in , ,

Drama Bersiri SYAHADAT CINTA Lakonan Aliff Hadi

Bergelar bekas banduan membuatkan dirinya terpalit dengan gelaran itu seumur hidup. Bukan sedikit ujian yang perlu ditempuhi wanita gigih yang cekal meneruskan kelangsungan hidup demi membesarkan tiga orang anaknya. Dia nekad mahu mengubah jalan hidupnya menjadi usahawan berjaya dan dibanggakan semua.

Watak ini dihidupkan pelakon berpengalaman, Sherie Merlis dalam drama bersiri bertajuk SYAHADAT CINTA disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 28 Januari lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 1.00 tengah hari di TV2.

26 episod yang memberi inspirasi kepada golongan wanita untuk terus berjaya ini turut menampilkan pelakon Ezzaty Abdullah, Aliff Hadi, Nurul Ain Tay, Taufik Hanafi, Roy Azman, Watie Sadali, Zila Bakarin, Hafizuddin Fadzil. 

Watak Lakonan Ezzaty Abdullah Dan Aliff Hadi

Wanita Bekas Banduan Gigih Majukan Diri Dalam 26 Episod SYAHADAT CINTA di TV2 

Sakinah tertekan dengan sikap suaminya, Safi yang ingin berkahwin dengan wanita lain iaitu Norsiah. Tekanan itu menyebabkan dia gagal berfikir dengan waras dan memandu laju yang kemudiannya menyebabkan dia terlibat dengan kemalangan yang meragut nyawa. Dia terpaksa menerima hukuman penjara tiga tahun. Tiga anaknya, Sarah, Yom dan Emran dijaga oleh Safi dan Norsiah. Malangnya mereka didera oleh Norsiah dan Sakinah pula diceraikan oleh Sufi.

Sarah anaknya yang sudah remaja mula memberontak. Dia bercinta dengan rakan sekolahnya, Aidil. Begitu pun hubungan mereka tidak direstui oleh, Haton ibu Aidil yang menyindir Sarah anak banduan. Aidil kemudiannya mengajak Sarah kahwin lari setelah keluarganya tidak setuju mereka berkahwin. 

Setelah dibebaskan Sakinah berusaha mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya. Namun malangnya dia dihantui Akmal, yang telah kehilangan orang tersayang akibat dilanggar Sakinah. Dia mengugut Sakinah membayar wang pampasan kepadanya dan memberi tempoh kepada Sakinah mencari duit.

Keluarga Aidil menghantarnya bersekolah di Sarawak untuk memisahkannya dengan Sarah. Sakinah memujuk Sarah menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Aidil pula di sana berkawan dengan sepupunya, Dayang namun masih teringatkan Sarah.

Sakinah ditawarkan kerja namun terpaksa menolaknya kerana tidak mahu timbul salah faham isteri kepada Haji Yeop yang menawarkannya kerja. Apatahlagi dengan status ibu tunggalnya.

Pertemuan Sakinah dengan Kak Timah, rakan sewaktu di penjara dulu yang kini sudah menjadi pengusaha ladang berjaya. Dia terinspirasi dengan kejayaan Kak Timah. Hasrat Sakinah untuk membuka tanah hutan untuk dijadikang ladang ditentang abangnya, Nasir.

Begitu pun Sakinah nekad dan membawa anak-anaknya bersama. Walaupun pada mulanya anak-anaknya mengambil masa menyesuaikan diri namun akhirnya mereka redha.

Sakinah banyak mendapat bantuan daripada Kak Timah dan anaknya, Mohsin. Kehadiran guru sekolah Emran, Cikgu Helmi ke Kg. Syahadat juga banyak membantu keluarga itu.

Sakinah mula menanam di ladangnya. Mohsin mula menyukai Sarah dan membantu selok belok mengusahakan tanaman kepada Sakinah. 

Cikgu Helmi berterus-terang sukakan Sakinah tanpa mengetahui Sarah juga meminatinya. Aidil secara senyap menukarkan tempat pengajiannya ke universiti yang sama dengan Sarah untuk memujuk gadis itu. Malangnya Sarah menolak kerana hatinya berjaya dicuri Cikgu Helmi.

Abdullah, yang melakukan kegiatan haram di hutan cuba menakut-nakutkan Sakinah dan pekerja-pekerjanya. Begitu juga dengan Mohsin yang diugut untuk dicederakan oleh Abdullah.

Cikgu Helmi setuju meminang Sakinah. Sarah pula salah faham menyangkakan Cikgu Helmi memilihnya. Mohsin pula meminta ibunya menjodohkannya dengan Sarah. Kak Timah serba salah kerana sedar kekurang Mohsin yang tidak berpelajaran berbanding dengan Sarah.

Satu hari ketika berkelah, Emran telah dipatuk ular tedung dan meninggal dunia. Sakinah tertekan hingga hilang ingatan. Cikgu Helmi dan Sarah cuba mengubati Sakinah. Pelbagai usaha dilakukan mereka. Satu hari Sarah menjumpai bukti ibunya sedang bercinta dengan Cikgu Helmi.

Sarah kecewa dan cuba mengubati hatinya. Apatlagi bila Cikgu Helmi sendiri menyatakan keikhlasan hatinya mahu mengahwini Sakinah meskipun hubungan mereka tidak direstui keluarga Cikgu Helmi.

Sementara itu Mohsin yang terhidu niat jahat Akmal telah mengambil tindakan membunuh lelaki itu dan melupuskan buktinya. Dia akhirnya ditangkap polis dan dipenjarakan.

Kak Timah yang kecewa dengan peristiwa dihadapi anaknya mengalami tekanan emosi. Sakinah yang telah pulih semangatnya mengambil alih urusan perladangan Kak Timah. 

Berlaku konflik apabila muncul syarikat pemaju yang ingin membangunkan bandar hijau di kawasan tersebut. Sakinah menemui wakil rakyat memohon rayuan agar projek bandar hijau tidak diteruskan. Mohsin yang sedang dipenjarakan juga meminta Sakinah berusaha sebaik mungkin menyelamatkan kawasan mereka daripada dirampas pemaju.

Sakinah memulakan ternakan lembu dan akan ke Melbourne, Australia untuk mengikuti kursus penternakan di sana. Sepanjang ketiadaannya, syarikat mereka diuruskan oleh Sarah yang telah mula belajar selok belok pengurusan syarikat.

Ketika persiapan pertunangan antara Cikgu Helmi dengan Sakinah sibuk dilakukan, Sarah mendapat berita ibunya membatalkan hasrat menerima lelaki itu sebagai suaminya. Apakah sebab yang membuat Sakinah berubah fikiran? Adakah kehadiran semula Sufi mengubah fikiran Sakinah?   

Bagaimana pula dengan ladang mereka yang diancam kehadiran pemaju tersebut? Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Syahadat Cinta Di Tv2
Babak Dalam Syahadat Cinta
Babak Dalam Drama Bersiri Syahadat Cinta

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama AURORA AISYAH Temukan Syafie Naswip & Mawar Rashid

Menu Autentik Dunia Dalam Program TASTY TALES