in ,

Drama Bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan

Menyusuli “Aku Isterinya” di slot Akasia, TV3 bakal mempersembahkan sebuah drama bersiri adaptasi novel popular oleh Umie Nadzimah, ”Kerana Terpaksa Aku Relakan” terbitan Primeworks Studios bermula 21 Mei 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam.

”Kerana Terpaksa Aku Relakan”, sebuah drama bersiri arahan oleh Azma Aizal Yusof dan nukilan skrip oleh Mufid Shuhaimi membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Izreen Azminda (Indah Halina) di samping pelakon-pelakon popular tanah air seperti Amar Baharin (Tajul Razin/ Zen), Dian P. Ramlee (Datuk Safiyah), Syafik Kyle (Tajul Fahin), Eddy Asraf (Tajul Zahin), Aliza Shadan (Mak Mariah), Nadia Aqilah (Zawati), Hairi Safwan (Yazid), dan Afzan (Saiful).

Izreen Azminda sebagai Indah Harlina

Drama bersiri 24 episod ini mengisahkan Indah Harlina yang telah dianiayai oleh ibu tiri dan kakak tirinya, Mak Mariah dan Zawati sehingga disisihkan oleh ayah kandungnya Pak Halim. Indah yang pulang ke kampung bersama-sama Zawati dan Yazid untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Shaiful, pilihan Pak Halim telah ditinggalkan secara sengaja di kawasan rehat. Tanpa satu sen dan telefon bimbit di tangannya, Indah buntu dan mujurnya dia telah dibantu oleh Datuk Safiyah. Tajul Razin yang menemani ibunya berasa was-was dan menganggap Indah mahu mengambil kesempatan.

Tibanya di kampung, majlis perkahwinan telah selamat berlangsung dengan Zawati mengambil tempatnya sebagai pengantin. Indah dianggap sebagai anak derhaka dan telah memalukan keluarganya. Pak Halim langsung tidak mahu mendengar penjelasan Indah malah menghalaunya keluar dari rumah tersebut. Shaiful juga berasa tawar hati dengan Indah selepas dihasut oleh Zawati.

Indah terkejut mendengar kisah sebenar daripada Yazid bahawa Mak Mariah dan Zawati memang sudah membuat rancangan awal untuk sabotaj. Akhirnya, Indah berusaha mencari rezeki di Kuala Lumpur. Takdir menemukan Indah semula dengan Datuk Safiyah. Oleh kerana kagum dengan perwatakan Indah yang lemah lembut, pandai mengambil hati dan juga seorang yang cekap dalam melakukan tugasan, Datuk Safiyah telah mengambil Indah sebagai pembantu peribadi. Malahan, Indah juga dipelawa untuk tinggal bersama keluarga Datuk Safiyah.

Namun, Tajul Razin bersikap dingin terhadap Indah dan sentiasa berprasangka buruk terhadap Indah. Bagi Tajul Razin, perempuan tidak ada yang sempurna di matanya, hanya menyusahkan. Akan tetapi, Tajul Razin tidak dapat menafikan Indah sangat istimewa bagi ibunya, Datuk Safiyah yang sering diselubungi kesepian.

Lama-kelamaan, Tajul Razin terpikat dengan kebaikan Indah. Indah juga menyimpan perasaan terhadap Tajul Razin, Bagi Indah, jika hadirnya perasaan cinta antara mereka berdua, ia pasti sebuah cerita dongeng yang sukar direalisasikan. Tambahan pula, kepulangan Tajul Fahin, anak kedua Datuk Safiyah yang merupakan seorang kaki perempuan juga menaruh hati terhadap Indah. Tajul Fahin sanggup bersaing dengan abangnya, Tajul Razin untuk memikat hati Indah.

Satu kejadian yang tidak diingini telah berlaku dan hampir memusnahkan harapan Indah untuk bersama-sama dengan Tajul Razin yang dicintai sepenuh jiwa dan raga. Tajul Fahin berjanji akan berubah selepas berkahwin dengan Indah. Apakah Tajul Razin akan berkorban lagi demi keluarga dan juga adik-adik kesayangannya? Apakah yang bakal berlaku seterusnya?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama bersiri terbaharu di slot Akasia, ”Kerana Terpaksa Aku Relakan” bermula 21 Mei 2014 jam 7.00 malam. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang drama tersebut, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Bukan sahaja teraniya dengan ibu tiri dan kakak tirinya, Indah juga disisihkan oleh ayahnya kerana tidak hadir ke majlis nikahnya

Tajul Razin (Amar Baharin) risau ibunya, Datuk Safiyah (Dian P. Ramlee) diperalatkan oleh Indah

Zawati (Nadia Aqilah) sabotaj Indah supaya dia dapat berkahwin dengan Shaiful

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cara Mudah Untuk Dapatkan KAX Edisi Terhad

ZiaBella Mahu Popular Dengan Lagu Sesuatu Yang Tak Mungkin