in , , ,

Drama Bersiri DETAK CINTA STATESKOP Lakonan Amar Baharin

Situasi mengenai beberapa watak utama di sebuah hospital dihidupkan dalam drama bersiri perubatan bertajuk DETAK CINTA STATESKOP yang sedang bersiaran setiap Sabtu dan Ahad, pukul 8.00 malam menerusi saluran TV Okey (Astro 109).

Mereka terdiri dari pakar-pakar Perubatan dalam bidang pembedahan, bius dan psikologi. Mereka dibantu oleh penyelia jururawat, ketua jururawat, jururawat dan pembantu perubatan. Tugas mereka adalah memberi konsultasi dan rawatan kepada para pesakit. 

Menariknya drama bersiri perubatan 26 episodini menampilkan lakonan mantap Miera Leyana, Amar Baharin, Kodi Rasheed, Ikhlas Jalil dan Afzan A Rahman.

Drama Bersiri DETAK CINTA STATESKOP

Drama bersiri Perubatan DETAK CINTA STATESKOP Lakonan Miera Leyana dan Amar Baharin di TV Okey (Astro 109)

Ikuti perjalanan watak Pakar Bedah, Dr. Farah adalah seorang wanita yang komited dalam kerjayanya sehingga kurang memberi perhatian dan mengambil mudah dalam kehidupannya untuk berkeluarga. Keadaan ini merisaukan ibu dan bapanya yang telah pun mempunyai calon menantu bernama Khairi iaitu anak rakan seperniagaan mereka.

Sementara itu Pakar Bius, Dr. Razlan pula baru melaporkan diri di hospital tersebut dan dalam proses memutuskan hubungan dengan calon tunang pilihan ibunya, Erma. Keluarga Dr. Razlan terhutang budi dengan keluarga Erma yang banyak membantu membiayai pengajian Dr. Razlan. Namun sebaliknya Dr. Razlan telah menganggap Erma bagai adiknya sendiri. 

Dr. Farah berjaya meyakinkan Sheema, seorang selebriti untuk melakukan pembedahan membuang kanser payu dara demi masa depannya. Tekanan dihadapi Dr. Razlan membuatkan berlaku perselisihan faham antara dirinya dengan Dr. Farah. Setelah hubungan mereka pulih, Dr. Razlan meminta Dr. Farah berlakon sebagai kekasihnya di depan ibunya untuk mengelak dijodohkan dengan Erma.

Sementara itu Pakar Psikologi, Dr. Azad pula mengendalikan kes kemurungan seorang wanita rakan sekolej dan bekas teman wanitanya iaitu Maisarah. Kes kemurungan pesakit ini adalah berpunca daripada gangguan bekas suaminya, Azman yang gila talak.

Drama Bersiri DETAK CINTA STATESKOP

Keadaan menjadi semakin rumit apabila bekas suaminya menjadi lebih agresif setelah mengetahui bekas teman lelaki jandanya yang mengendalikan kes tersebut. Rasa cemburunya membuak sehingga berlaku pergaduhan antara mereka. Pergaduhan itu disaksikan SN Nina yang cuba bergosip dengan rakan sekerjanya namun ditegur Ketua Jururawatnya.

Pada masa sama hubungan Dr. Azad dengan isterinya Hamidah tegang kerana sikap syak wasangka Hamidah terhadap hubungan Dr. Azad dengan Maisarah. Sedangkan hakikatnya Dr. Azad berniat mahu membantu Maisarah yang terus-terusan diganggu oleh Azman. 

Khairi berterusan meminta Dr. Farah menerimanya namun ditolak dengan baik oleh gadis itu. Muncul Tasha, kekasih lama Khairi di Kanada tetapi Khairi mengelakkan diri daripada bertemunya. Hubungan akrab Dr. Razlan dengan D. Farah dicemburui Khairi. Tasha pula asyik mengejar cinta Khairi dan memaksa lelaki itu mengahwininya.

Drama Bersiri DETAK CINTA STATESKOP

Dr. Azad sibuk mengendalikan pesakitnya Jamal, pemuda yang mengalami gangguan mental yang kerap berhalusinasi dan berilusi. Azman datang ke hospital bertemunya supaya memujuk Maisarah menerimanya semula dengan cara ‘cina buta’ yang menghalalkan mereka berkahwin semula.

Di hospital, Dr. Farah dinaikkan pangkat atas usaha gigihnya menjalankan tugas. Hubungan Dr. Razlan dengan Dr. Farah ditentang keluarga masing-masing.

Dr. Farah berselisih faham dengan ibunya disebabkan perkara itu. Tambahan pula Khairi berkeras mengugut Dr. Razlan supaya tidak mengganggu ‘tunangnya’.

Berlaku kemalangan yang membuatkan Dr. Razlan koma. Kejadian tersebut dipercayai berunsur khianat. Sepanjang koma, Dr. Farah sentiasa meluangkan masa memantau keadaan Dr. Razlan. Meskipun sibuk Dr. Farah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai doktor. 

Drama Bersiri DETAK CINTA STATESKOP

Dr. Azad risau dengan kehilangan Jamal yang memungkinkan kejadian buruk yang tidak diingini terhadap pesakitnya itu. Ternyata telahannnya tepat bila menerima berita buruk Jamal telah menikam ayahnya sendiri kerana tertekan. Pada masa sama Dr. Azad setuju menerima Maisarah sebagai isteri kedua apatahlagi Hamidah merestuinya. 

Kesihatan Dr. Razlan bertambah baik namun beliau perlu menjalani rutin fisioterapi. Kehadiran Dr. Farah banyak membantunya. Khairi rasa terhutang budi dengan Erma dan akhirnya menerima kenyataan jodohnya bukan dengan Dr. Farah sebaliknya dengan gadis itu. Situasi itu membuatkan Tasha semakin tertekan namun tidak putus asa mendapatkan Khairi. Lalu apakah kesudahannya?  

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mobile Game Dooit Live Sempena Tahun Baru Cina

Ummi Nazeera Kini Jadi Hos Program SANDING