in

Drama Kerana Dosa Lakonan Erry Putra, Ros Iskandar

KERANA DOSA ITU SLOT PANGGUNG 1 PADA 08 NOVEMBER 2008 DI RTM1

Kepada peminat setia pelakon lelaki yang sedang meningkat naik, Erry Putra jangan ketinggalan menyaksikan drama menarik Kerana Dosa Itu pada hari Sabtu (08 November 2008), jam 3.05 petang mengisi slot Panggung 1 di RTM1 yang menampilkannya sebagai watak utama bergandingan dengan Shahrudin Thamby, Ros Iskandar dan Jessie Lim menghidupkan drama terbitan World Evolution Brain (M) Sdn Bhd ini.

Kerana Dosa Itu mengajak penonton menghayati perjalanan kisah pelajar Malaysia di London, Adam Mansur, terperanjat apabila dia terjaga dari tidurnya dan mendapati bahawa dirinya tidak berbaju dan terbaring pula di sebelah seorang perempuan yang berselimut. Apabila dia mengamati wajah perempuan berkenaan, dia kelu tidak terkata apabila mendapati bahawa ianya adalah sepupunya sendiri, yakni Sofea Murshid, yang juga belajar di universiti yang sama dengannya.

Semenjak kejadian itu, Adam difitnah sebagai seorang penzina. Adam sendiri menyangka bahawa dia memang telah berzina dengan sepupunya sendiri. Disebabkan tidak sanggup menanggung malu, Adam tidak pulang ke Malaysia. Pada masa yang sama, kawan karibnya, Lee, menawarkan kesanggupannya untuk memperisterikan Sofea, demi persahabatannya dengan Adam.

25 tahun kemudiannya, Adam Mansur telah 25 tahun bekerja di perantauan menerima emel yang mengatakan bahawa kawan karibnya, Nazri Abdullah baru meninggal dunia. Tanpa berfikir panjang, Adam segera pulang ke Malaysia. Dia teringat akan pesan arwah Nazri yang memintanya menjaga keluarganya apabila dia meninggal dunia.

Adam Mansur pulang ke Kuala Lumpur, Malaysia dan terus menuju ke rumah arwah Nazri yang mana majlis tahlil sedang diadakan. Walau bagaimanapun, kehadirannya sesungguhnya tidak disenangi oleh saudara mara, terutamanya anak tunggal Sofea, iaitu Aizad. Nasib Adam bertambah malang apabila ayahnya sendiri, Mansur Isa juga tidak menerimanya dan tidak membenarkannya tinggal di rumahnya sendiri. Disebabkan situasi itu, Adam terpaksa menyewa rumah di tempat lain.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, Adam tidak melupakan amanat arwah Nazri padanya. Dia tidak membuang masa dan terus menyatakan hasratnya kepada Sofea, yakni untuk memperisterikannya. Nawaitu Adam itu sememangnya dilarang keras oleh anak Sofea, iaitu Aizad yang berang dan berdendam dengan Adam kerana tidak mahu bertanggungjawab sebagai seorang ayah. Adam dianggapnya sebagai pengecut yang cuba bersembunyi di negara orang.

Pelbagai cara digunakan oleh Aizad untuk menakut-nakutkan Adam, antaranya dengan memberi amaran. Adam tidak berputus asa kerana dia berasa menyesal atas perbuatannya yang tidak mahu bertanggungjawab atas keterlanjuran yang dilakukan. Selain memenuhi permintaan arwah Nazri, Adam juga ingin menebus segala dosa-dosanya.

Semasa Adam membawa Sofea dan Aizad pergi bercuti di Port Dickson, hubungan Adam dengan Aizad bertambah baik. Malangnya, sedang mereka berdua memancing di tepi pantai, mata kail pancing Adam secara tidak sengaja terkena pada pipi Aizad, mengakibatkannya berdarah. Insiden itu menyebabkan hubungan mereka berdua kembali tegang dan Aizad langsung memaksa Sofea untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Kemarahan yang makin meluap-luap menyebabkan Aizad mengupah samseng untuk memukul Adam. Adam bernasib baik kerana dua orang pemuda telah menyelamatkannya. Disebabkan kecederaannya yang tidak begitu serius, Adam hanya dihantar untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik, yang mana di situ dia mengenali seorang jururawat bernama Amni Azlan. Sebagai penghargaan, Adam menjamu pemuda-pemuda yang menyelamatkannya dan juga Amni di sebuah restoran. Semasa itulah dia menceritakan mengenai kisah hidupnya dan mengenai Aizad yang mengupah samseng-samseng berkenaan. Secara kebetulan, salah seorang pemuda yang menyelamatkannya adalah pelanggan syarikat perabot Aizad, iaitu Ramlan Mohd. Ramlan Mohd. yang marah dengan perbuatan Aizad terus membatalkan kontaknya dengan syarikat terbabit.

Di majlis akad nikah tersebut, Adam telah muntah darah disebabkan santau yang telah sebati dengan tubuh badannya. Walaupun dibawa ke hospital dengan segera, Adam tidak dapat diselamatkan. Beberapa hari kemudian, selepas pulang dari menziarahi kubur Adam, Aizad menjumpai sebuah buku. Buku itu adalah diari ayah tirinya, Nazri Abdullah. Selepas membaca salah satu halaman diari itu, Aizad berasa bahawa seluruh dunia telah musnah dan jiwanya meruntun kegalauan.

Siapakah sebenarnya bapa kandung Aizad? Masihkah ada ruang untuk Aizad menebus dosa yang dilakukan kepada Adam yang sememangnya tidak bersalah? Jangan ketinggalan menyaksikan kesudahan Kerana Dosa Itu pada Sabtu (08 November 2008), jam 3.05 petang mengisi slot Panggung 1 di RTM1. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

DRAMA JUANNA LAKONAN SARI YANTI, ASHRAF MUSLIM, MARISSA YASMIN

Abby Abadi Tidak Kisah Jika Norman Nak Kahwin Dengan Memey