in ,

Drama Bersiri Tok Ayah

Gandingan Uji Rashid Dan Hisham Ahmad Tajuddin Dalam Drama Bersiri Tok Ayah di TV1

Gelaran Tok Ayah dilihat dekat dengan golongan individu yang dipandang tinggi oleh kelompok masyarakat setempat. Daripada ilmu agama mahu pun akhlak mulia yang ditonjolkan membuatkan dirinya dipilih menjadi pemimpin. Namun lumrah dunia tidak semua orang akan menerimanya dengan hati terbuka. Perasaan hasat dengki masih wujud dalam diri segelintir manusia tanpa mengira ikatan persaudaraan.

babak dalam Tok Ayah

Begitu juga kisah melatari drama rantaian terbaharu di RTM yang telah pun mula menemui penonton sejak 17 April lalu. Drama bertajuk Tok Ayah yang disiarkan mengisi slot Cindai setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.05 petang di TV1 ini meletakkan kepercayaan kepada pelakon Hisham Ahmad Tajuddin membawakan watak Tok Ayah selain turut dibantu oleh Uji Rashid, Shaharuddin Thamby, Cico Harahap, Heryanto Hassan dan Asmat Sulaiman.

13 episod drama ini mengisahkan Tok Ayah yang telah dilantik menjadi ketua keluarganya yang besar. Walaupun ada yang tidak setuju perlantikannya, namun rata-rata mahukan dia memimpin keluarga. Tok Ayah telah banyak membuat perubahan bagi pembaikan keluarganya. Bisnes keluarga bertambah baik, hubungan dengan jiran-jiran menjadi bertambah akrab dan ramai ahli keluarga yang menganggur kini bekerja dengan perusahaan keluarga.

Tok Ayah telah mengambil Imran seorang penuntut universiti yang miskin sebagai anak angkat kerana memandang bakatnya yang baik dan pelajarannya yang maju. Sobri seorang lagi anak angkat Tok Ayah tidak berapa suka dengan kehadiran Imran. Tetapi Imran pandai mengambil hati Tok Ayah.

Tok Su Leh tidak setujunya perlantikan Tok Ayah kepada Lebai Haji yang sama berpendapat dengannya. Mereka membuat komplot untuk menjatuh dan menyingkirkan Tok Ayah dari keluarga itu. Apa saja yang Tok Ayah buat tidak disetujuinya. Apatah lagi bila mengetahui Tok Ayah mengambil Imran sebagai anak angkat. Disebabkan desakan dan tekanan yang terlalu tinggi, Tok Ayah diserang sakit jantung.

Komplot menjatuhkan Tok Ayah dilakukan oleh Tok Su Leh dan Lebai Haji. Imran semakin sombong kerana merasakan dirinya lebih disayangi oleh Tok Ayah. Dia berbaik-baik dengan Tuan John yang sebenarnya mempunyai muslihat mendekati Imran untuk mendapatkan semula ladang getah dan kebun kelapa sawit yang telah dijual oleh ayahnya, David kepada Tok Ayah. Imran mudah termakan hasutan Tuan John yang akhirnya membuatkan Tok Ayah putus asa mahu mengasihatinya.

Sikap bongkak Imran semakin menjadi-jadi dan dia menggelarkan Sobri sebagai anak Komunis kerana latar belakang ayahnya yang pernah bekerja dengan Komunis dan kini merengkok di penjara. Sobri hanya mampu bersabar dan percaya tiada gunanya mereka bermusuh.

Kemuncaknya apabila Imran meminjam berjuta ringgit daripada Tuan John menggunakan nama Tok Ayah. Tok Ayah hilang sabar lalu menarik balik segala kemewahan yang diberikan kepada anak angkatnya itu. Imran tidak puas hati.

Kesempatan itu digunakan oleh Tok Su Leh dan Lebai Haji bersama-sama dengan Imran cuba menjatuhkan Tok Ayah. Pelbagai cara dilakukan mereka untuk melaksanakan hasrat tersebut.

Namun satu malam Tok Ayah telah diserang hingga mengakibatkan nyawanya hampir melayang. Siapakah dalang yang terlibat mahu membunuh Tok Ayah? Adakah serangan itu daripada individu yang dikenalinya? Saksikan kesudahan drama bersiri kekeluargaan penuh babak mendebarkan ini hanya di TV1.

babak dalam Tok Ayah 5

babak dalam Tok Ayah 4

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review Hotel Festival Citylink Bandung

Karnival Gempak Bah