in , ,

Dolla Teruja, Berbesar Hati Kongsi Pentas Dengan Artis K-Pop di SEEN Festival

Dolla Teruja Dan Berbesar Hati Kongsi Pentas Dengan Artis K-Pop Bernama Besar Di Seen Festival In Kuala Lumpur 2023

Membuka lembaran kerjaya tahun ini, Dolla terus jadi rebutan beraksi di pentas membabitkan artis antarabangsa. Sabtu ini, Dolla bakal memeriahkan Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 bersama bintang sensasi K-Pop iaitu NCT DREAM, WayV, KARD dan ALICE.

Dianjurkan CM Live, konsert bermula jam 6 petang di Arena Axiata, Bukit Jalil itu sememangnya dinanti-nanti peminat gelombang K-Pop tempatan. Sekali gus, ia bakal menjadi platform terbaik buat Dolla meraih pengikut baharu serta tunjukkan bakat luar biasa sebagai penghibur.

Dolla Teruja, Berbesar Hati Kongsi Pentas Dengan Artis K-Pop di SEEN Festival

Dolla yang dianggotai Sabronzo, Syasya, Angel dan Tabby semestinya sangat berbesar hati dan sudah tidak sabar menghiburkan semua yang hadir pada acara itu nanti. Menurut mereka, ia satu peluang keemasan yang cukup dinanti mereka.

“Kami merasa sangat bangga apabila dibariskan dengan penghibur hebat dari Korea Selatan. Dapat berkongsi satu pentas dengan nama-nama handalan itu adalah impian yang sangat kami idam-idamkan sejak ceburi bidang muzik.

“Peluang ini amat bermakna secara peribadi buat kami sebagai artis yang masih merangkak kukuhkan nama. Ia satu pengiktirafan terbesar untuk karier kami apalagi memang cita-cita Dolla ingin tembusi pasaran antarabangsa lagi,” kata mereka.

Kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu hit termasuk Watch Me Glow, Impikan, BAD, dan Berani itu berjanji bakal tampilkan persembahan jauh lebih bertenaga. Ini kerana, mereka harus buktikan penghibur tempatan juga berbisa.

“Kami mahu pamerkan corak persembahan yang setara dengan kualiti antarabangsa sebagaimana artis K-Pop. Kami juga mengintai peluang untuk saling berkenalan dengan bintang Korea yang ada nanti demi luaskan jaringan,” kata mereka.

Hampir tiga tahun ditubuhkan, pelbagai pencapaian sudah diraih Dolla dan profil karier mereka sangat membanggakan. Kesungguhan empat gadis itu pamerkan mutu penghibur bertaraf dunia sentiasa menjadi pujian.

Cukup menyerlah kerana personaliti berani serta gaya fesyen terkini, mereka kerap jadi buruan pelbagai jenama gergasi untuk menjadi duta mahupun jurucakap. Karier seni mereka tidak pernah sepi kerana konsisten lancarkan lagu dari semasa ke semasa.

Jika tiada aral, mereka berhasrat mahu melancarkan lima single baharu sepanjang tahun ini dan pemilihan lagu sesuai sedang dibuat. Dolla memang berusaha untuk sentiasa merancang teliti karier muzik serta perancangan besar yang masih diatur rapi.

Sementara itu, Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 akan menampilkan pentas berbentuk T. Ia bagi memudahkan peminat mendekati idola mereka selain merasai detik yang menggembirakan apabila dapat bertentang mata dengan artis pujaan mereka itu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Inni Tawakkaltu, Sebuah Single Sentuhan Terbaharu Hafiz Hamidun

KHAI BAHAR

DFP Rai Ulangtahun Ke-25 Dengan Siri Konsert Artis & Band Tempatan