 2008 DI RTM2

Dalam kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut seluruh umat Islam di negara kita, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sememangnya tidak pernah gagal menyajikan rangkaian drama-drama terbaiknya cuba menonjolkan kelainan dengan menyiarkan sebuah drama berbahasa Melayu yang dibawakan kebanyakan wataknya oleh pelakon India tempatan.

Drama Panggung RTM, Sangeetha yang menemui penonton slot Istimewa Aidilfitri pada  03 Oktober 2008 (Jumaat) jam 10.00 pagi menerusi RTM2 ini diangkat sebagai hadiah kepada penonton setia RTM yang terdiri daripada pelbagai kaum istimewa sempena sambutan lebaran yang diraikan setahun sekali ini.

2889442672 Bb8D0F783C | 4

Sangeetha mengisahkan watak wanita berusia 80 tahun bernama Sangeetha yang sudah lima tahun kematian suaminya, Viralal yang meninggal akibat diserang sakit jantung. Kesepian mencengkam dirinya setiap hari, lebih-lebih lagi kerana mereka tidak dikurniakan zuriat. Dia juga tidak mempunyai keluarga lain, setelah Meena, adiknya sendiri cuba merosakkan rumah tangganya.
 
Satu-satunya orang yang dipercayai dan berhubungan dengan Sangeetha secara langsung ialah Derus, posmen pencen berumur 70 tahun yang telah bekerja dengan Viralal sejak sekian lama. Khidmat dan bakti Derus kepada keluarga itu sangatlah besar. Malah, mereka telah menganggap Derus sebagai keluarga sendiri.

Selain daripada menjadi tukang sapu sampah di rumah Sangeetha, Derus juga kadang-kadang berkhidmat sebagai pemandu peribadi kepada janda itu.  

Kesepian dan keseorangan Sangeetha membuatkan dia akhirnya memberikan perhatian kepada Derus. Setiap hari dia menantikan kedatangan Derus ke rumahnya untuk melakukan kerja-kerja rutin. Ini termasuklah membersihkan sangkar merbuk dan memandikan burung itu. Kehadiran Derus ke rumah itu sebenarnya lebih banyak mengubat kesepian Sangeetha.

Secara tidak sedar, Derus yang masih bujang itu juga sebenarnya memendam perasaan yang sukar untuk dijelaskan terhadap Sangeetha. Tetapi dia tidak pernah melahirkannya, baik secara lisan atau melalui perlakuan. Demikian juga dengan Sangeetha. Perasaan mereka lebih banyak tercurah melalui alat muzik yang dimainkan – Sangeetha dengan tabla dan dagganya dan Derus dengan gambusnya.
 
Apabila Meena tiba-tiba muncul semula dan tinggal di rumah Sangeetha, Derus tertekan kerana berasakan dirinya seperti tidak diperlukan lagi. Dia tidak lagi pergi ke rumah Sangeetha sekerap dahulu dan ini sebenarnya semakin meresahkan Sangeetha. Derus seperti merajuk dan memakan hati, walaupun ingatannya pada Sangeetha tetap kental. Akibatnya, Sangeetha jatuh sakit dan nazak.
 
Setelah dirayu oleh Meena sendiri, Derus akhirnya datang ke rumah Sangeetha untuk membantu memulihkan perempuan tua itu.

Dapatkah Sangeetha kembali pulih? Atau ajal lebih dahulu datang menjemputnya sebelum berjaya disatukan dengan Derus?

Untuk mengetahui kesudahannya, jangan lupa janji temu anda menyaksikan Drama Panggung RTM, Sangeetha yang menemui penonton pada  03 Oktober 2008 (Jumaat) jam 10.00 pagi menerusi RTM2.
 
Sangeetha menyaksikan penghayatan watak berkesan dibawakan oleh Eagavalli Nayagi Ammal, Jalil Hamid, Kalaiselvy, Ramasundram, Rahim Omar dan Gandhii Nathen arahan Kamarudin Ambak.

2888609839 039946Ddaf | 5

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Quotes of the day: Pierre Andre Dibomoh Maya Darina?

ZIARAH LEBARAN DI RTM