Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in , , , ,

Sinopsis Drama Bersiri RINDU AWAK SEPARUH NYAWA Lakonan Shukri Yahaya & Uqasha Senrose

Keserasian gandingan pertama Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose berjaya hidupkan naskhah romantik terbaharu slot Megadrama di Astro Ria

Drama bersiri ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ merupakan sebuah lagi karya adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Siti Rosmizah yang mengangkat genre romantik terbitan syarikat produksi SR One Sdn Bhd. 

Drama 40 episod arahan sutradara handalan Along Kamaludin ini turut menampilkan Siti Rosmizah selaku penerbit dan penulis skrip serta barisan penulis skrip yang terdiri dari Rozie Rashid dan Amka Ahmad. 

Lebih istimewa, drama ini turut menampilkan lagu istimewa bertajuk ‘Rindu Separuh Nyawa’ nyanyian Vanessa Reynauld dan Naqiu sebagai lagu runut bunyi yang liriknya juga ditulis oleh Siti Rosmizah.

Drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 23 Mac 2021 menerusi slot Megadrama secara secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Sebagai bonus, sebuah episod khas Tayangan Perdana ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ akan ditayangkan pada hari ini, 10 Mac 2021 jam 6.30 petang menerusi saluran dan platform digital yang sama.

“Meletakkan kejayaan penerbitan drama-drama sebelum ini sebagai penanda aras, terbukti genre cinta dan romantik sentiasa menjadi pilihan audiens tempatan dari dulu hingga sekarang.

Oleh itu, kami dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi drama adaptasi novel menarik berjudul ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ yang bakal menyusul untuk menghiasi slot Megadrama sejurus berakhirnya drama ‘Marry Me Senorita’ tidak lama lagi. Istimewa lagi, drama ini juga merupakan antara pengisian utama sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang telah disusun khas untuk menghiburkan pelanggan setia Astro.

Naskhah yang sarat dengan elemen keluarga, drama dan romantik ini cukup menarik kerana ia bakal menampilkan jalan cerita berbeza yang mampu mengusik jiwa dan emosi. Tidak dinafikan setiap karya adaptasi novel sudahpun mempunyai jalan cerita yang perlu diikuti, namun syabas kepada Along Kamaludin sebagai pengarah dan keseluruhan produksi yang berjaya menggarap dan mewarnai penceritaan drama ini secara kreatif.

Daripada segi pemilihan pelakon pula, Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose merupakan nama besar dalam industri lakonan tanah air yang sering menjadi pilihan pembikin seni untuk menggalas watak-watak utama dalam pelbagai genre. Selain mereka berdua, kesemua barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil juga turut memainkan peranan yang cukup bermakna melalui pembawaan watak yang cukup berkesan.

Semoga drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ akan sekali lagi mengulangi kejayaan drama- drama sebelum ini sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri. Selamat menonton!”.

Emarina Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria

“Sebagai penulis dan penerbit, saya sentiasa meletakkan target yang tinggi untuk setiap drama terbitan produksi SR One Sdn Bhd terutama yang melibatkan karya nukilan saya sendiri. Saya amat berbesar hati dengan penerimaan positif para peminat fanatik novel Melayu yang sentiasa menyokong hasil kerja saya selama ini sehingga berjaya merekodkan jumlah jualan mencecah ratusan ribu ringgit.

Untuk drama adaptasi terbaharu ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ ini, saya sudahpun meletakkan sasaran yang lebih tinggi daripada drama-drama saya sebelum ini.

Drama ini juga bakal memberi kelainan kerana jalan ceritanya yang menarik untuk ditonton kerana ia tidak sekadar mengangkat watak utama iaitu hero dan heroin semata-mata tetapi juga turut memfokuskan kepada watak-watak lain yang sebenarnya mencerminkan kehidupan masyarakat yang berlaku di sekeliling kita.

Banyak mesej tersirat dan pengajaran moral yang dapat dipelajari daripada drama ini. Antaranya seperti sikap manusia yang angkuh apabila berduit sehingga tidak mengambil peduli maruah orang lain dan sanggup menjadikan hidup orang lain sebagai pertaruhan. Saya berharap agar drama ini akan mendapat tempat di hati peminat drama Melayu.”

– Siti Rosmizah, Penerbit & Penulis Novel/Skrip Drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’

TRIVIA DRAMA ‘RINDU AWAK SEPARUH NYAWA’

