in , ,

Drama Bersiri ALI ALIA Singkap Realiti Kemelut Rumah Tangga

Kisah suami isteri ketepikan persengketaan, kompromi demi kasih terhadap anak-anak, tonton Drama Bersiri ALI ALIA di Slot Tiara Astro Prima mulai 24 Ogos ini

Drama bersiri ‘Ali Alia’ ialah sebuah karya yang mengangkat genre kekeluargaan dan hubungan kasih sayang berkisarkan tentang pasangan suami isteri, Amir dan Mazni yang dihimpit dengan kemelut rumah tangga sehingga mahu mengakhirinya dengan penceraian. Keputusan tersebut menjadi titik punca yang menyebabkan anak mereka, Ali dan adik kembarnya yang autistik, Alia lari dari rumah kerana amat tertekan dengan pertelingkahan yang berlaku di antara ibu bapa mereka. 

Idea asal drama ‘Ali Alia’ 13 buah episod terbitan syarikat produksi, Luqsar Kreatif Sdn. Bhd ini dicetuskan oleh bekas pengacara dan pelakon terkenal sekitar tahun 90-an yang kini aktif dalam bidang penulisan serta pengarahan, Rina Khan serta turut menampilkan sutradara berkaliber, Heykal Hanifah selaku  pengarah.

Drama Bersiri Ali Alia

Drama ini dibintangi oleh Fimie Don, Erynne Erynna, Rusdi Ramli dan Faezah Elai selaku teraju utama di samping barisan pelakon handalan seperti Fahrin Ahmad, Usop Wilcha, Sabrina Ali, Faradhiya, Rashid Jaafar, Sharifah Juairiah, Jay Iswazir, Kodi Rasheed dan Mior Hashim Manap.

Drama ‘Ali Alia’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 24 Ogos 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusiaplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Drama Bersiri Ali Alia

Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima berkata:

“Selepas berakhirnya kisah ‘Siapa Jaga Mak’ yang akan melabuhkan tirai episod penghujung pada petang ini, kami dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi drama hebat dengan kisah serba baharu yang masih mengangkat kepentingan institusi kekeluargaan bagi mengisi slot Tiara di Astro Prima.

– Norzeha Mohd Salleh

Selain menonjolkan realiti konflik rumah tangga yang sudah menjadi resam dalam kehidupan dan sememangnya berlaku dalam lumrah masyarakat, drama ‘Ali Alia’ memberi kelainan segar yang sedikit berbeza dengan drama-drama sebelum ini apabila turut mengetengahkan watak remaja autistik sebagai salah satu karakter utama yang menggerakkan keseluruhan cerita.

Hal ini secara langsung dapat mendidik orang ramai tentang kesedaran bagi masalah autism sekaligus memberi lebih pendedahan tentang perihal keadaan tersebut kerana golongan istimewa ini melihat dunia dengan cara yang berbeza serta perlukan perhatian yang berlainan. 

Selain itu, kisah ‘Ali Alia’ juga boleh dijadikan iktibar terutamanya dalam memperbaiki keharmonian hubungan di antara suami isteri kerana setiap rumah tangga ada pasang surutnya. Apabila keluarga bahagia, anak-anak turut gembira dan begitu jugalah sebaliknya. Manakala keluarga yang berpecah belah pula akan sering mengalami konflik dalaman.

Kami berharap konsep yang ditampilkan dalam pengisian kali ini dapat memenuhi citarasa penonton kerana jalan ceritanya yang dilihat dekat dengan kehidupan harian penonton. Syabas kepada Heykal Hanifah selaku pengarah dan pihak produksi kerana berjaya menghasilkan drama ini dengan begitu baik sekali. Selamat menonton!”

Drama Bersiri Ali Alia

 Heykal Hanifah, Pengarah ‘Ali Alia’ berkata:

“Selepas 11 tahun tidak menghasilkan sebarang karya untuk Astro, saya amat teruja dengan ‘comeback’ menerusi naskhah ‘Ali Alia’ yang sesuai ditonton oleh segenap lapis masyarakat.

Kekuatan ‘Ali Alia’ terletak kepada plot penceritaan, skrip dan lakon layar yang realistik. Walaupun agak berat dan penuh konflik, namun dekat dengan hati penonton kerana ia mengetengahkan hubungan kekeluargaan serta kasih sayang di antara adik beradik kembar dan ibu bapa.  

