in ,

Drama Jam Lif Ke Cinta Lakonan Jue Aziz & Pekin

Kepentingan Menghargai Masa Diangkat Drama Khas Hari Pekerja : Jam Lif Ke Cinta Pada 1 Mei Ini di RTM

‘Masa’ itu hanya angka. Ia lebih bermakna apabila kita faham dan hayati segala nikmat yang kita terima dan tanggunjawab kita dalam detik yang terus bergerak. Menyedari kepentingan itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam meraikan Hari Pekerja tahun ini menyiarkan drama yang mengangkat kesedaran masyarakat tentang isu ini sekaligus menyuntik keprihatinan semua supaya menghargai masa.

Babak dalam Jam, Lif ke Cinta

Dijayakan watak-watak utamanya oleh pelakon Jue Aziz dan Pekin, drama Jam Lif Ke Cinta yang menemui penonton pada 1 Mei 2011 (Ahad), jam 4.00 petang di TV2 ini mengetengahkan plot kisah berlaku dalam diri gadis bernama Idora yang begitu ‘obses’ dengan jam dalam melaksanakan rutin seharian dalam hidupnya. Idora begitu bergantung kepada jam dan memastikan dirinya mengikut masa yang telah ditetapkan tanpa gagal. Begitu pun kehadiran pemuda bernama Ihsan telah berjaya mengubah prinsip hidupnya itu. Hakikatnya dia tidak perlu begitu bergantung kepada jam semata-mata tetapi menggunakan waktu sebaiknya untuk memastikan kehidupan sehariannya di atur dengan pengisian yang bermakna.

Plot drama ini bermula dengan kisah Idora yang baru dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Pemasaran ke ibu pejabat Syarikat Sinergi Unggul Sdn.Bhd di Kuala Lumpur. Pelantikannya tidak disenangi oleh Kamal, pengurus di bahagian pentadbiran kerana sikap tegas dan amanah Idora yang sudah dibualkan oleh para pekerja sebelum Idora tiba. Syarikat tempat mereka bekerja adalah syarikat perisian perkomputeran dan teknologi maklumat yang terkenal bukan saja di Malaysia tetapi juga di Asia. Pemilik syarikat ini adalah Dato’ Halil, bapa saudara Idora.

Idora diberi kepercayaan untuk bekerja di syarikat Dato’ Halil namun bermula dengan jawatan kecil dahulu. Mengikut prinsip Dato’ Halil, untuk menjadi majikan besar yang terbaik adalah apabila dia tahu setiap perkara di dalam syarikat dan mengalami sendiri pengalaman menjadi seorang pekerja dahulu. Semasa Idora di Perak, dia telah membanteras kes rasuah di syarikat bapa saudaranya itu. Sikap ini disenangi oleh Dato’ Halil. Apabila Dato’ Halil merasakan ada sesuatu yang tidak kena di ibu pejabatnya, dia tukarkan Idora bekerja di ibu pejabat sebagai pengurus.

Di ibu pejabat Sinergi Unggul, wujud Ihsan seorang lulusan universiti di dalam pengurusan perniagaan tetapi agak sukar mendapatkan pekerjaan setelah keluar dari universiti. Dia bekerja sementara sebagai budak penghantar surat di situ. Dato’ Halil juga amat senang dengan cara Ihsan yang ramah dan rajin dan seakan melihat kesungguhan Ihsan seperti semasa beliau muda dan masih belum kaya seperti sekarang.

Dalam masa yang sama, Ihsan sering bertembung dengan Idora di dalam lif, namun keramahan Ihsan tidak begitu disenangi oleh Idora. Ini kerana Ihsan sering mengusik dengan menyindirnya. Idora ada kerenah manisnya yang sering diusik Ihsan iaitu, dia amat pentingkan ketepatan masa. Jam tangan dan jam di pejabatnya menjadi amat penting. Andai tiada jam di sisinya dia boleh menjadi kalut tidak tentu hala. Pelbagai insiden lucu dan manis berlaku apabila mereka bersua muka. Adakala salah faham juga berlaku apabila Ihsan menghantar surat ke meja Idora.

Dalam diam, Kamal sudah berpakat dengan sebuah syarikat luar negara untuk menjual formula baru perisian komputer yang direka oleh Sinergi Unggul. Hal ini lama kelamaan sampai ke telinga Ihsan. Ihsan cari jalan untuk maklumkan kepada Idora namun Idora yang sering persimis terhadap Ihsan, tidak terlalu endahkan maklumat tersebut.

Ihsan siasat sendiri dan kumpul bukti. Kamal pula cuba mencuri hati Idora sungguhpun dia bukanlah benar-benar suka pada Idora. Dia ingin memastikan Idora leka dan tidak sangsi padanya dan dia dapat mendekatkan diri dengan Dato’ Halil. Bagi sengaja menyakitkan hati Ihsan, Idora melayan pelawaan Kamal. Maka apabila Ihsan hendak beritahu hal konspirasi Kamal, Idora merasakan Ihsan cemburu.

Dato’ Halil mengupah Ihsan menjadi pegawai audit dalamannya buat sementara tetapi Ihsan akan masih menyamar sebagai budak penghantar surat untuk mengumpul maklumat. Lalu apakah kesudahannya? Apakah rahsia Kamal akan terbongkar? Turut membintangi drama menarik ini adalah Dato’ Rahim Razali, Muhammad Shafris dan Aida Radzwil.

Bergandingan...Jue Aziz dan Pekin Ibrahim membawakan watak utama dalam drama ini

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Bunga Rampai Musim Tengkujuh

The Avengers Marvel Studios