  1. Drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ merupakan drama pertama yang menggandingkan Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose selaku teraju utama. Kemampuan kedua-dua pelakon popular ini untuk menghidupkan watak Nazril Nazim dan Kasih Maisara sekali lagi membuktikan kredibiliti mereka sebagai pelakon versatil. Walaupun pertama kali disatukan, Shukri dan Uqasha mempunyai ‘chemistry’ yang baik sekaligus memudahkan lagi penggambaran.
  2. Watak utama Kasih Maisara yang dilakonkan oleh Uqasha Senrose sarat dengan mainan emosi yang mendalam. Uqasha pernah menangis sehingga takut untuk ke set penggambaran kerana tertekan untuk menjiwai watak tersebut. Uqasha juga hanya mempunyai satu hari sahaja untuk membuat persediaan daripada segi fizikal dan mental selepas tamat penggambaran drama ‘Perempuan Tanpa Dosa’ dan kemudiannya terus disambung dengan penggambaran untuk drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’. Ini juga merupakan kali pertama Uqasha terlibat dengan penggambaran drama yang melibatkan naskah panjang sehingga 40 buah episod.
  3. Menariknya, dalam salah satu babak sewaktu kereta yang dipandu laju oleh watak Maisara melanggar motosikal yang sedang ‘dinaiki’ oleh watak Nazril lakonan Shukri Yahaya, sebenarnya Shukri adalah pemandu sebenar kereta untuk adegan tersebut, dan bukan beliau yang membawa motosikal tetapi orang lain.
  4. Keseluruhan penggambaran drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ masih belum selesai dan sedang giat dijalankan di sekitar Lembah Klang pada ketika ini. Pihak produksi juga turut menitik beratkan pengamalan SOP yang ketat sepanjang penggambaran berlangsung termasuklah daripada segi penjagaan kendiri dan jarak fizikal yang selamat serta pemakaian pelitup muka dan sarung tangan terutamanya sewaktu menata rias. Jadual penggambaran juga telah disusun agar tidak melebihi jam 10 malam pada setiap hari.

BARISAN PELAKON ‘RINDU AWAK SEPARUH NYAWA’

Syukri Yahaya sebagai NAZRIL NAZIM 

Uqasha Senrose sebagai KASIH MAISARA 

Norreen Iman sebagai QISTINA

Marsha Milan sebagai NURUL HUDA 

Fizo Omar sebagai AIDIL

Aida Khalida sebagai PUAN NORIDA 

Khairil Anwar Aman sebagai DATUK RAQIB

Rahim Jailani sebagai DATO HALIM 

Fiza Thomas sebagai SALLY 

Norkhiriah sebagai KAK MUNAH 

Aleza Shadan sebagai ESAH

Balkisyh Semundur Khan sebagai JAH KELIP

SINOPSIS DRAMA ‘RINDU AWAK SEPARUH NYAWA’

Maisara menyimpan dendam terhadap ayahnya, Dato’ Raqib, kerana dia merasakan bahawa Dato’ Raqib merupakan penyebab kematian ibunya. Kerana dendam itu, Maisara telah menggunakan Aidil, anak lelaki kepada sahabat baik bapanya sebagai kambing hitam dalam rancangan memalukan ayahnya. Maisara berpura-pura jatuh cinta dengan Aidil dan membatalkan upacara pertunangan ketika ia bakal berlangsung. Aidil kecewa namun dia menerima keputusan Maisara kerana perasaan cintanya masih ada buat gadis sombong itu.

Dalam kejadian lain, Maisara hampir melanggar Nazril Nazim yang sedang menunggang motorsikal. Tercetus perbalahan kecil sewaktu mereka berdua bersemuka buat pertama kali itu. Pertemuan kedua mereka adalah apabila Nazril menghubungi Maisara untuk menyerahkan surat amanah sahabat baiknya Aidil, tanpa mengetahui bahawa Kasih Maisara yang telah mengecewakan sabahatnya itu merupakan perempuan yang sama yang diceramahnya sebelum ini. Sewaktu bertemu, sekali lagi Nazril menegur kesombongan Maisara. Nazril satu-satunya lelaki yang berani menegur perangai buruk Maisara. Egonya terusik dengan teguran Nazril. Teguran Nazril didengari oleh musuh Maisara, Sally yang kemudiannya mencabar gadis itu untuk menjadi isteri Nazril. Dengan sombongnya Maisara bersetuju menyebabkan Nazril Nazim menjadi mangsa pertaruhan bodoh Maisara tanpa dia ketahui.

Pelbagai cara yang Maisara gunakan untuk mendekati Nazril. Tanpa Maisara ketahui, keluarga Nazril telah memilih Nurul Huda, gadis sekampung Nazril sebagai calon isteri buat Nazril dan mereka bakal disatukan setelah keduanya habis belajar. Nurul Huda juga merupakan teman sebilik Maisara yang sangat dibencinya. Namun satu kejadian yang tidak dijangka berlaku, Nazril membuka hatinya untuk mengambil Maisara sebagai isterinya. Nurul Huda yang sememangnya menyayangi Nazril kecewa. Manusia tidak sempurna dan melakukan kesalahan. Maisara hidup dan belajar, ketulusan Nazril menyiram dirinya dengan cinta membuatkan dia sedar. Walaupun begitu, ketika cintanya mulai mekar, Nazril menyedari bahawa perkahwinan mereka hanyalah ‘pertaruhan’ buat Maisara, dan dia pergi dengan hati yang patah. Maisara yang sedang dilamun cinta menunggu kepulangan suaminya namun Nazril tidak kunjung tiba, apakah itu pengakhiran kisah cinta mereka.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version