Saya amat gembira dengan keserasian barisan pelakon hebat yang terlibat dalam menjayakan drama ini. Kriteria pemilihan pelakon bukanlah berdasarkan populariti tetapi mengikut tuntutan karya asal yang diilhamkan oleh Rina Khan. Sungguhpun mereka tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai di laman Instagram, namun rata-rata pernah menang anugerah dalam bidang lakonan. 

Mesej utama yang ingin disampaikan menerusi naskhah ini ialah tentang kepentingan hubungan kekeluargaan. Jika ibu bapa saling berantakan, ia pasti mengundang masalah kepada seluruh keluarga sehingga berpecah belah. Namun, segala perselisihan dapat diketepikan untuk kembali bersatu demi kepentingan anak-anak tercinta yang menjadi keutamaan. Selain itu, gambaran suka duka membesarkan anak autistik kurniaan Allah SWT yang boleh menjadi kunci untuk kita masuk syurga turut dipaparkan. Sebagai ibu bapa, jangan sesekali kita mempersiakan tanggungjawab yang diberi kerana implikasinya amat besar. Sekiranya ada masalah atau ‘stress’, ambillah pendekatan yang baik dan positif.

Pengajaran positif yang disuntik dalam kisah ‘Ali Alia’ boleh dijadikan sebagai inspirasi, panduan dan teladan, sementara yang buruk pula hendaklah dijadikan sempadan. Saya berharap agar drama ini akan beri impak positif sekaligus memikat hati penonton.”

Drama Bersiri Ali Alia

PECAHAN WATAK DRAMA ‘ALI ALIA’

ERYNNE ERYNNA sebagai Alia

FIMIE DON sebagai Ali

RUSDI RAMLI sebagai Amir

FAEZAH ELAI sebagai Mazni

FAHRIN AHMAD sebagai Hanif

USOP WILCHA sebagai Dato Khalil

SABRINA ALI sebagai Shila

FARADHIYA sebagai Diana

RASHID JAAFAR sebagai Pak Osman

SHARIFAH JUAIRIAH sebagai Maknah

JAY ISWAZIR sebagai Pian

KODI RASHEED sebagai Zainal

MIOR HASHIM MANAP sebagai Atok

Drama Bersiri Ali Alia

SINOPSIS DRAMA ‘ALI ALIA’

Drama bersiri ‘Ali Alia’ memaparkan kisah kepincangan sebuah keluarga urban yang nampak mewah, hakikatnya mereka adalah sebuah keluarga yang ‘miskin’ dalam banyak perkara. Mazni dan Amir mempunyai sepasang anak kembar yang sudah remaja bernama Ali dan Alia. Ali dilahirkan normal, manakala Alia pula seorang remaja autistik. 

Autisme membuatkan Alia mengalami keterbatasan dalam banyak perkara, terutamanya kemampuan berkomunikasi. Mujur Alia mempunyai kembar, Ali, yang mampu memahami ‘percakapan’nya dengan baik, membuatkan Alia tidak boleh berjauhan dari Ali. Akibatnya, Ali terpaksa menjalani homeschooling bagi memudahkan kehidupan Alia yang bergantung padanya. Tapi Ali, tidak pernah mengeluh. Dia tahu, sebagai ‘abang’ dia harus bertanggungjawab dan memahami keperluan kembarnya yang autism.

Pada masa yang sama, ibu bapa mereka Mazni dan Amir juga mempunyai dilema mereka yang tersendiri. Mazni yang berjawatan tinggi dan disegani dalam sektor korporat, sudah tidak sanggup untuk terus meikul tanggungjawab sebagai breadwinner dalam keluarga. Manakala Amir pula semakin hari semakin hilang keyakinan diri apabila perniagaan yang telah dua tahun diusahakannya tidak membuahkan hasil. 

Segala permasalahan yang berlaku dalam keluarga ini menyebabkan pada suatu hari, Ali mengambil keputusan drastik untuk lari dari rumah dan membawa Bersama adiknya Alia. Namun dunia luar tidaklah seindah yang disangka, tambahan pula untuk insan autisme.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trending Viral Hiasan | 23

Jasad Bekas Imam Ditemui Sempurna, Ditutupi Kulit Balak & Menghadap Kiblat

Gadgetmodel Hiasan | 24

Pelawak Yang Sebelum Ini Ditahan Tidak Didakwa di Mahkamah Kes Pemerdagangan Manusia